'Nak Keluar Parti, Keluarlah. Pas Tidak Rugi Apa-Apa Sebaliknya Hanya Merugikan Individu Itu'

Pas tidak akan goyah mahupun terjejas meskipun berhadapan dengan serangan bertubi-tubi daripada bekas ahlidan pemimpin, kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.
 
Bercakap dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian, Salahuddin menegaskan, walaupun ramai yang masuk dan meninggalkan parti itu, kemudian muncul dengan pelbagai dakwaan tidak berasas,ia tidak mengubah apa-apa dalam Pas sebaliknya hanya merugikan individu berkenaan.

“Pas pernah kehilangan orang nombor satu, presidennya, timbalannya, naibnya, setiausaha agungnya. Ini sejarah yang pernah dilalui.

“Jadi, Pas tidak tersentuh dengan hal-hal seperti ini. Nak datang dengan seribu kehendak, sama dengan parti mereka akan diberikan tempat dan kepercayaan. Nak pergi, pergilah. Parti tidak rugi apa-apa,” kata Salahuddin.

Mutakhir ini parti Islam itu dikritik hebat dari pelbagai sudut oleh bekas pimpinannya yang meninggalkan parti ekoran tidak berpuas hati dengan prinsip perjuangan Pas yang dikatakan sudah beralih arah.

Bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa lantang mengkritik kepimpinan parti Islam itu yang dakwanya lebih mengutamakan kuasa sementara agama diletakkan di tangga kedua.

Sementara bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menggesa Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan susulan tindakannya mempertahankan kerjasama di antara Pas dan DAP.

Hasan kemudian meminta tempat Nik Aziz digantikan dengan timbalannya, Datuk Dr Haron Din.

Salahuddin berkata, kritikan mereka yang meninggalkan parti itu sama ada melibatkan dasar atau hala tuju parti, tidak mendatangkan kesan atau mencacatkan rekod parti itu.

“Allahyarham Datuk Asri Muda pernah meninggalkan Pas. Datuk Nakhaei Ahmad juga. Bukan dari jawatan yang kecil termasuklah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Riuhlah seminggu dua, tetapi Pas tidak goyah dengan mereka ini.

“Bagi saya, apa yang penting, rekod kita. Amanah yang diberikan itu yakin atau tidak. Yang penting adalah, Pas terus melangkah ke hadapan walaupun datang ujian sepanjang perjalanan,”katanya.

Bahkan ujarnya, sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman, Pas memahami lenggok suara-suara bekas ahlinya yang sudah kehilangan kuasa.

“Ada beberapa isu tidak perlu dijawab oleh parti kerana pandangan tersebut lahir daripada pandangan individu sendiri, di mana suatu ketika dulu pernah berada di tempat pemenang utama parti.

“Tiba-tiba apabila tiada di posisi itu, dan mengatakan perkara yang lain. Sebab itu, Pas berpengalaman menghadapi orang-orang seperti ini,”ujarnya lagi. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.