TOK IMAM DIFITNAH SONGLAP, SEMUA URUSAN TERMASUK PENGEBUMIAN JENAZAH SUKAR

KAMPUNG KEBAKAT – “Saya difitnah pecah amanah,” luah bekas imam tua Masjid Mukim Kebakat, Mohd Bustaman Sulaiman @ Harun, 43.

Mohd Bustaman mendakwa, disebabkan fitnah itu menyebabkan perkhidmatannya sebagai imam tua di masjid tersebut ditamatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tanpa sebab empat bulan lalu.

Menurutnya, fitnah yang mengatakan dia pecah amanah duit tabung masjid terkandung dalam surat bertarikh 23 Ogos 2010 dihantar kepada Maik oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, di dalam surat itu juga ada mendesak Maik agar melucutkan jawatannya sebagai imam tua di Masjid Mukim Kebakat.

“Salinan surat tersebut ada dengan saya sekarang ini, ia ditulis seseorang dan disertakan 18 tandatangan sokongan AJK masjid bersama beberapa jemaah masjid.

“Yang saya kesalkan orang yang menulis surat tersebut sanggup menggunakan penipuan bagi mendapatkan tandatangan sokongan di surat itu,” katanya.

Mohd Bustaman berkata, penipuan itu terbongkar selepas salinan surat tersebut jatuh ke tangannya dan selepas surat itu dibaca AJK dan jemaah yang menurunkan tandatangan sokongan di surat tersebut, mereka menyedari kedudukan sebenar.
“AJK dan jemaah yang menandatangani surat itu sebenarnya tidak tahu isi kandungannya kerana mereka dimaklumkan memerlukan tandatangan sokongan di atas helaian kosong atas dasar menegur dan menasihati saya lebih banyak berjemaah bersama anak mukim di masjid dan teguran atas kelewatan saya hadiri majlis tahlil,” katanya.

Berikutan itu, AJK dan jemaah yang menandatangani surat tersebut membuat penafian semula dengan menghantar satu surat kepada Maik bertarikh 12 Oktober 2011 selepas mengetahui kedudukan sebenar.

Mohd Bustaman berkata, dia mengharap agar Maik menyiasat dengan telus perkara ini dan mempertimbangkan semula rayuannya untuk menjawat semula jawatan imam tua di masjid tersebut.

“Saya berani bersumpah saya tidak pernah pecah amanah menyalahgunakan duit tabung masjid, itu satu fitnah kepada saya.

“Saya berharap Maik pertimbangkan rayuan saya, surat rayuan bertarikh 9 Disember tahun lalu sudah dihantar ke Maik, lagi pun saya telah menjadi imam di masjid ini sudah 15 tahun,” katanya.

Sebelum ini  Jemaah Masjid Kebakat menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melantik segera imam baru bagi menggantikan tugas Imam Tua, Mohammad Bustaman@Awang, 43, yang ditamatkan perkhidmatannya empat bulan lalu.

Berikutan ketiadaan imam di masjid ini, setiap kali solat Jumaat diimamkan Khatib undangan manakala imam untuk solat lima waktu oleh imam sukarela, Mohd Syukri Ab Ghani.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kebakat, Omar Din Bon berkata, ketiadaan imam di masjid memberi impak besar kepada jemaah dan penduduk di sini termasuk urusan akad nikah, tahlil mahupun urusan pengebumian jenazah.

“Banyak urusan yang memerlukan khidmat imam berdepan dengan kesulitan, selain imam tua ditamatkan perkhidmatan oleh Maik, Imam Muda Che Soh pula meletak jawatan.
“Setiap kali solat lima waktu berjemaah di masjid ini, kami diimamkan Mohd Syukri,” katanya.

Menurutnya, memandangkan Mohd Syukri banyak mengambil alih tugas sebagai Imam, dia layak untuk mengisi kekosongan jawatan imam tua di masjid ini.

“Kami jemaah di masjid ini berharap Maik mempertimbangkan usul ini kerana selagi tiada imam di sini, penduduk di sini menghadapi kesukaran terutama berkaitan dengan urusan fardu kifayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Omar Din berkata, kekosongan jawatan Imam selama empat bulan itu satu jangka masa yang lama dan ia perlu diselesaikan segera oleh Maik.- Disunting dari Sinar Harian

1 comment:

  1. ni tompek mentuo den ni..den slalu solat jumaat kek sini bilo balik kampong..masjid ni lagi bagus dr masjid wakaf baru kek sebolah shell..

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.