WOW !!! BR1M AKAN DIBERIKAN SEKALI LAGI SEBELUM RAYA

SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang diperkenalkan menerusi Bajet 2012, perlu dilanjutkan buat kali kedua sesuai dengan keadaan ekonomi semasa, demikian pandangan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berpendapat bahawa pemberian BR1M kali kedua akan mengurangkan beban rakyat dan bentuk bantuan tunai sedemikian lebih digemari rakyat.

Naib Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu akan disuarakan oleh BNBBC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 11 Jun ini.

“Saya menyambut baik cadangan itu dan amat setuju sekiranya ia diadakan kali kedua kerana jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk memberi bantuan itu tidak begitu tinggi berbanding subsidi-subsidi lain," kata beliau kepada Sinar Harian.

“Kita akan usahakan perkara ini. Rakan-rakan saya dalam BNBBC akan menyuarakan pandangan itu.

"Kita yakin rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 akan menikmati BR1M untuk kali kedua,” katanya.

Awal semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan pandangan agar BR1M diberi untuk kali kedua.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, pemberian BR1M kali kedua itu bukan bertujuan untuk meraih undi, sebaliknya mahu membantu meringankan beban rakyat terutama menjelang musim perayaan.

“Saya rasa, waktu yang paling sesuai untuk pemberian BR1M kali kedua ini adalah sebelum Hari Raya Aidilfitri kerana kita faham, pada waktu kebanyakan masyarakat akan berbelanja lebih untuk membeli keperluan harian dan membuat persediaan menyambut perayaan.

“BR1M perlu ada kesinambungan, paling tidak, dua kali setahun supaya rakyat boleh merasa dan menghargai subsidi yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, beliau menyambut baik cadangan pemberian BR1M kali kedua oleh Presiden MCA itu.

Walaupun begitu, katanya, kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu keupayaan dana atau sumber sedia ada sebelum melaksanakan pemberian BR1M kali kedua.

Menurut Idris, pelaksanaan ini perlu penelitian terperinci termasuk bagaimana kerajaan menampung semula kos perbelanjaan tersebut.

“Kita akui pemberian BR1M ini sememangnya disukai oleh golongan sasaran, namun, kita perlu ukur terlebih dahulu keupayaan kerajaan kerana ini melibatkan dana yang besar.

“Walau bagaimanapun, saya berpendapat biarlah kerajaan yang menentukan sama ada wajar atau tidak ia dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, syor agar kerajaan memperluaskan BR1M khususnya kepada kumpulan-kumpulan sasaran yang terlepas di bawah kriteria lama pernah dibawa ke mesyuarat badan itu.

“Memang ada cadangan berkenaan, tetapi cadangan itu meminta agar kerajaan mempertimbangkan pemberian BR1M kepada kumpulan sasaran yang tidak tergolong dalam kriteria sebelum ini, pendapatan seisi keluarga RM3,000 dan anggota keluarga yang tidak tertakluk
kepada pemberian baucar RM100, RM200 dan sebagainya,” katanya.

Mengambil kira aspek itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, kerajaan wajar mengkaji dan memberi keutamaan kepada mereka.

“Bermakna kita memperluaskan bantuan kepada kumpulan yang memerlukannya, kumpulan sasaran yang tidak mendapat apa-apa setakat ini,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Temerloh ini yakin Perdana Menteri akan memberi pertimbangan agar mereka juga menikmati BR1M peringkat kedua. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.