Hari ini dipaparkan lagi di dada akhbar kerisauan Tun Dr Mahathir terhadap perpecahan Umat Melayu-Islam. Masalah perpecahan Umat Melayu-Islam memang menjadi maudhu’ kegemaran Tun.
Di akhir-akhir ini Tun sebagai salah seorang yang paling berpengalaman dalam mengurus negara sudah tentu dapat melihat wajah umat Melayu di negaranya sendiri untuk tempoh beberapa dekad yang akan datang.
Setakat bahan yang dapat dirujuk, nasib Umat Melayu-Islam yang kini terus tertinggal di belakang akan jauh lebih buruk lagi untuk masa yang akan datang.
Selama ini rata-ratanya Umat Melayu masih menguasai pentadbiran dan politik negara. Penguasaan ini akan lenyap. Tanda-tandanya sudah jelas kelihatan. Tulisan yang begitu besar di dinding sungguh mengerikan.
Secara umumnya dari sudut politik, orang Melayu-Islam berpecah kepada beberapa serpihan. Ada Melayu Umno. Ada Melayu PAS. Ada Melayu PKR. Ada Melayu atas pagar. Ada Melayu yang tak ambil kisah tentang politik dan tidak ketinggalan ada Melayu DAP (setidak-tidaknya menyokong idealisme DAP).
Perpecahan Umat Melayu ibarat berkerat rotan berpatah arang. Sebarang usaha ke arah penyatuan biasanya dilihat dari sudut yang paling negatif. Ada pihak yang menjadikan perkataan dan nada perpaduan sebagai “taboo”.
Sementara bagi masyarakat bukan Melayu pula ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka dalam banyak hal kelihatan tidak sehaluan. Tetapi hakikatnya mereka bersatu memperjuangkan cita-cita yang sekelian lama tertanam di hati dan tersemat di pemikiran.
Bagi Umat Melayu kita tidak mempunyai banyak pilihan. Pilihan yang ada samada untuk “survive” atau “pupus” di tanah tumpah darah mereka sendiri.
Kita masih ada masa yang berbaki untuk membuat pilihan. Dari tinjauan rambang yang dibuat pilihan yang paling popular ialah perpaduan. Sampai masanya kita kena berjiwa besar. Juga sudah sampai masanya kita melupakan titik bengik dan mengimbau kenangan pahit sebaliknya memandang jauh ke hadapan demi kesejahteraan, kebahagiaan dan keselamatan generasi Melayu-Muslim yang bakal menggantikan kita.
Dalam konteks ini setiap Umat Melayu perlu segera menghulur tangan antara satu sama lain bergandingan bagi memastikan mimpi ngeri dapat dielakkan. Badan-badan politik Melayu, NGO-NGO, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan dan semua pihak perlu tampil ke hadapan untuk sama-sama memikul tanggungjawab bagi memastikan Islam terus diagungkan dan Bangsa Melayu terus dimartabatkan. - Datuk Dr Hassan Ali
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.