PR Berkempen Secara Tidak Sihat Dan Tuduh Perkara Tidak Berasas - Mei Fun

KAJANG - Calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun kecewa dengan tindakan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP yang menyebarkan maklumat dalam kempen Pilihan RayaKecil (PRK) Dun Kajang bahawa beliau akan menutup sekolah Jenis Kebangsaan Cina jika dipilih rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Menurutnya, parti pembangkang mengambil pendekatan berkempen secara tidak sihat dan menuduhnya dengan perkara yang tidak berasas.

“Kita tidak pernah menyebut mahu menutup sekolah itu tetapi kita mengikut permintaan PIBG untuk pindahkan sekolah itu dari tapak 0.8 ekar kepada 6.3 ekar.

“Sekarang sekolah itu lebih besar, lebih kondusif dan sesuai untuk bilangan murid yang ramai dan kini telah pun dibuka semula dengan bilangan murid seramai 307 orang," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, semalam.

Mei Fun pada masa sama meminta semua pengundi Kajang tidak mempercayai dakwaan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina akan ditutup jika beliau menang.

“Saya sendiri belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Bila mereka cakap saya akan tutup semua sekolah Cina memang tidak berasas. Orang ramai tidak akan percaya kerana latar belakang saya.

“Saya selalu mencari pendekatan atau cara untuk memperkuatkan lagi budaya Cina termasuk budaya lain, kerana kita harus wujudkan masyarakat yang harmoni dan muhibah,” katanya.

Mei Fun turut menyelar tindakan pihak yang sengaja menurunkan posternya sekali gus melabelkan perbuatan itu sebagai bukti kempen tidak sihat yang diamalkan PR.

“Tindakan itu memang tidak boleh diterima kerana kalau kita mahu bertanding kita kena bertanding secara sihat.

“Kalau tindakan ini diteruskan ia akan menjejaskan dan mencemarkan kempen,” katanya. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.