BR1M Untuk Rakyat Dimansuhkan! Projek Untuk Pemimpin Di Ali-Babakan! @NajibRazak

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014, dan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber pendapatan mereka, katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini Selasa.

"Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja.

"Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai sebab itu walaupun banyak BR1M diberi...," katanya sambil menambah: "Kalau betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan."

Untuk makluman, statistik permohonan BR1M 1.0 ialah 4,865,359, daripada jumlah itu 4,179,062 permohonan telah diluluskan dan melibatkan peruntukkan berjumlah RM 2,089,531,000.

Bagi BR1M 2.0 pula permohonan meningkat kepada 5,471,804,  namun hanya 4,806,500 permohonan diluluskan dan melibatkan peruntukkan sebanyak RM2,403,250,000.

Untuk penerima individu@bujang (RM250), daripada 2,250,437 permohonan, 1,995,923 diluluskan dan melibatkan peruntukkan sebanyak RM 498,980,750.

Mungkin benar juga apa yang diperkatakan oleh Tun M dimana pemberian BR1M boleh menyebabkan rakyat selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja, sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber pendapatan mereka.

Bagaimanapun hal itu tidak adil jika hanya kebergantungan rakyat kepada kerajaan sahaja yang suka diperkatakan, sebaliknya bagaimana pula dengan kebergantungan pemimpin kepada sumber hasil negara, projek-projek kerajaan, tender dsbnya? Sehinggakan kerakusan pemimpin-pemimpin sukar lagi dibendung dalam usaha mereka mengaut kekayaan negara, banyak projek-projek dijual kepada pihak ketiga atau di ali-babakan secara terbuka dengan mengambil keuntungan secara mudah tanpa melakukan sebarang kerja.

Semua itu bukan melibatkan kebergantungan pemimpin kepada kerajaan didalam jumlah yang sedikit atau RM500 setiap projek, malah jauh tak dapat diukur dengan nilai secuma itu, sedangkan rakyat melihat kemewahan pemimpin, anak, menantu dan kroni tiada taranya, sukar untuk dibayangkan penerimaan baik rakyat dengan penampilan itu sedang rakyat dibebani dengan pelbagai kekangan hidup.

Siapalah rakyat jika nak dibandingkan dengan pemimpin ? Siapalah rakyat jika mahu setanding kekayaannya dengan pemimpin ? Namun harus diingat, menjadinya seorang pemimpin itu adalah diatas undi rakyat, tanpa undi rakyat pemimpin itu tidak akan menjadi pemimpin dan mungkin hanya tersengih-sengih ditepi jalan, dan setiap undi rakyat yang mengangkatnya menjadi pemimpin bukan bertujuan untuk pemimpin itu mencari kekayaan kepada diri sendiri, akan tetapi membahagikan kekayaan itu kepada seluruh rakyat dengan tidak mewujudkan jurang perbezaan yang terlalu tinggi.

Terpimpinnya negara ini dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional, malangnya, saban hari rakyat didodoikan dengan isu-isu ketirisan, pemborosan, penyelewengan dsbnya, mungkin sebahagian besar boleh dianggap sebagai persepsi, tapi sebahagian yang lain tidak dapat dinafi dengan perincian yang dibentangkan setiap tahun menerusi laporan audit oleh Ketua Audit Negara antaranya seperti berikut:

Beberapa kelemahan dikesan dalam aktiviti pendidikan kesihatan termasuk kos pembangunan laman sosial Facebook dan Twitter bernilai RM320,000 yang tidak wajar. Laporan Ketua Audit Negara, kos kempen 'Tak Nak Merokok' dibuat oleh sebuah syarikat melibatkan akaun Facebook bernilai RM199,068 bagi tempoh Julai hingga Disember 2011 dengan bilangan 100,000 'like/fans'.

Kos pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di empat kolej komuniti berbeza iaitu antara RM35,350 dan RM281,249 ekoran ketidakseragaman dalam penyediaan 'Bill of Quantities' (BQ), menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Perolehan di empat kolej komuniti itu ialah sebanyak RM35,350 di Kolej Komuniti Segamat 2, Johor; Kolej Komuniti Selandar (RM139,200), Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka (RM281,249) dan Kolej Komuniti Gerik, Perak (RM144,900).


Projek rangkaian paip pembetungan di Kuala Sawah, Seremban, Negeri Sembilan yang 'sakit' ekoran kelewatan kontraktor asal menyiapkan projek memberi impak kepada kerajaan dari aspek kos berikutan peningkatan kos keseluruhan projek daripada RM81.45 juta kepada RM121.65 juta.

Jawatankuasa pemantauan yang ditubuhkan bagi memantau Projek Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 gagal mentadbir kontrak kerajaan sehingga menyebabkan berlaku pembayaran tidak wajar sebanyak RM13.54 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa menyatakan Jawatankuasa Pemantauan Dan Penilaian Projek (JPPP)mengesahkan pembayaran RM1.62 juta berbanding kos dalam Bill of Quantity berjumlah RM1.08 juta, yang mengakibatkan terlebih bayar sebanyak RM0.54 juta.


Antara keberlakuan itu, tidak merasa marahkah rakyat ? Tidak sakit hatikah rakyat ? Rakyat disuruh berdikari tanpa mengecapi hasil kekayaan negara dengan cara yang mudah, tapi pemimpin dan anak beranak bergoyangan kaki melapah apa saja yang mereka kehendaki. Mahukah rakyat mengekalkan kerajaan yang hanya ingin rakyat berterima kasih kepada mereka sebaliknya pemimpin kerajaan langsung tidak tahu berterima kasih dan menghargai sokongan rakyat ?

Relevankah kerajaan untuk mendidik rakyat supaya tidak bergantung dengan kerajaan ?
Berkirakah kerajaan dengan bantuan RM500 kepada golongan rakyat yang berpendapatan rendah ? Sejauhmanakah ketepatan pandangan mengenai bantuan BR1M sebanyak RM500 itu boleh menyebabkan  'rakyat tak mahu membuat kerja' ? Adakah kajian telah dibuat dan mendapati setelah BR1M dilaksanakan semakin ramai rakyat yang berhenti kerja ? Jika tanggapan bahawa apa yang diberi secara percuma tidak akan dihargai sebab itu walaupun banyak BR1M diberi tidak kesemua mengundi BN, adakah kerajaan yakin jika tanpa bantuan BR1M, kerajaan masih mampu mengekalkan kuasa sehingga hari ini ?

Sebenarnya apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri hari ini adalah selari dengan perkembangan politik semasa dan ia sejajar dengan kehendak rakyat diera penerimaan maklumat tanpa sempadan, pemikiran rakyat hari ini jauh berbeza dengan dulu, dimana terutamanya golongan muda yang dilihat semakin agresif selain bersifat terbuka dan cenderung untuk menerima dasar-dasar baru yang boleh memberi faedah kepada semua bukan hanya kepada pemimpin tertentu seperti sebelumnya.

Acuan lapuk tidak lagi sesuai untuk dipraktikkan jika kerajaan Barisan Nasional ingin kekal mentadbir negara, kerajaan tidak perlu berkira dalam memberi bantuan kepada rakyat, kerana dikhuatiri satu ketika dimana rakyat juga turut akan berkira dengan kerajaan, bantuan seperti BR1M adalah bonus kepada rakyat yang bertujuan meringankan sementara beban yang ditanggung oleh rakyat, bantuan BR1M tidak mengkayakan rakyat sehingga rakyat tidak mahu berkerja, sebaliknya yang mengkayakan pemimpin tidak mahu berkerja adalah projek Ali-Baba yang seharusnya diberi perhatian serius  berbanding bantuan seperti BR1M. Rakyat Mampu Mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.