Showing posts with label sultan sulu. Show all posts
Showing posts with label sultan sulu. Show all posts

Sultan Sulu Tarik Balik Gencatan Senjata, Arah Tenteranya Lancar Operasi 'Serang Dan Lari'

Jamalul Kiram III mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya tidak berganjak dari Sabah dan melancarkan serangan gerila terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan media, Jamalul Kiram berkata berundur dari Sabah bukanlah satu pilihan untuk tentera-tenteranya.

"Mereka sudah di tanah air mereka jadi mengapa kembali?" katanya kepada para pemberita di kediamannya di Taguig, menurut laporan 'The Philippine Star'.

Sementara itu, jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani yang menyifatkan tindakan memasuki Sabah sebagai satu 'perjuangan' berkata tenteranya akan meneruskan 'perjuangan' mereka.

Katanya, kesultanan Sulu telah menarik balik perintah gencatan senjata yang dikeluarkan dan tentera-tentera Diraja telah diarahkan melancarkan operasi secara "serang dan lari" terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut laporan, adik lelaki kepada Jamalul, Azzimudie Kiram dan pengikut-pengikutnya masih berada di Sabah dan ini bertentangan dengan laporan dari Malaysia yang mendakwa mereka telah melarikan diri.

Idjirani juga mendakwa Azzimudie dan kumpulan pengikutnya masih kuat berdasarkan perbualan telefon dengannya pada malam Sabtu.

Katanya, tentera Sulu yang pada masa ini berjumlah 170 orang telah berpecah kepada tiga kumpulan bagi mengelak daripada pesawat pengintip yang berlegar di sekitar Lahad Datu mengesan mereka.

Ilmu Kebal Penceroboh Di Lahad Datu Tidak Kemana

Lahad Datu - Bilangan penceroboh militan yang terbunuh dalam Operasi Daulat membuktikan mereka tidak kebal, sekaligus menolak dakwaan penceroboh menggunakan ilmu mistik untuk berhadapan dengan pasukan keselamatan.

"Ini terbukti apabila pasukan keselamatan berjaya menembak mati 54 orang daripada mereka," kata Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohammed Yusoff.

Beliau berkata perkara itu mulai tersebar di laman sosial apabila satu daripada gambar penceroboh militan yang terbunuh menunjukkan pengganas itu memakai tangkal dan kain berwarna kuning pada badannya.

Ramli berkata penggunaan tangkal itu mungkin untuk meyakinkan pengikut kumpulan itu bahawa tindakan mereka kononnya adalah jihad.

"Hakikatnya hanya ilmu pengetahuan yang mampu memberikan kita kepandaian dalam mempertahan negara dan bukan ilmu tahyul yang menyempitkan akal kita," katanya.
Dalam perkembangan lain turut dilaporkan salah seorang daripada 18 mayat penceroboh militan yang dihantar ke Hospital Lahad Datu malam tadi, dipercayai ketua kumpulan itu berpangkat jeneral yang dikenali sebagai Komander Musa.

"Satu mayat itu macam rupa Komander Musa," kata Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan.

Beliau berkata mayat yang dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu di Felda Sahabat, kira-kira 130km dari sini, telah reput dan proses bedah siasat akan dibuat pakar patologi dari Hospital Pulau Pinang.

Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut.

Ketua Polis Daerah Supt Shamsudin Mat berkata sembahyang jenazah akan diadakan untuk pengganas yang terbunuh pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

"Kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab kepada saudara sesama Islam, biarpun mereka adalah musuh kita. Kita juga mendoakan roh mereka dicucuri rahmat," katanya, tanpa menyatakan lokasi pengganas itu akan dikebumi.

Terkini - Sultan Sulu Istihar Gencatan Senjata Berkuatkuasa 12.30 Tengahari

MANILA - Jamalul Kiram III, yang mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, hari ini meminta agar diadakan gencatan senjata susulan situasi semasa di Lahad Datu termasuk serangan pasukan keselamatan Malaysia ke atas kumpulan yang menceroboh wilayah Sabah sejak hampir sebulan lalu.

Selain itu, Jamalul juga meminta agar pasukan yang setia kepada beliau meletakkan senjata.

Beliau turut berharap Malaysia juga akan mengisytiharkan gencatan senjata bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.

"Sultan (Jamalul Kiram III) mahu gencatan senjata (di pihak) Kesultanan Sulu berkuat kuasa 12.30 tengah hari ini (Khamis)," kata jurucakapnya Abraham Idjirani di sini.

Katanya, langkah itu diambil susulan permintaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon semalam.

Idjirani berkata, meskipun gencatan senjata diumumkan tindakan mempertahankan diri akan diteruskan jika terus diserang.

Pihak Kesultanan Sulu berkata 10 anggotanya maut manakala empat yang lain cedera dalam serangan pasukan keselamatan Malaysia kelmarin dan semalam manakala 10 yang lain ditahan pihak Malaysia.

Sebelum ini berita Bernama melaporkan, Malaysia dan Filipina akan memikirkan jalan terbaik berhubung sebarang tindakan undang-undang terhadap anggota kumpulan penceroboh bersenjata termasuk ketua mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, aspek ekstradisi ketua kumpulan itu, Jamalul Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu, yang kini berada di Filipina telah diajukan kepada rakan sejawatnya dari Filipina.

"Ketua mereka telah memberi kenyataan yang membangkitkan kemarahan dan kebencian. Apakah Filipina mempunyai undang-undang untuk mengheret dia ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya.

"Sekiranya tidak, kemungkinan Malaysia akan meminta supaya pihak Filipina menyerahkan dia kepada kita," katanya dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan oleh Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Beliau turut ditanya sama ada Malaysia akan memohon ekstradisi Jamalul Kiram III. Pencerobohan bermula 12 Februari itu mengorbankan lapan anggota polis Malaysia dalam usaha mengusir mereka dari Sabah.

Sambil menarik perhatian Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina, beliau berkata: "Oleh kerana semangat Asean, kita boleh minta ekstradisi meminta supaya mereka dibawa ke mari."

Beliau memperjelaskan bahawa sebarang tindakan undang-undang yang diambil akan berlandaskan kepada apa yang sesuai dan baik untuk pihak Malaysia dan Filipina.

"Opsyen kita terbuka sampai kita melangkah ke satu (tahap), dan kita membuat keputusan dan mengadakan perbincangan dengan pihak Filipina," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai tindakan terhadap mana-mana penceroboh yang ditangkap -- sama ada akan didakwa di Malaysia atau dihantar pulang ke negara mereka.

"Ini tertakluk kepada perbincangan kita. Presiden (Filipina) meminta mereka menyerah diri dan balik ke negara mereka, dan Filipina berjanji akan ambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang mereka.

"Cara kita, (jika) polis kita menahan (mereka), kita juga boleh menggunakan undang-undang kita. Jika ia berlaku, bolehlah perundingan dijalankan antara saya dengan Setiausaha Luar Filipina, cara mana yang terbaik," jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...