MH370 - Ketua Pengarah DCA Tidak Menolak Kemungkinan Berlaku Rampasan

PETALING JAYA - Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku rampasan seperti yang diperkatakan berhubung misteri kehilangan pesawat MH370.

Jelasnya kedua-dua identiti lelaki yang menggunakan pasport curi itu juga sedang disiasat, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Menurut beliau, kejadian ini juga telah menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan pakar di dalam dan luar negara.

Beliau menyifatkan kejadian ini sebagai misteri yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Kehilangan pesawat dari radar sebabkan kekeliruan kepada ramai pakar di seluruh dunia termasuk pakar dalam negara.

"Kita perlukan bukti yang kuat dan kukuh, bahagian-bahagian pesawat akan membolehkan kita mengetahui apa yang telah berlaku," katanya.

"Kita masih belum menemui sebarang objek sah dari MH370 sekalipun ada pelbagai laporan menyatakan melihat beberapa objek.

Sehingga kini masih belum dapat disahkan sama ada objek yang dilaporkan dilihat oleh tentera laut Vietnam mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

Mengenai kesan tompokan minyak yang ditemui, beliau berkata masih menunggu keputusan kajian makmal yang dijangka diketahui dalam masa terdekat.

"Tumpuan kini ialah kita mesti mencari pesawat, kita mesti mencari serpihan-serpihan pesawat.

"Kita melihat dari pelbagai sudut, apa yang mungkin berlaku dalam penerbangan. Kita mencari di setiap inci laut, setiap jam, setiap saat," katanya pada sidang media, di KLIA,

Beliau berkata sebanyak 24 pesawat, 40 kapal dan beratus-ratus petugas telah dikerahkan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu dalam perkembangan lain, media di China membidas Malaysia dan syarikat penerbangan negara, MAS berhubung cara menyelesaikan kes pesawat penumpang yang hilang sambil menyeru usaha tindak balas yang lebih cepat dan keselamatan lapangan terbang diperketatkan.
 
 "Pihak Malaysia tidak boleh mengelak daripada tanggungjawabnya," akhbar 'Global Times' menulis dalam ruangan editorialnya.

"Tindakan awal dari Malaysia tidak cukup pantas.

"Terdapat kelemahan dalam kerja-kerja Malaysia Airlines dan pihak berkuasa keselamatan," katanya.

"Jika ia adalah disebabkan oleh kerosakan mekanikal atau kesilapan juruterbang, maka Malaysia Airlines harus dipersalahkan.

"Jika ini adalah satu serangan pengganas, maka pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Kuala Lumpur dan dalam penerbangan itu boleh dipersoalkan."

'The China Daily' menulis dalam ruangan editorialnya bahawa "unsur keganasan tidak boleh ditolak", dengan pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa masih gagal untuk menjelaskan bagaimana sekurang-kurangnya dua penumpang dapat menaiki pesawat dengan pasport curi.

"Siapakah mereka dan kenapa mereka menggunakan pasport palsu?" soal akhbar tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.