Mengimbau kembali sejarah hitam yang berlaku lebih 30 tahun dahulu agar dijadikan iktibar supaya kejadian itu tidak akan berulang lagi, dimana kejadian yang berpunca dari kecewa untuk mendapatkan sesuatu, taksub, ekstrem serta terlibat dengan ajaran sesat tidak mustahil ianya akan berulang jika melihat kepada situasi politik tanahair kita pada hari ini, buktinya doa kehancuran kepada sesama muslim sudah dihalalkan dan sanggup pula mengkafirkan umat Islam yang berbeza ideologi politik dengan mereka.
Ini semua berlaku disebabkan terlalu taksub dan merasakan hanya diri mereka sahaja yang betul, dan mereka yang dianggap tidak betul itu akan cuba untuk dihapuskan dengan apa cara sekalipun samada dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan.
Orang kampung menggelar mereka sebagai kumpulan jubah putih. Ahli-ahlinya hanya terdiri daripada golongan lelaki. Antara individu yang terpengaruh untuk turut menganggotainya termasuklah imam dan bilal.
Persoalan tentang kegiatan mereka di Kampung Mohd. Noor, Batu Lima, Parit Sulong, Johor terjawab pada 16 Oktober 1980 apabila negara dikejutkan dengan peristiwa serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat.
Hakikatnya, tiada siapa menyangka dengan hanya bersenjatakan pedang, mereka sanggup melakukan serangan ‘berani mati’ seperti itu.
Dikenali sebagai kumpulan jubah putih kerana kelibat ahli-ahlinya dilihat mengenakan pakaian jubah berwarna putih. Walaupun agak pelik, kehadiran mereka dikatakan tidak pernah menganggu penduduk kampung.
Malah, salah sebuah tempat yang dikenali sebagai Bukit Payung di kampung tersebut telah dijadikan ‘markas’ oleh ahli-ahli kumpulan itu.
Kepercayaan bahawa apa yang diamalkan menyebabkan mereka kebal, mendorong gerakan serangan ke atas balai polis tersebut dilancarkan.
Detik serangan bermula apabila seramai 15 ahli kumpulan itu yang menaiki dua buah teksi telah menyerang dari bahagian belakang dan depan balai polis serta menetak sesiapa sahaja yang ditemui di situ.
Serangan nekad pada kira-kira pukul 9.30 pagi tersebut telah mencederakan seramai 25 orang terdiri daripada anggota polis, seorang wanita sarat mengandung, enam kakitangan awam balai polis tersebut, seorang budak pejabat dan dua orang awam yang sedang membuat laporan.
Amukan dengan pedang bertulis kalimah syahadah hanya berakhir apabila enam penyerang termasuk ketuanya, Ahmad Nasir Ismail terbunuh.
Saki baki kumpulan itu kemudian menghala ke Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dan Mahkamah Syariah sebelum bersembunyi di sebuah rumah di Parit Jorak Senawi, terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.
Serbuan polis di rumah terbabit menjumpai sejadah, bendera putih mengandungi ayat dua kalimah syahadah dan perkataan Muhammad, Mahadi dan Isa dalam huruf Jawi berwarna hijau serta putih. Kedegilan menyerah diri menyebabkan dua lagi anggota kumpulan jubah putih terkorban dan yang lain-lain cedera.
Rentetan peristiwa tersebut, kerajaan telah mengarahkan semua balai polis di negara ini mendirikan pondok kawalan untuk tujuan keselamatan.
Zikir nama ‘Guru Yahya’
|
Kampung Jorak Senawi, Tongkang Pecah menjadi kawasan persembunyian
beberapa ahli kumpulan jubah putih yang diburu polis berikutan serangan
mereka ke atas Balai Polis Batu Pahat. Foto: Utusan |
Akibat ajaran sesat, sekumpulan lelaki berjubah putih bertindak gila dengan menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980.
Kumpulan itu dikatakan nekad melakukan serangan tersebut kononnya atas nama jihad dengan tujuan menakluk Batu Pahat dan kemudiannya meneruskan penaklukan mereka ke atas kerajaan negara ini.
Ketua kumpulan itu, Ahmad Nasir Ismail yang berasal dari Kemboja dikatakan berjaya mempengaruhi segelintir penduduk tempatan mengikuti ajaran sesat yang dibawanya dengan mengambil kesempatan di atas rasa tidak puas hati beberapa pemimpin kampung.
Antara yang menjadi kemarahan orang kampung adalah ia dikaitkan dengan kegagalan mereka mendapat hak milik tanah, selain imam yang kecewa kerana tidak lagi dilantik memegang jawatan tersebut.
Ahmad Nasir akan merapati golongan pemimpin yang kecewa itu dengan menyatakan rasa simpati dan akhirnya berjaya meresapkan ajaran sesat di kalangan mereka sebelum ia disebarkan pula kepada orang lain.
Mengimbau kembali tragedi ngeri itu, bekas anggota polis yang bertugas di Balai Polis Tongkang Pechah sewaktu kejadian itu berlaku, Ahmad Nasuha, 83, berkata, sebaik sahaja menerima aduan, polis telah menjalankan siasatan tentang kumpulan ajaran sesat yang didakwa itu.
‘‘Penduduk kampung membuat aduan tentang kumpulan itu yang mengamalkan ajaran sesat di puncak Bukit Payung dan merancang untuk menyerang Balai Polis Batu Pahat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, dia juga dimaklumkan bahawa antara ajaran sesat yang dilakukan kumpulan itu adalah membaca zikir dengan menyebut nama ‘Guru Yahya’ berulang-ulang kali dan tidak perlu menunaikan solat Jumaat.
Bagaimanapun jelas Ahmad, usahanya menjejaki kumpulan tersebut dengan turut mendaki Bukit Payung gagal menemui mereka kerana difahamkan kumpulan itu hanya mendaki bukit tersebut pada waktu-waktu tertentu.
‘‘Kumpulan ajaran sesat itu menempah pedang yang digunakan untuk menyerang balai daripada seorang tukang pedang di daerah ini.
‘‘Namun, siasatan mendapati tukang pedang itu tidak bersalah kerana hanya mengambil tempahan tanpa mengetahui niat sebenar kumpulan ajaran sesat itu,” katanya yang ketika kejadian, berpangkat Lans Koperal.
Sementara itu, motif serangan kumpulan tersebut di Pejabat Kadi Batu Pahat dan Mahkamah Syariah setelah mengamuk di balai polis dikatakan berikutan keputusan hakim mengatakan ajaran dibawa kumpulan itu adalah sesat.
Usaha menemui pihak pejabat kadi bukan sahaja dimaklumkan mereka tidak mempunyai rekod tentang kejadian itu, malah pejabat kadi juga telah dipindahkan berdekatan dengan Masjid Jamek Sultan Ismail.
Manakala pejabat asal bangunan itu telah dirobohkan dan didirikan Bangunan Wakaf yang menempatkan kemudahan mesin dialisis.
Seorang saksi kejadian, Suhari Sarjani, 64, berkata, sekumpulan antara empat hingga lima lelaki berjubah putih dengan kesan darah pada pakaian masing-masing telah bertempik ‘Allahu Akbar’ dengan salah seorang daripadanya bergerak menuju ke bilik pejabat hakim mahkamah syariah.
Menurut Suhari, mahkamah syariah ketika itu ‘menumpang’ kawasan bangunan pejabat kadi.
‘‘Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tiada sesiapa pun cedera. Mereka beredar selepas tidak menemui orang yang dicari,” katanya
Suhari yang ketika itu bertugas sebagai pemeriksa zakat mengakui dia langsung tidak menyedari Balai Polis Batu Pahat telah diserang terlebih dahulu dan pada mulanya sekadar menyangka darah yang terlekat pada jubah putih lelaki yang melakukan serangan itu hanya cat berwarna merah.
‘‘Selepas kejadian itu, kami ada berbual dan hakim berkenaan beritahu, setelah selesai berurusan di pejabat pos, beliau sememangnya mahu ke mahkamah tetapi membuat keputusan balik ke rumah untuk mengambil wuduk terlebih dahulu. Jika tidak, tak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Bawa pedang ‘Imam Mahadi’
|
Gambar fail menunjukkan mangsa yang terlibat cedera dalam kejadian
serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat menerima kunjungan pegawai
tinggi polis. Foto: Utusan |
Kira-kira pukul 9.30 pagi, saya sedang tidur di beret bujang, dikejutkan oleh rakan sekerja untuk keluar bertugas pada pukul 10 pagi.
‘‘Pada masa itu kami tidur pakai kelambu, ruang tidur saya menghadap bahagian belakang balai. Keadaan balai pada waktu siang tiada sentri kerana ia hanya beroperasi sebelah malam sahaja,” kata Abu Sarin Mohd. Sharif, 51, memulakan cerita.
Ketika bangun untuk membuka kelambu itulah, Abu Sarin ternampak sebuah teksi berhenti dalam keadaan tergesa-gesa. Kesemua enam orang yang keluar dari teksi tersebut berpakaian serba putih.
‘‘Pada mulanya, saya tak nampak senjata yang mereka bawa sebab semua berbalut dengan kain putih. Tetapi apabila mereka mula melibas sesiapa sahaja yang dijumpai, saya sedar keadaan dalam bahaya,” katanya lagi.
Ekoran itu, Abu Sarin berkata, dia terus mengejutkan anggota-anggota lain dan memberitahu mereka bahawa balai telah diserang.
Dalam keadaan tidak bersenjata, bekas koperal ini berkata, tindakan yang wajar dilakukan mereka hanyalah cuba menyelamatkan diri.
‘‘Tetapi apabila fikir balik, sampai bila nak biarkan sahaja. Kebetulan pada awal pagi yang sama, ada beberapa anggota Unit Kawalan Kawasan (UKK) membuat latihan sekatan jalan raya dan mereka singgah ke balai.
‘‘Jadi, mana-mana anggota yang terlibat ada membawa senjata ‘HK’, macam M16. Setiap magazine ada 11 peluru. Itulah senjata yang kami gunakan.
‘‘Sebenarnya mereka datang dengan dua kereta. Satu dari belakang dan satu dari depan (balai). Depan lima orang, belakang enam. Strategi mereka, menyerang dari kedua-dua arah dan bertemu di tengah,” katanya.
Masih Abu Sarin ingat, seorang sarjan yang tercedera ditetak, memaut kakinya sambil meminta tolong agar dia menyelamatkan ahli keluarganya.
‘‘Serta-merta semangat saya datang. Saya minta dia bersabar dan terus sandarkan dia ke tepi tiang. Keadaan dia berlumuran darah,” tambahnya.
Perasaan Abu Sarin menjadi semakin tidak keruan. Dalam fikirannya, yang berlegar-legar hanyalah untuk menamatkan ‘peperangan’ tersebut.
Dalam keadaan terpinga-pinga, seorang anggota UKK telah melepaskan tembakan. Baru Abu Sarin tersedar dia juga harus melepaskan tembakan.
‘‘Seorang penyerang yang terkena tembakan masih boleh berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang sejauh kira-kira enam meter untuk menyerang kami.
‘‘Bila dia rebah, datang seorang lagi penyerang dari luar, kami tembak. Saya tak dapat lupa semasa memeriksanya untuk pastikan masih hidup atau mati, anak mata penyerang terbabit berpusing macam gasing,” kata Abu Sarin.
Paling menggembirakan Abu Sarin apabila melihat semua anggota yang terbaring dan disangkanya telah mati, rupa-rupanya masih hidup.
‘‘Saya ingat mereka semua dah mati. Tetapi selepas saya melangkah, seorang demi seorang bangun sambil menahan kesakitan.
‘‘Sejurus saya keluar semula ke depan (balai), saya terdengar satu lagi tembakan dari arah belakang. Seorang anggota polis (Chandra) membawa seorang penyerang yang masih hidup. Saya tengok pedangnya tertulis Imam Mahadi. Dia menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahadi,” katanya.
Apa yang menghairankan Abu Sarin ialah apabila diselak penutup muka penyerang terbabit, dia mendapati wajahnya tidak seperti orang Melayu.
‘‘Tanpa malu, saya buka seluar dia. Dia tidak berkhatan,” katanya sambil menjelaskan penyerang yang mendakwa sebagai ‘Imam Mahadi’ tersebut turut mati setelah mengalami kecederaan parah akibat tembakan.
“Umur kami masih panjang”
|
Faridah Hussin (tengah) melakonkan semula keadaan cemas yang dilaluinya
dalam serangan anggota kumpulan jubah putih sambil diperhatikan Rohayah
Md. Rawi (kiri), Sarjan Zaiton Yaman (kanan). Foto: Utusan |
Detik mencemaskan bagi Faridah Hussin, 58, kerani yang bertugas di bahagian perlesenan Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 adalah berhadapan dengan seorang penyerang berjubah putih sedang memegang pedang.
Ketika itu, bukan sahaja nyawanya terancam malah, anak dalam kandungannya yang berusia enam bulan juga berkemungkinan terbunuh.
Menurut Faridah, disebabkan mengandungan anak keempatnya itu, dia tidak berupaya untuk bergerak pantas seperti rakan-rakan lain, sebaliknya hanya mampu terduduk sambil memerhatikan penyerang tersebut.
“Masa itu saya hanya ingat Allah sahaja. Bila dia angkat pedang, saya sebut Allah, dia tak jadi (tetak), kali kedua pun begitu juga tetapi masuk kali ketiga bila keadaan semakin kelam-kabut, dia terus tetak. Tetakan itu kena pangkal lengan tangan kanan,” katanya.
Sebelum itu menurut Faridah, dia cuba berlari mengikut Haji Hamzah Hassan (ketua kerani) yang melompat keluar dari balai tersebut melalui tembok sebelum tiba-tiba tersedar dia tidak mampu melakukannya kerana hamil.
“Saya kemudian lari ke belakang dan nampak salah seorang yang bawa pedang sudah tertiarap kena tembak. Disebabkan takut dilibas, saya tak bergerak. Tiba-tiba saya terfikir, inilah peluang nak selamatkan diri.
“Sebaik sahaja keluar dari balai, saya nampak sebuah land rover dan terus naik. Dalam masa beberapa saat, keadaan senyap,” katanya dan menyambung, hingga kini parut tetakan di lengannya itu masih kelihatan.
Walaupun situasi itu seperti dalam keadaan nyawa di hujung pedang, Faridah bersyukur kerana Tuhan masih memanjangkan umurnya dan dapat melahirkan anak dengan selamat.
“Anak yang saya kandung kini merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Machap. Anak lelaki, namanya Mohamad Rahmat Abdul Rahman, 30.
“Kami pilih Mohamad Rahmat sempena rahmat Tuhan – Allah beri rahmat dan kesedaran apa yang kita lupa, hari ini kami hidup lagi,” katanya.
Faridah yang kini menetap di Taman Soga, Batu Pahat berharap agar kejadian seumpama itu adalah yang terakhir dan tidak akan berulang lagi di negara ini.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Rohayah Md. Rawi, 58, yang cedera di kepala, tangan dan peha dalam kejadian itu berkata, pada mulanya dia menyangka sekumpulan lelaki berjubah putih yang menaiki teksi memasuki perkarangan balai adalah jemaah haji yang baru balik dari Mekah.
“Tekaan saya salah apabila mereka bertempik Allahu Akhbar! Allahu Akbar! Disebabkan tiada senjata, saya dan beberapa rakan lain mengambil keputusan untuk menyorok di dalam sebuah bilik.
“Tiba-tiba pintu bilik ditendang. Saya tak sedar bila masanya kena tetak. Yang saya nampak, banyak darah dan rasa nak pitam,” katanya yang bertugas sebagai kerani pendaftaran ketika peristiwa itu berlaku.
Sikap ahli-ahli kumpulan itu yang menjerit seolah-olah hilang akal sambil melibas dan menetak dengan pedang sesiapa saja yang lalu di depan mata, membuatkan Rohayah hanya terbayangkan tiga anaknya di rumah.
“Saya teringatkan suami dan anak-anak yang masih kecil di rumah. Saya ingat saya akan mati, malah kubur pun dan nampak di depan mata,” katanya.
Akibat tetakan di kepala, Rohayah pengsan seketika tetapi sebaik saja sedar, dia terus menyembunyikan diri di dalam bilik air.
“Saya nekad keluar dari bilik air dan terus menuju ke ambulans bila dengan bunyi siren. Saya kemudian terus dihantar ke hospital dan saya ingat lagi, luka di kepala dijahit tanpa dibius,” katanya yang bersara sebagai pembantu tadbir bahagian narkotik dua tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 16 Oktober 1980 itu, sekumpulan 20 pengikut ajaran sesat mengamuk di Balai Polis Batu Pahat dan mencederakan 18 pegawai, kakitangan awam dan orang awam di balai berkenaan.
Lapan daripada ahli kumpulan itu terbunuh.
Berbeza dengan Faridah dan Rohayah, Sarjan Zaiton Yaman, 56, lebih bernasib baik apabila dia tiada di tempat kejadian kerana cuti kahwin.
“Saya balik pada hari balai diserang. Tiba sahaja di beret tengok keadaan macam ‘baru dilanda garuda’. Balai sunyi sepi. Rupa-rupanya semua telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang ketika itu berpangkat konstabel dan baru berusia 25 tahun.
Mereka saudara saya – Sarjan Azmi
Azmi Yaacob menunjukkan kecacatan kekal yang dialaminya iaitu kudung jari hantu. Foto: Utusan
Sarjan Azmi Yaacob, 51, langsung tidak menduga dua daripada enam penyerang berjubah putih di Balai Polis Batu Pahat yang ditembak mati oleh anggota polis adalah saudara berpangkat datuk dan moyangnya.
Malah, dia sendiri diserang tanpa belas kasihan. Seingat Azmi, segala-galanya berlaku terlalu pantas. Tiada sesiapapun yang sempat bertanya apakah tujuan sebenar serangan ‘berani mati’ itu dilakukan.
“Selepas keadaan kembali seperti biasa, kami sempat berbual-bual. Dari situ, baru saya tahu kebanyakan mereka adalah saudara mara saya. Menitis air mata bila mengenangkan apa yang telah berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, dia tidak mungkin dapat melupakan tragedi yang hampir meragut nyawanya.
“Masa kejadian, saya baru bertugas kira-kira 10 bulan. Saya bekerja di bahagian pertanyaan sebagai petugas gerak pantas. Maknanya, kata ada laporan tentang orang gila, saya kena pergi siasat segera,” ujarnya.
Ketika berada di dalam pejabat tersebut, dia tiba-tiba terdengar jeritan Allahu Akhbar! Allahu Akhbar berkali-kali di luar.
“Saya tinjau ke luar dan nampak sebuah kereta (teksi). Kereta itu ‘parking’ betul-betul di depan pejabat. Beberapa orang berjubah putih yang tidak dikenali keluar dan terus meluru ke dalam balai,” katanya lagi.
Azmi yang kini bertugas di Cawangan Kenderaan, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat berkata, keadaan kelam-kabut itu menyebabkan dia tidak mampu melakukan apa-apa kecuali terpaksa mempertahankan diri sendiri.
“Saya yang duduk di kaunter pertanyaan terus tergamam melihat aksi lelaki berjubah putih menjerit dan melibas-libaskan pedang di tangan.
“Masa itu, sesiapa sahaja yang ditemui akan dilibas. Saya turut terkena libasan di beberapa anggota badan sehingga memaksa saya lari menyelamatkan diri ke bahagian belakang balai,” katanya.
Azmi berkata, ketika di belakang balai, dia dihalang beberapa lelaki berjubah putih. Penyerang terus menetak bahagian belakangnya, namun dia sempat melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan dua penyerang mati.
Beberapa libasan yang mengenai Azmi, menyebabkan dia mengalami luka parah di bahagian belakang, dahi, lengan tangan dan tangan kiri sehingga menyebabkan salah satu jarinya (jari hantu) terpaksa dipotong.
Kecut perut dengar rancangan mereka – Imam
Keadaan mangsa yang terlantar di hospital akibat serangan sekumpulan lelaki berjubah putih di Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tempatan ketika itu. Foto: Utusan
“Kecut perut saya bila orang berjubah putih yang datang ke rumah memberitahu untuk menyerang balai,” kata Imam dan Jurunikah Kampung Mohd. Noor, Batu Lima Batu Pahat, Sharani Tokachil, 70.
Menurut Sharani, sehari sebelum serangan itu berlaku, sekumpulan kira-kia 20 lelaki berjubah putih tersebut telah mengunjungi rumahnya.
“Waktu itu petang, hampir nak masuk Asar, salah seorang daripada mereka telah memberi salam dan meminta kebenaran untuk menumpang menunaikan solat di rumah ini,” katanya.
Selesai solat, mereka berbual seketika dan topik yang begitu menakutkan imam itu adalah ketika ahli kumpulan tersebut memberitahunya rancangan untuk menyerang Balai Polis Batu Pahat.
“Disebabkan terkejut dan takut dengan apa yang didengar, saya tak begitu jelas tentang motif sebenar perancangan mereka,” kata Sharani.
Bagaimanapun seingatnya, kegagalan untuk mendapatkan hak milik tanah turut menjadi sebab mengapa mereka nekad melakukan serangan tersebut.
Menurut Sharani, selesai berbual, kumpulan itu terus beredar tetapi tidak lama kemudian hujan.
Keadaan itu menyebabkan ahli-ali kumpulan tersebut berteduh semalaman di sebuah pondok di kebun getah milik salah seorang penduduk kampung terletak kira-kira 500 meter dari rumah Sharani.
Dalam kebingungan menurut Sharani, dia telah memberitahu pertemuan dan perancangan kumpulan jubah putih itu kepada bapa angkatnya.
Setelah berbincang, mereka sepakat mengatakan apa yang dirancangkan tersebut adalah salah. Maka keesokannya, kira-kira pukul 9 pagi, Sharani dan bapa angkatnya membuat laporan di Balai Polis Tongkang Pechah.
Dia langsung tidak menyangka bahawa kumpulan jubah putih tersebut akan menyerang Balai Polis Batu Pahat, hanya kira-kira setengah jam selepas dia membuat laporan.
Difahamkan, kumpulan itu telah meletakkan batang-batang pokok getah yang tumbang dan dipotong untuk merintangi Jalan Yong Peng-Parit Sulong berdekatan pondok tempat mereka berteduh.
Malah, sebuah teksi yang terpaksa berhenti akibat halangan batang-batang pokok itu telah dirampas oleh kumpulan jubah putih itu.
Bercerita lanjut, kata Sharani sebelum itu, penduduk Kampung Mohd. Noor dan Kampung Kolam Air telah beberapa kali melihat kumpulan jubah putih ‘naik turun’ Bukit Payung di kampung mereka, namun tidak menyangka mereka akan bertindak jauh sehingga sanggup menyerang balai polis.
Ahli-ahli kumpulan itu juga katanya, tidak menggangu penduduk malah membelanja mereka minum di sebuah kedai runcit di kampung tersebut.
Bagaimanapun katanya, beberapa laporan polis telah dibuat oleh penduduk kampung yang bimbang kumpulan itu mengamalkan ajaran sesat.
‘Mereka sangka saya dah mati’
|
Lapan ahli jubah putih yang terbunuh dalam serangan ke atas Balai
Polis Batu Pahat dikebumikan dalam satu liang lahad. |
Pagi itu seperti biasa, Johan Jalil, berusia 21 tahun ketika itu baru selesai minum di gerai berdekatan. Dia kemudian terus menuju ke Balai Polis Batu Pahat, Johor untuk memulakan tugas hariannya.
Walaupun hanya bekerja sebagai pelayan pejabat, Johan dikehendaki memakai pakaian seragam polis sebagai syarat pekerjaannya.
“Ketika berada di dalam balai, saya terdengar bunyi tembakan. Saya fikir itu latihan tembakan yang biasa dilakukan oleh anggota.
“Saya buat endah tak endah. Tiba-tiba saya nampak orang berlari dalam keadaan berlumuran darah, saat itu baru hati saya terdetik – balai kena serang,” katanya.
Menyedari keadaan yang berlaku, Johan yang kini berusia 51 tahun, hanya mampu bertawakal. Dia tahu, tanpa senjata tiada apa yang boleh dilakukan kecuali menyelamatkan diri.
Sedang berfikir-fikir itu, dia diserang dengan pedang oleh seorang ahli kumpulan jubah putih. Johan berjaya mengelak. Dalam keadaan kelam-kabut, Johan cuba bertanya mengapa dia turut menjadi mangsa serangan?
“Bila saya tanya kenapa pakcik serang saya, kita kan orang Islam? Dia diam saja. Saya cuba rampas pedang tapi gagal. Akhirnya dia tetak pinggang saya. Bila jatuh, dia mula tetak perut pula.
“Darah keluar mencurah-curah, dalam kesakitan, saya cuba bangun tetapi licin (disebabkan darah). Akhirnya saya rebah, hampir tak sedarkan diri. Beberapa ahli jubah putih itu memeriksa saya dan menyangkakan saya sudah mati. Waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya,” katanya.
Ketika ditinggalkan kerana menyangka dirinya telah meninggal dunia, Johan bangun dan berusaha keluar dari balai polis. Malangnya, dia terserempak lagi dengan mereka dan kali ini, dia ditetak di dahi pula.
“Saya lari sampai ke Caltex, kira-kira 100 meter dari balai polis. Saya hanya selamat selepas berjaya menahan sebuah kereta,” katanya.
Tiba di Hospital Muar, Johan diberi rawatan di unit rawatan rapi (ICU). Disebabkan kecederaan teruk yang dialami di pinggang, perut dan dahi, doktor sendiri tidak menaruh harapan bahawa dia akan terus bernyawa.
Kesan daripada pengalaman berdarah itu, Johan berkata, dia tidak boleh melihat perempuan memakai tudung atau lelaki memakai serban menghampirinya kerana merasakan ia mirip ahli-ahli kumpulan jubah putih.
|
Jenazah disemadikan dalam satu liang lahad |
Daud Masod menunjukkan pusara anggota kumpulan ajaran sesat Jubah Putih yang disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat. Foto: Utusan
Kampung Jorak Senawi dalam sekelip mata menjadi tumpuan ramai apabila salah sebuah rumah di situ dilaporkan menjadi tempat persembunyian kumpulan jubah putih.
Namun, usaha menemubual pemilik rumah tersebut gagal apabila ahli keluarganya enggan dikaitkan dengan peristiwa itu.
Ketua Kampung Jorak Senawi, Shamsuddin Corong, 58, ketika ditemui berkata, apa yang berlaku harus menjadi pengajaran kepada masyarakat.
“Yang sudah itu sudahla… Orang kampung tak suka dikaitkan dengan apa yang pernah berlaku dulu. Sebenarnya kampung ini tak ada kena-mengena dengan penyebaran ajaran sesat seperti yang diperkatakan,” katanya.
Shamsuddin amat berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap penduduk kampung itu kerana mereka tidak pernah menjadi pengikut ajaran sesat tersebut, sebaliknya apa yang berlaku hanyalah kebetulan.
Sementara itu, kesemua lapan ahli jubah putih yang terlibat menyerang Balai Polis Batu Pahat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, Batu Pahat, tidak jauh dari Kampung Jorak Senawi.
Menurut Daud Masod, 47, sejak bertugas sebagai penjaga kubur di kawasan itu sejak tahun 1992, dia belum pernah melihat mana-mana waris mengunjungi kuburan tersebut.
“Kita menjaga atau membersihkan kubur ini seperti kubur-kubur lain. Tiada keistimewaan tertentu. Kita juga tidak membenarkan mana-mana pihak melakukan perbuatan syirik,” katanya.- Khalic.com