12:00 Dataran Merdeka – Pengarah Strategi PKR memberi ucapan di tepi pentas, atas jalan di Dataran Merdeka.
Katanya, mereka harus turun ke jalan raya kerana perdana menteri hanya kenal suara demonstrasi seperti itu.
"Kita akan terus lawan kenaikan harga barang. Kalau tak turun, kita turunkan Najib," kata beliau.
Tepat jam 12 waktu di telefon, percikan bunga api dilepaskan ke udara tetapi jam di bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan pukul 12.05 malam.
11.50pm, Dataran Merdeka – Suasana di padang senyap sebentar. Peserta himpunan dan polis kelihatan melihat jam masing-masing untuk menunggu detik jam 12 tengah malam.
Sebahagian penonton konsert tidak puas hati berkata “baliklah” dan sebahagian lagi melaungkan 1Malaysia kepada peserta himpunan.
11.30pm, Dataran Merdeka – Konsert di Dataran Merdeka ditamatkan. Pegawai DBKL dilihat berbaris di depan pentas yang lampunya sudah ditutup.
Pentas kemudian dipenuhi dengan wartawan yang mahu mengambil gambar peserta himpunan dengan lebih jelas.
11:00pm, Dataran Merdeka – Selepas 15 minit berdiri berdepan dengan pegawai polis dan DBKL di depan Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan, peserta himpunan cuba memecahkan hadangan sekali lagi.
Diketuai dua individu dengan bendera Malaysia, mereka dilihat melepas
kepungan polis ke Dataran Merdeka. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak
melakukan apa-apa untuk menghalangnya.
10.45pm, Dataran Merdeka – Peserta himpunan TURUN cuba merempuh barisan kedua polis.
Pegawai DBKL membantu menolak kembali peserta menyebabkan orang ramai terhimpit.
OCPD Dang Wangi kemudian tampil menenangkan keadaan.
“Bertenang, sabar. Bunga api di sebelah kamu, bukan sebelah sini, kita tunggu sama-sama,” katanya berseloroh.
“Jangan ganggu polis. Kami hanya menjalankan tugas menjaga kedua-dua belah (peserta himpunan dan hadirin konsert). Saya minta kerjasama,” katanya.
10:30pm, Dataran Merdeka – Kira-kira 7,000 orang berkumpul di hadangan berdekatan persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Raja.
10:15pm Menara DBKL - Lebih 3,000 peserta diketuai SMM dan pemimpin mahasiswa tiba di Menara DBKL yang diawasi puluhan pegawai keselamatan.
Mereka kemudiannya terus ke persimpangan jalan Tun Perak untuk bergabung dengan peserta di dataran merdeka.
Mereka melepasi benteng polis di hadapan dataran merdeka tanpa halangan. Persimpangan Jalan Raja Laut-Jalan Tun Perak - Pengerusi TURUN Azan Safar berarak ke Dataran Merdeka dari arah Jalan Raja Laut.
Beliau yang berjalan, dengan kawalan beberapa orang peserta himpunan berbaju-T 'TURUN', memegang mikrofon sambil melaungkan 'Turun harga barang'.
10.05pm, Dataran Merdeka - Sekumpulan peserta yang berkumpul di tengah-tengah jalan menyanyi "Turunkan harga barang, berhenti tekan rakyat" sambil bertepuk tangan.
Mereka kini mula duduk di tengah-tengah jalan persimpangan Jalan Tun Perak dan Raja Laut.
Jumlah peserta sekurang-kurangnya mencecah 2,000 orang.
10.00pm, Dataran Merdeka – Polis membuat barisan hadangan kedua. Peserta dibenarkan melepasi hadangan pertama tetapi ditahan di hadangan kedua.
Hanya yang meraikan sambutan tahun batu dibenarkan melaluinya.
“Di dalam ini siapa yang mahu menyambut tahun baru, jika kamu mahu protes di sebelah sana,” kata OCPD Dang Wangi.
10pm, Jalan Raja Laut – Lebih 3,000 peserta kini berarak ke arah menara DBKL di Jalan Raja Laut dengan pelbagai laungan menuntut penurunan kos sara hidup.
Jalan ditutup berikutan ramainya peserta yang memenuhi keseluruhan jalan. Peserta himpunan terdiri daripada pelbagai bangsa.
9.52pm SOGO - Peserta mula bergerak ke arah jalan Raja Laut. Kompleks beli belah SOGO telah pun ditutup dan kehadiran demonstran melebihi 1,000 orang.
Peserta yang kebanyakannya terdiri dari anak muda dan mahasiswa mula beratur untuk bersedia berarak.
Keadaan yang bingit menyebabkan ucapan dari pimpinan demo tidak lagi didengari.
Suasana kini bercampur baur dengan sorakan slogan, ucapan, perbualan dan hon kenderaan yang lalu lalang di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi.
Beberapa kenderaan nampak resah dengan keadaan tersebut dan polis trafik sudah pun meninggalkan persimpangan lampu isyarat di hadapan kompleks.
Peserta turut menyanyi lagu negaraku sebelum mula berarak.
9.40pm, Dataran Merdeka - Peserta himpunan sekarang memperolokkan dakwaan kerajaan bahawa mereka mahu “menggulingkan” kerajaan.
Dua orang kelihatan berbaring di jalan dan beberapa yang lain menjerit: “Tepi sikit! Kami nak guling ke Dataran Merdeka”.
Aksi itu cuma diperhatikan orang anggota polis di kawasan itu.
9.30pm, SOGO - Lebih 1,000 sudah berkumpul di hadapan kompleks membeli belah SOGO sekarang dengan nyanyian penaik semangat dan sorakan "Turunkan harga barang" dan Hidup Rakyat" masih kedengaran.
Peserta turut mula turun ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan meminta agar kereta membunyikan hon sebagai tanda sokongan. Sebilangan kecil peserta juga mula berarak ke arah Dataran Merdeka.
Mereka dipercayai sedang menunggu pimpinan dari NGO Turun untuk berarak ke arah Dataran Merdeka dan Menara DBKL.
Beberapa peserta turut mengambil kesempatan mengisi perut di gerai yong tau fu dan makanan ringan oleh peniaga di tepi jalan.
Keadaan agak tenang tetapi bingit dan sesak. Masih tiada polis berhampiran.
Dataran Merdeka - Peserta dari Masjid Jamek yang bergerak ke Dataran Merdeka dari Dataran DBKL dibenarkan melepasi lapisan pertama hadangan yang dikawal DBKL.
Bagaimana pun, mereka dihalang oleh satu lagi lapisan yang dikawal polis di depan Panggung Bandaraya.
Pasar Seni - Penyelaras Suaram Syukri Razab kelihatan sedang meninjau di Dataran Merdeka sama ada terdapat tangkapan dibuat oleh pihak polis.
Beliau memberitahu, barisan peguam disediakan jika terdapat sebarang masalah.
9.00pm, Masjid Jamek - Kumpulan dari Masjid Jamek mula bergerak ke Dataran Merdeka sambil melaungkan 'Reformasi', "Hidup Rakyat" dan "Bangkit Rakyat".
Sewaktu melintasi Dataran Merdeka, polis dan petugas DBKL kelihatan sudah bersedia di sebalik hadangan masuk ke Dataran Merdeka.