Tunggu Air Bomba Mandikan Jenazah

BACHOK - Penduduk Kampung Kubang Telaga terpaksa menunggu kehadiran bomba yang membawa air untuk memandikan jenazah seorang penduduk, Zakari Mat Hassan, 66, yang meninggal dunia selepas pulang dari padang berdekatan rumahnya kira-kira jam 3.15 petang, kelmarin.

Abang ipar arwah, Mohd Salleh Zakaria, 63, berkata, adik iparnya ke padang pada jam 2.30 petang sebelum mandi di parit berdekatan.

“Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia sekali lagi mandi di perigi berhampiran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Tiba di rumah dia mengadu sakit dada dan menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Telaga, Rosle Abdul Kadir berkata, apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia buntu untuk mendapatkan bekalan air bagi memandikan jenazah.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk dapatkan air untuk mandikan jenazah. Tak kan nak angkut air sungai yang jauh. Air perigi semua dah kering.

“Terpaksalah saya hubungi bomba supaya mereka hantar air bagi urusan memandikan jenazah ini. Pihak bomba tiba kira-kira jam 6 petang. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang sudi membantu kami ketika dalam kecemasan seperti ini,” katanya.

Jenazah kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan berhampiran kira-kira jam 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.