PENYAMUN TARBUS CUTI SEKOLAH BERMAHARAJALELA DI KELANTAN

Kejadian pecah rumah membabitkan beberapa taman perumahan dan kampung sekitar bandar ini, semakin membimbangkan apabila sasaran pencuri kini dua rumah dalam satu malam sejak beberapa bulan lalu.

Berdasarkan laporan dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini, lebih 25 kes pecah rumah berlaku membabitkan Taman Kesedar Jaya, Taman Mesrawangi, Kampung Tiong dan Kampung Lembaga hingga penduduk kerugian ribuan ringgit.

Penduduk yang semakin takut dengan kejadian berkenaan, terpaksa membatalkan hasrat untuk bercuti pulang ke kampung pada musim cuti persekolahan. Pencuri mensasarkan rumah yang tiada penghuni, seperti yang terbaru, berlaku Ahad lalu di Taman Kesedar Jaya.

Mohd Shukri Hassan, 40, berkata, kejadian awal pagi Ahad itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama awal Ramadan lalu. Katanya, kejadian kali kedua itu dipercayai berlaku jam 3 pagi ketika dia bersama isterinya Azimah Ab Halim, 36, bercuti di rumah saudara di Kuantan.

“Kami yang sampai jam 8 malam, mendapati keadaan dalam tiga bilik tidur berselerak dan jeriji besi pintu dapur terbuka. “Selain itu, pelbagai barang berharga yang hilang termasuk tabung wang syiling milik anak,” katanya.

Mohd Shukri berkata, selepas pencuri itu memecah masuk rumahnya, rumah Timbalan Pengurus Besar Kesedar, Ramli Mat Zain yang terletak berdekatan pula cuba dipecah masuk. “Tetapi gagal kerana Ramli ternampak ketika pencuri itu menggunting pagar, namun pencuri sempat melarikan diri,” katanya. Katanya, dia enggan membuat laporan polis dalam kejadian kedua itu kerana laporan kejadian pertama tidak berkesan.
Sumber Sinar Harian

1 comment:

  1. NEGERI SELAMAT APA DIA MACAM INI.., PAS HANYA PANDAI CERAMAH SAJA

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.