SHAH ALAM – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi hari ini menasihatkan kumpulan mahasiswa yang terus berkhemah di Dataran Merdeka agar menghentikan tindakan mereka secepat mungkin kerana tuntutan mereka sudah pun didengari.
Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu perlu kerana kawasan dataran tersebut turut digunakan untuk pelbagai acara lain, contohnya Konsert Diraja pada 21 April sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Menurutnya, oleh sebab itu, kumpulan mahasiswa tersebut haruslah juga menghormati tuntutan orang lain terutamanya dalam konteks ini.
“Isu PTPTN memang dekat terutamanya kepada pelajar, oleh itu saya memahami sentimen mereka dalam isu ini.
“Mahasiswa ini perlu menghormati tugas pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang amat proaktif dan baik sekali menangani kes ini, jadi mereka juga perlu hormat orang lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kata Saifuddin lagi, walaupun beliau menghormati tuntutan mahasiswa ini dan menyedari perhimpunan adalah sebahagian dari sistem demokrasi, namun ia tetap ada batasan-batasan yang perlu diikuti.
“Saya gembira kerana itu hak mereka, kecuali tindakan mereka mengalungkan bunga kematian pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, saya kutuk sekeras-kerasnya.
“Saya juga tidak bersetuju dengan pemansuhan PTPTN kerana saya dapat rasakan tindakan melulu mahasiswa ini dalam menyuarakan pandangan mereka dalam isu ini,” katanya.
Sabtu lalu, kira-kira 300 mahasiswa berarak di ibu negara menuntut PTPTN dimansuhkan dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka walaupun pihak DBKL sudah merobohkan khemah mereka kelmarin. - Sinar Harian
dasar pondan lah Tim Menteri ni.. Ptuih
ReplyDelete