PRU 13 - Tun M Kata Sekarang Masa Yang Sesuai, Dan Najib Minta Jentera Bersiap Sedia

SERI ISKANDAR - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sesuai diadakan bila-bila masa sahaja, termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.

"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga.

Sementara itu, isyarat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat semakin jelas, beliau mahu semua jentera Barisan Nasional (BN) menentukan mereka sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dipetik Bernama, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, sebelum menuju ke medan 'perang', seluruh jentera BN perlu membuat persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.

"Kita mesti membuat persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, hari ini.

Dalam menegaskan perkara itu, Najib memetik seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan yang teliti boleh mengalahkan pihak yang kurang buat kurang perancangan walaupun pihak yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Kata Najib, agenda penting apabila ke medan perang adalah untuk memastikan kemenangan dan pada pilihan raya umum ke-13 ini, BN mahu mendapatkan kemenangan yang lebih besar.

"Siapa hendak pergi perang, kalah. Siapa yang mahu kalah? Kita mahu menang dan kali ini, kita mahu menang besar, sudahkan anda bersedia? Sentiasa bersedia. Bateri kuat tak?," tanya beliau yang mendapat sorakan padu daripada anggota perwakilan yang hadir.

Seramai 1,698 anggota perwakilan menghadiri persidangan kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita.

1 comment:

  1. Ramalan tun M,meme betul....PRU 13 meme BN dikuburkan.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.