Najib:"Kita Tidak Akan Benarkan Mendiang (Chin Peng) Dikebumikan Di Malaysia"

KOTA KINABALU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya itu dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian.

Perdana Menteri berkata, bekas ketua komunis yang meninggal dunia di Bangkok pada Isnin akan diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas pasukan keselamatan.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan tidak akan terlibat dalam urusan pengebumian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sama ada di negara ini atau di Thailand.

"Kita tidak akan benarkan mendiang dikebumikan di Malaysia sebab sejarah hitam yang dia lakukan. Tambahan lagi Chin Peng bukan warganegara Malaysia.

"Dia tidak mahu jadi warganegara Malaysia, jadi kita tidak ada apa-apa ikatan dengannya sama sekali," kata Najib pada sidang akhbar di sini ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbang sekiranya anggota keluarga Chin Peng memohon untuk melakukan urusan pengebumiannya di Malaysia.

"Kerajaan Malaysia percaya urusan pengebumian akan dilakukan di Thailand,"kata Najib yang berada di sini sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50.

Chin Peng dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada kira-kira 6.20 pagi kerana sakit tua, sebulan sebelum tarikh ulang tahun ke-89 kelahirannya. Chin Peng dilahirkan pada 21 Oktober, 1924.

Najib menarik perhatian bahawa keganasan komunis yang dipimpin Chin Peng terutama di era darurat telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban terutama anggota keselamatan di samping beribu yang lain mengalami kecederaan atau kecacatan.

"Rakyat juga menderita kerana kemusnahan harta benda sepanjang PKM melancarkan peperangan ke atas kerajaan selain melakukan sabotaj terhadap ekonomi negara," katanya.

Pemimpin pengganas yang hidup dalam buangan di Thailand itu pernah membuat permohonan untuk pulang ke Malaysia, namun ditolak. 

Sementara itu mengulas isu sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Chin Peng akan lebih aman sekiranya disemadikan di tempat beliau menghabiskan sisa hidupnya, ini kerana mendiang bukanlah seorang warganegara Malaysia dan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak kerakyatannya di negara ini.

“Dia tidak pernah mendapatkan kerakyatan (Malaysia) ketika dia menyertai PKM... Saya tidak pasti sama ada beliau mendapat kewarganegaraan dari Thailand tetapi dia bukan seorang warga Malaysia,” katanya menerusi laman mikro Twitter.

Syabas buat Perdana Menteri kerana ketegasan tersebut, keganasan komunis menyeksa dan membunuh rakyat negara ini sesekali tidak pernah terpadam dalam ingatan rakyat.

1 comment:

  1. Bravo charlie tanggo.kami sokong 100%.Nyah kamu saki baki dapig pejuang komunis

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.