Tiga Pesanan Najib Kepada Calon Bertanding

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan semua anggota Umno supaya tidak menyalahgunakan kuasa, mengamalkan politik wang atau menyerang secara peribadi dalam usaha mendapatkan mana-mana jawatan dalam pemilihan Umno tahun ini.

Perdana menteri mengingatkan mereka supaya mengekalkan demokrasi dengan menjaga tata tertib dan kesopanan sepanjang masa berkempen.

"Nasihat saya bukan untuk jawatan naib presiden sahaja tetapi untuk semua jawatan, maknanya kita mesti jaga ketertiban, kesopanan dalam kempen-kempen secara beradab.

"Jangan guna wang dan juga salahguna kuasa, jangan menyerang peribadi dan sebagainya, ini semua kita akan tentukan garis panduan yang sesuai dan jawatankuasa disiplin akan meneliti perjalanan kempen kita," katanya pada sidang media sebelum berlepas ke Amerika Syarikat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib berkata, tindakan tidak beretika oleh mana-mana pihak pastinya akan menjejaskan imej dan nama baik parti terbesar di negara ini yang juga merupakan parti keramat bagi orang Melayu.

"Saya berharap semuanya dapat berjalan dengan penuh adab, ketertiban dan menjaga imej parti kita supaya tidak tercalar dengan apa juga tindakan, perbuatan, pertuturan ataupun risalah kempen yang dilakukan mana-mana pihak sama ada dari calon sendiri ataupun penyokong calon," katanya.

"Kita meminda perlembagaan dengan tujuan tersebut (demokrasi) kalau tidak kita tidak menjadikan parti kita lebih terbuka seperti yang kita lihat hari ini berdasarkan perlembagaan baru.

"Melalui demokrasi, parti kita akan lebih disanjung tinggi oleh rakyat yang sentiasa memandang kepada perjalanan pertandingan dalam Umno. Sebagai parti terbesar dalam negara, sudah tentu ia akan menjadi penelitian rakyat jelata sepanjang kempen yang akan berlangsung selepas ini," katanya.

Apa yang disebut oleh PM itu seharusnya dipatuhi oleh setiap calon dan juga penyokong masing-masing, namun bagi calon yang sememangnya mempunyai masalah yang mana masalahnya itu boleh memudaratkan parti atau memberi cerminan negatif kepada parti, ada kewajarannya untuk didedahkan supaya ianya tidak disalah pilih.

Ini kerana apabila disebut sebagai bangkai, bagaimana sekalipun disorok, lama-lama ia pasti berbau jua, oleh demikian, bagi mengelakkan bau bangkai itu dihidu ketika saat hampirnya PRU, eloklah kalau dapat dibersihkan bangkai berkenaan semasa proses pemilihan ini. Anda Mampu Mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.