MH370: Perkara Yang 'Tidak Baik' Telah Berlaku - Pham Quy Tieu

PHU QUOC - VIETNAM. Harapan untuk mendengar sebarang berita baik berhubung kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) adalah tipis, menurut kerajaan Vietnam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Vietnam Pham Quy Tieu berkata, berdasarkan maklumat yang mereka terima, perkara yang 'tidak baik' telah berlaku.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan Vietnam akan cuba mencari pesawat itu secepat mungkin dan untuk menjawab persoalan terutama daripada keluarga penumpang pesawat itu.

"Kami tidak menjangka perkara buruk tetapi kami telah bersedia (untuk menghadapinya)," katanya dalam sidang media di pusat mencari dan menyelamat di sini, hari ini.

Sementara itu, tentera Vietnam juga menggiatkan lagi usaha mencari dan menyelamat di perairan negara itu dengan 10 pesawat digunakan bagi operasi hari ini.

Ini termasuk dua pesawat pengangkut CASA dan empat pesawat A56 untuk pencarian di altitud tinggi antara 3,000 dan 5,000 meter.

Selain itu, helikopter juga digunakan untuk pencarian pada ketinggian rendah, berdekatan permukaan air.

Dalam perkembangan lain, Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis turut menyiasat empat kemungkinan yaitu keganasan, sabotaj, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang dan anak kapal.

Khalid enggan menyatakan sekiranya keganasan adalah faktor yang kurang dipertimbangkan, walau telah mengenalpasti salah seorang dari penumpang yang menaiki penerbangan dengan pasport curi.

"Terdapat kemungkinan yang sama (ke atas semua aspek) sehingga kita menyelesaikan siasatan,” katanya.

Ketika ditanya, beliau menjelaskan bahawa “masalah peribadi” itu mungkin melibatkan kemungkinan penipuan insurans.

Katanya, mungkin ada individu dalam penerbangan tersebut yang membeli polis insurans dengan nilai yang tinggi dengan harapan agar agar keluarganya akan mendapat keuntungan.

Khalid berkata, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan kegagalan mekanikal atau juruterbang, namun aspek tersebut dikendalikan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.