LANUN HUTAN KEJAM DI GUA MUSANG

Rampas tanah ala samseng
Penduduk-berkumpul-membantah-tanah-mereka-dirampas-kumpulan-samseng
GUA MUSANG – Seramai 167 penduduk berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra di bandar ini, pagi semalam, bagi membantah tanah mereka seluas 720 hektar di Kampung Sungai Raya, dekat Kuala Betis dakwa dirampas sekumpulan lelaki ala samseng lebih setahun lalu.

Mereka yang terpaksa mengalah dengan kumpulan samseng dipercayai seramai 10 orang itu berikutan menerima pelbagai ugutan yang menakutkan dan tidak mampu menghalangnya apabila menggunakan jentolak.

Sebahagian besar tanah yang mereka usahakan dengan pelbagai tanaman termasuk getah yang mengeluarkan hasil disodok kumpulan itu tanpa menghiraukan rayuan penduduk supaya jangan bertindak zalim.

 Tindakan penduduk terbabit mengadakan perhimpunan itu juga disebabkan kecewa dengan sikap pihak berkuasa yang membisu aduan mereka berhubung kejadian tersebut dan setakat ini empat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mohamad Botok berkata, kini sebilangan besar penduduk yang mengusahakan tanah di situ terpaksa meninggalkan tanah mereka untuk pulang ke kampung berikutan takut berlaku kejadian tidak diingini.

 Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan penduduk termasuk mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta pemimpin kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar Kota Darul Naim di Kota Bharu.

Katanya, ketika pertemuan itu memanglah mereka berjanji akan meneliti perkara berkenaan tetapi sampai sekarang masalah itu belum selesai hingga semua penduduk terbabit menanggung kerugian teruk dan sekali gus hilang punca pendapatan.

“Kami semua telah menjelaskan bayaran tanah itu untuk mendapat geran hak milik tanah di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang tetapi hairan kenapa kumpulan samseng tersebut bertindak begitu,” katanya.

Seorang penduduk, Awang Hamat, 72, berkata, beliau mengusahakan tanah tersebut secara beramai-ramai dengan keluasan 2.4 hektar seorang sejak tahun 1994 dan tanaman itu menjadi punca pendapatan utamanya.

Beliau berkata, bagaimanapun hanya baru setahu menikmati hasil terus diceroboh sekumpulan samseng dengan menyodok semua tanaman untuk dimajukan sebagai ladang sawit.

“Amat zalim tindakan mereka tidak bertanggungjawab itu hingga pak cik terpaksa meninggalkan kebun tersebut berikutan takut dengan pelbagai ugutan sepanjang masa jika pak cik terus tinggal di situ,” katanya.

Mariam Ismail, 48, pula menyifatkan kumpulan samseng itu datang menceroboh tanah diusahakan penduduk sebagai keterlaluan dengan tidak merujuk terlebih dahulu di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Katanya, penduduk terbabit juga telah berbincang dengan pihak pejabat itu dan menyatakan tanah tersebut tidak ada permohonan daripada mana-mana kumpulan tertentu hanya penduduk berkenaan yang sudah membayar bagi mendapatkan geran hak milik.

“Saya merayu kepada pihak berkuasa dan kerajaan negeri menyiasat perkara dan mengambil tindakan segera untuk masa depan kami semua,” katanya.
Sumber-SH

ULASAN GK

Seperti ada yang tidak kena mengenai perkara ini,Kemana semuanya pihak yang berwajib sehingga keadaan ini sudah lebih setahun berlaku tetapi masih tiada apa-apa tindakan.

Kebelakangan ini kita terus disajikan dengan berita-berita yang agak kurang masuk akal,Seolah negara kita ni tidak mempunyai undang-undang,tidak mempunyai pemimpin untuk menyelesaikan dan menjelaskan perkara yang sebenar kepada umum.

Lebih malang lagi ia berlaku kepada sebahagian rakyat yang memang memerlukan,Jika mereka telah mengusahakannya kenapa kerajaan tidak membantu mereka untuk lebih terus kehadapan,Dengan memperuntukkan undang-undang yang lebih adil kepada semua rakyat,Jangan hanya tahu HUDUD sahaja,Sepatutnya kerajaan mesti mengehadkan pengambilan tanah ini kepada semua supaya tidak berlakunya penyelewengan seperti menjual kepada pihak lain.

Bagi fikiran bodoh GK,Tidak bolehkah kerajaan memperkenalkan undang-undang keatas tanah teroka ini seperti menghalang dari tanah teroka ini dijual kepada pihak lain selain dari mewariskan untuk generasi peneroka yang seterusnya.Kerajaan seharusnya mengeluarkan geran khas yang telah disenaraikan nama pemilik dan warisnya,Jika tidak keadaan ini akan menyusahkan golongan rakyat yang benar-benar memerlukannya.

Sekiranya kerajaan lebih telus dan adil rakyat juga akan menikmati hidup dengan lebih selesa tanpa perlu rugi dan membuat demontrasi.Fikirkan dan renungkanlah.Jika untuk kebaikkan semuanya akan menjadi senang tanpa sebarang sikap yang tamak,dengki,mempergunakan,menindas,angkuh dan berbohong.Anda mampu mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.