Walaupun PR Menang Sukar Nak Laksanakan Hudud - Pas

SHAH ALAM - Pimpinan Pas bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad bahawa pelaksanaan hudud tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana pelbagai halangan dan suasana yang belum sesuai di negara ini.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, bagaimanapun Pas tidak akan berputus asa demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menegakkan syiar Islam dari pelbagai aspek.

Menurutnya, antara halangan besar sebelum melaksanakan undang-undang Islam di negara ini adalah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang perlu dipinda.

"Dalam konteks negara kita hari ini, adalah sukar untuk melaksanakan hudud kerana terdapat pelbagai halangan dalam perlembagaan itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Apabila ditanya mengenai hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Pas menyertai Umno bagi melaksanakan hudud, beliau menegaskan Pas kini tidak mempercayai kenyataan Dr Mahathir tersebut.

Menurutnya, Dr Mahathir adalah orang yang menentang hudud sejak dari tahun 90-an sewaktu Kelantan ingin melaksanakan hudud.

"Kita tidak akan percaya lagi dengan janji manis Dr Mahathir dan pelawaan itu kerana dari dahulu lagi Pas pernah mempunyai pengalaman dengannya dalam isu ini," katanya.

Semalam, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menjelaskan hudud tidak boleh dilaksanakan selagi rakyat tidak menerima dan memahami undang-undang Islam itu secara menyeluruh.

Katanya lagi, sebelum merealisasikan undang-undang tersebut, ia memerlukan perbincangan secara terbuka serta membabitkan banyak proses perundangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berkata, kerjasama Pas dan Umno berhubung isu hudud hampir mustahil berlaku sekiranya Kerajaan Pusat iaitu Umno tidak serius untuk melaksanakannya.

"Pas dan Umno sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Sudah tidak mampu untuk berbincang berkaitan perkara apapun, bukan hanya isu hudud malah, berkaitan hal lain juga.

"Kita melihat hubungan kerjasama tidak dapat dilakukan," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.