KAMPUNG SUNGAI PETAI AIR KERUH GATAL GELEBEK

PASIR PUTEH – Penduduk lima kampung iaitu Sungai Petai, Gong Kala, Gong Cokoh, Gong Datuk dan Gong Pasir di sini, hidup dalam kegelisahan apabila memikirkan air yang digunakan keruh serta menyebabkan kulit gatal.

Masalah tersebut sudah lama berlarutan sehingga mereka mempersoalkan sama ada air yang disalurkan itu dirawat atau tidak.

Samiyah Abd Rahman, 51, ibu kepada 11 anak berkata, disebabkan masalah itu, tiga anaknya mengalami masalah kulit iaitu gatal dan meninggalkan parut.

“Saya sedih bila melihat anak yang berusia 16, 14 dan empat tahun menggaru-garu setiap hari sehinggakan berdarah.

“Kami sudah tidak mempunyai pilihan lain selain terus menggunakan air tersebut walaupun ia keruh dan berkeladak,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu dia boleh bertahan lagi apabila memikirkan pakaian sekolah anak-anak bertukar warna daripada putih menjadi kekuningan tetapi apabila melihat anak asyik tergaru-garu ia mendatangkan perasaan marah dan kecewa dengan pihak yang berkenaan.

“Tolonglah selesaikan masalah ini secepat mungkin dan kasihanilah kami sebagai rakyat sudahlah setiap bulan terpaksa mengeluarkan duit membayar bil air dan kini terpaksa pula keluarkan duit untuk kos perubatan anak-anak, bukan kami sekeluarga tetapi ramai yang alami masalah ini,” katanya.

Perniagaan terjejas

Peniaga, Rohana Mohamed, 44, setiap hari pasti mengeluh memikirkan bagaimana dia ingin meneruskan perniagaannya apabila paip yang dibuka mengeluarkan air yang keruh.

Dia berkata, air yang keluar tidak ubah seperti teh susu yang dihidangkan kepada pelanggannya dan sukar untuk dia meneruskan perniagaan jika masalah tersebut berterusan.

“Saya cuma berniaga kecil-kecilan dan untungnya pula tidak seberapa, jika keadaan ini berterusan susahlah saya nak cari rezeki.

“Setiap hari hendak berniaga saya perlu mengeluarkan duit lebih bagi mendapatkan air bersih yang dibeli dari kedai runcit dan ini meningkatkan lagi kos,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana sebagainya rakyat mereka sudah tidak mempunyai tempat lagi untuk mengadu masalah itu. - Sinar Harian

1 comment:

  1. mustahil sebuah negeri di bawah pemerintahan para ulama dan di berkati, boleh ada masalah mcm tu...ini semua fitnah UMNO je...

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.