Bincang Isu Songlap Terbuka Rosak Imej Parti, Kalau Songlap Secara Terbuka, Ok ?

Dalam menghadapi situasi politik negara kita hari ini, dengan kebangkitan atau disebut tsunami cina dan disamping perpecahan dikalangan orang Melayu yang sedang dihadapi, kemerosotan undi parti yang majoritinya mewakili Melayu yang sebelum ini mendapat majoriti 2/3 dalam 10 pilihanraya gagal mengekalkan rekod tersebut pada dua pilihanraya yang lalu, keadaan ini seharusnya diberi perhatian utama oleh pemimpin-pemimpin Melayu dalam Umno yang tak putus-putus melaungkan perjuangan demi agama,bangsa dan negara sebelum berlakunya tsunami Melayu pada PRU14 yang akan datang.

Amat malang jika pemimpin Melayu masih bercakaran sesama sendiri, dari merebut jawatan ketua bahagian sehingga bercita-cita menjadi menteri, sedang anak-anak bangsa sendiri masih ramai yang merempat dan terpaksa menagih rezeki disyarikat-syarikat milik bangsa lain?

Perpecahan Melayu jelas dapat dilihat bila timbulnya isu-isu yang berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, pemimpin Melayu gagal untuk bersama bersatu pendapat dengan mengambil kira dari seluruh aspek dalam menjaga kepentingan Melayu diluar konteks kepentingan politik.

Berjuanglah dengan benar-benar ikhlas demi agama, bangsa dan negara, wahai pemimpin Melayu, buanglah sikap yang mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Cukuplah berretorik kuno dizaman yang begitu moden ini. Kelak akan diperlondeh dan ditelanjangi satu persatu akan segala retorik itu.

Tidak seharusnya mengcampuri perjuangan agama, bangsa dan negara dengan mencari keuntungan kepada diri kita sendiri, sebaliknya tubuhlah syarikat dan berniagalah tanpa menggunakan platform parti, kerana jika menggunakan platform parti, parti itu bersifat ramai tidak bersifat peribadi, keuntungan menggunakan platform parti sangatlah tidak wajar dimiliki oleh peribadi sebaliknya ia perlu menjadi dana parti bagi meneruskan perjuangan parti.

Lebih malang lagi jika projek-projek yang dibina menggunakan platform parti itu mengalami kegagalan atau masalah dan sekaligus parti akan menerima kesan buruk dari itu. Jika begitu perjuangan pemimpin Melayu, benarkah ia berjuang untuk menghidupkan parti ? Atau lebih sesuai jika kita katakan ia berjuang untuk memusnahkan parti diatas mendapatkan kepentingan peribadi.

Perlu diketahui, Malaysia adalah merupakan satu-satunya negara Komanwel yang belum pernah menukar Kerajaan Persekutuan sejak lebih 50 tahun lalu. Secara ironinya Empayar Kerajaan di dunia ini tidak pernah kekal lama dan akan berkuasa untuk selamanya. Apatah lagi bagi kerajaan yang mendukung sistem demokrasi, contohnya, kejatuhan Parti Kongres di India setelah 40 tahun memerintah, begitu juga berlaku dengan parti terbesar dan paling berkuasa di Jepun iaitu  Liberal Demokrat Parti (LDP) yang tersungkur setelah 54 tahun memerintah.

Jika merasakan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara kita ini tidak akan menjatuhkan kerajaan BN, tapi jika rakyat sudah meluat dengan pemimpin dan sistem yang diamalkan kerajaan ditambah lagi dengan pembajaan benih fitnah pembangkang, apakah mustahil untuk berlaku revolusi dinegara kita sebagaimana berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Syria ?

Suka kita merujuk titah Sultan Azlan Shah pada 29 Jun 1980. "Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya".

Dengan itu apakah kita fikir amalan mencari keuntungan peribadi secara melampau menggunakan platform  parti itu satu perkara yang relevan untuk diamalkan ? Contohnya jika bangunan-bangunan yang baru dibina secara berterusan terus meruntuh, barang yang harganya RM1 juta ditender RM100 juta, apa itu bagus untuk parti ?

Sedangkan jatuh bangun sesebuah kerajaan itu bergantung kepada parti, jika parti itu ditolak rakyat, apa mungkin kerajaan itu masih kekal berkuasa?  Jadi dimana relevannya mencari keuntungan peribadi diatas platform parti ? Yang dapat untung adalah sesekerat pemimpin dan kroni, yang duk terlopong pula ahli-ahli, jika diwar-warkan secara terbuka dikatakan boleh merosakkan imej parti, tapi jika menyonglap secara terbuka apakah ia bijak bistari ?

Sampai bila kita harus menjadi dungu dengan begitu sukar untuk kita bangkit memprotes pemimpin cacarmarba yang merosakkan parti ?, kalau seseorang penyokong atau ahli UMNO itu benar-benar sayangkan perjuangan UMNO, maka renunglah sejenak apakah benar tindakan anda mempertahankan pemimpin songlap, korup dsb itu berterusan dan bertenggek menjadikan UMNO yang anda sayangi dasar perjuangannya itu dikeji hanya kerana sikap tolol pemimpin seperti ini.

Jika apa-apa perkara yang timbul dan diperkatakan itu adalah fitnah, perlulah mana-mana pemimpin terlibat tampil mempertahankan maruah dirinya demi keutuhan parti, dan cybertrooper pro BN sentiasa bersikap terbuka dalam membantu menyebarkan kebenaran jika apa yang dituduh itu adalah fitnah.

Akhirnya, disaat-saat UmnoBN memerlukan sokongan setiap pihak, saat-saat yang getir menentukan masa depan perjuangan BN, bukan orang kecil Umno yang ingin membunuh Umno, tapi orang besar yang semasa berada dalam Umno pernah memalitkan isu di 'Brisbane' sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada Umno, dan setelah keluar Umno sekali lagi ia memburukkannya. Apa anda fikir ini politik demi agama, bangsa dan negara ?

Politik baru hari ini tidak memerlukan kita berfikiran lapuk untuk mempertahankan mana-mana pemimpin yang terbukti bermasalah, kerana pemimpin ini jugalah nanti selepas ia sukar lagi untuk melakukan masalah, ia akan memberi masalah kepada parti, anda sebagai pejuang pula, jika dulu anda pernah pertahankannya daripada diserang, tapi hari ini anda terpaksa pula menahan dari serangannya. Itulah uniknya politik yang perlu dilihat didalam kerangka yang luas dan jauh. Sama-samalah kita bermuhasabah. Anda Mampu Mengubahnya.

4 comments:

  1. Tepat sekali pandangan sdr penulis berikan, tapi sdr telah berjuang pada tempat yang salah, UMNO bukan tempat orang seperti sdr berjuang, saya mencadangkan sdr menghayati teguran Tun M ini dan menilai UMNO pada hakikat yang sebenar.

    . Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan UMNO 1946.

    2. Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.

    3. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.

    4. Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.

    5. Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambil kira pangkat dan darjat, tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.

    6. Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci, perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar British.

    7. Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.

    8. Itulah UMNO enam puluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.

    9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.

    10. Kenapa? Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

    ReplyDelete
  2. 11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.

    12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.

    13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.

    14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.

    15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.

    16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.

    17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini? Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.

    18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.

    19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali. Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu. Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO. Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan. Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.

    ReplyDelete
  3. 20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain. Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak dizaman akan datang.

    21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.

    22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”.

    ReplyDelete
  4. Pada himat aku cara ajaran agama hari ini yang melemahkan semangat kebangsaan. Hendak lah ingat, Melayu UMNO tuntut merdeka atas semangat kebangsaan, dan semua negara merdeka dari penjajah pun demikian.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.