Bantahan Terhadap Video Hina Islam Semakin Parah

Kaherah - Bantahan terhadap video hina Islam semakin ganas selepas 12 orang, lapan daripadanya orang asing terbunuh dalam serangan bunuh diri di Kabul, Afghanistan, semalam.

Selain itu, beberapa lagi menjadi korban dalam protes di Pakistan dan Kashmir manakala beratus-ratus orang lagi mengadakan tunjuk perasaan di Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menggesa umat Islam mengelak menggunakan keganasan menanganinya.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky, berkata filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana menjejaskan keharmonian sejagat.

Di KABUL, seorang penyerang bunuh diri wanita memandu kereta penuh bahan letupan merempuh sebuah bas mini membawa pekerja penerbangan Afrika Selatan ke lapangan terbang.

Balas dendam

Pergerakan Hizb-i-Islami yang mendakwa bertanggungjawab menyatakan ia sebagai membalas dendam terhadap penyiaran filem Innocence of Muslims yang dihasilkan seorang warga Amerika Syarikat keturunan Mesir.

Terbaru, pergerakan al-Qaeda di Afrika Utara pula menggesa serangan dilakukan terhadap diplomat Amerika selain memperhebat protes yang sudah meletus di Asia Barat dan Asia Tenggara.

Dalam kenyataannya, pergerakan al-Qaeda di Rantau Islam memuji pembunuhan duta Amerika ke Libya, Chris Stevens, dalam serangan di konsulat Amerika di Benghazi pada 11 September.

Ia mengutuk Amerika kerana menipu orang Islam lebih 10 tahun lalu dengan memberi alasan kempen perangnya adalah terhadap keganasan dan bukan Islam. Ia juga mengancam mahu melancarkan serangan di Algeria, Tunisia, Maghribi dan Mauritania.

Bertempur dengan polis

Di PAKISTAN, beratus-ratus penunjuk perasaan merempuh hadangan di luar konsulat Amerika di bandar Peshawar yang mencetuskan pertempuran dengan polis menyebabkan beberapa orang cedera, kata pegawai polis, Arif Khan.

Penunjuk perasaan membaling batu bata dan ketulan kain dibakar ke arah polis yang melepaskan gas pemedih mata serta peluru getah selain menyerbu mereka dengan cotar.

Protes itu ditaja kumpulan pemuda Jamaat-e-Islami.

Di bandar Srinagar, Kashmir, mogok menyebabkan tempat perniagaan ditutup dengan penunjuk perasaan membakar bendera Amerika dan patung Presiden Barack Obama.

Apabila mereka cuba masuk ke kawasan perniagaan utama, polis melepaskan gas pemedih mata dan menyuraikan mereka, kata seorang pegawai. Ada juga penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota keselamatan.

Bakar bendera Amerika

Di INDONESIA, kira-kira 200 anggota beberapa pertubuhan Islam membakar bendera Amerika dan tayar di luar konsular Amerika di bandar ketiga terbesar, Medan.

Ada yang menunjukkan sepanduk berbunyi Berambus Amerika, manakala orang lain memijak bendera kertas.

Di MAKASSAR, 100 pelajar Islam menggesa produser filem itu, Nakoula Basseley Nakoula dihukum mati.- Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.