GelombanG KicK

Kenyataan Rasmi Berhubung Dakwaan Saman Oleh Husam

20 09 2011
K E N Y A T A A N   R A S M I
Dengan rasa rendah diri dan bersyukur, saya ingin mengulas berhubung saman Dato’ Haji Husam Bin Haji Musa dan Syed Azidi Bin Syed Abdul Aziz yang didakwa difailkan di dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Walaupun sehingga saat ini saya belum menerima writ saman yang didakwa itu tetapi saya yakin, usaha sedang dijalankan oleh pihak penyaman untuk menyerahkan kepada saya. Saya akan memberi sepenuh kerjasama untuk menerima saman tersebut dan pihak penyaman boleh menghubungi saya di talian mudah alih saya pada bila-bila masa sahaja.
Saya mengalu-alukan saman tersebut dan seperti yang sedia maklum, saya telah beberapa kali menggesa Dato’ Husam supaya menyaman saya. Oleh yang demikian saya akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan kelak untuk membuat pembelaan terhadap segala yang saya persembahkan selama ini di blog saya maupun di ruang akhbar dan lain-lain media.
Saman ini bukan sahaja memberi ruang kepada Dato’ Husam untuk kononnya membersihkan nama, tetapi juga adalah peluang untuk saya mempertahankan hujah dan dakwaan saya supaya sah diterima dari segi perundangan.
Saya turut dimaklumkan pihak penyaman akan mendapatkan satu perintah injunksi menghalang saya dari membuat sebarang pendedahan baru terhadap beliau dan menghalang mana-mana pihak menyebarkan tulisan-tulisan saya terdahulu. Suka saya memaklumkan bahawa saya bersedia mempertahankan hak saya itu di Mahkamah dan menggesa pihak penyaman tidak menggunakan tindakan ex-parte dalam hal ini.
Tulisan-tulisan saya mempunyai kepentingan awam khasnya kepada rakyat Kelantan. Buktinya kesan daripada tulisan saya Kerajaan PAS Kelantan telah beberapa kali mengambil tindakan susulan yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Kelantan termasuk didalam isu yang diketengahkan oleh penyaman di dalam writ saman.
Tindakan untuk menghalang saya menggunakan hak untuk menulis dan menyampaikan maklumat adalah berasaskan ketakutan jelas dipihak penyaman terutama pada saat pihaknya merasakan pilihanraya umum semakin dekat. Ia langsung tidak mengambil kira kepentingan awam dan rakyat Negeri Kelantan khasnya. Pihak penyaman tidak seharusnya mengutamakan kepentingan politik dan keinginan untuk mara dalam karier politik mengatasi kepentingan rakyat dan kebebasan rakyat menerima maklumat.
Kepada pembaca-pembaca saya, suka saya memberikan perakuan bahawa saya akan melawan saman ini dengan dada yang lapang, berhemah dan penuh rasa hormat kepada undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia. Saya berharap mahkamah tidak sekali-kali digunakan sebagai pentas sarkas untuk kepentingan politik penyaman.
Saya berkhidmat hampir 3 tahun dibawah penyaman dan saya telah menulis lebih 100 artikel berhubung beliau. Bagaimanapun beliau hanya menyaman saya terhadap 3 artikel yang ditulis saya. Ini bererti beliau bersetuju bahawa lebihan artikel yang ditulis oleh saya tentang beliau adalah betul. Ini beerti beliau juga bersetuju bahawa pengakuan saya menerima wang pampasan bernilai RM350,000 dan wang berjumlah lebih RM4 juta untuk pilihanraya umum 2008 adalah betul sedangkan sebelum beliau berkali-kali menafikannya secara terbuka dan kepada pihak media massa.
Oleh yang demikian, apabila saya mendakwa beliau adalah seorang yang hipokrit dan penipu, ianya bukan bual kosong. Ia berlandaskan pengalaman saya dan fakta-fakta serta bukti yang terkumpul sepanjang perkhidmatan dengannya.
Sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut, saya diberi pelbagai arahan termasuklah galakan dan permintaan supaya saya menulis dan menggunakan kreativiti saya untuk memburuk-burukan musuh politik beliau termasuklah yang berada di dalam parti politik yang sama dengan beliau. Beliau juga berusaha menyakinkan saya tanpa mengemukakan bukti bahawa terdapat korupsi di kalangan Ahli Majlis Mesyuarat Kelantan dan pimpinan tertinggi partinya ketika itu.
Beliau juga menegur saya terhadap tulisan saya yang mempunyai kepentingan awam tetapi mengkritik rakan politik beliau seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, selepas saya diberhentikan daripada perkhidmatan di Kelantan, beliau segera menafikan di dalam sidang media beliau pernah campurtangan di dalam penulisan saya di blog.
Hipokrasi beliau juga amat ketara dan sepanjang tempoh perkhidmatan, saya beberapa kali diajak oleh beliau ke premis-premis yang tidak sesuai untuk beliau kunjungi sebagai pimpinan sebuah parti Islam.
Saya juga terpaksa menyaksikan gelagat-gelagat beliau ditempat awam yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai pemimpin tinggi sebuah parti Islam.
Berdasarkan yang dinyatakan diatas, saya percaya kes ini turut akan membawa banyak faedah kepada orang awam dan rakyat Negeri Kelantan khasnya.
Saya mengalu-alukan bantuan guaman daripada pengamal-pengamal perundangan bagi membantu saya mempertahankan hak dan kepentingan awam ini. Saya juga suka merayu kepada rakyat Negeri Kelantan yang rindukan perubahan untuk bersama-sama dengan saya di dalam kes saman ini.
Saya lawan kes ini bukan untuk diri saya tetapi untuk perubahan kepada Negeri Kelantan yang tercinta.

SYED AZIDI BIN SYED ABDUL AZIZ
20 September 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...