Showing posts with label audit. Show all posts
Showing posts with label audit. Show all posts

Isu Lembah Sireh - Husam Sifatkan Ketua Audit Negara Sebagai 'Jahil' - Video

KOTA BHARU - Exco Kanan Kerajaan PAS Kelantan Datuk Husam Musa menyifatkan Ketua Audit Negara seolah-olah 'jahil' apabila menegur Kerajaan PAS Kelantan berhubung projek Lembah Sireh dalam keadaan Ketua Audit Negara  tidak mahir dengan selok belok bidang berkenaan.

Menurut Husam, tidak mungkin projek Lembah Sireh dapat dilaksanakan tanpa kerajaan memberi hakmilik tanah kepada syarikat terbabit, dan ia masih dikawal oleh kuasa-kuasa kerajaan, dimana kerajaan boleh mengambil semula tanah berkenaan sekiranya syarikat gagal mematuhi perjanjian yang ditetapkan.

"Jadi orang yang nak kritik mestilah sedikit sebanyak memahirkan diri dengan aspek-aspek pembangunan supaya tidak nampak janggal dan kurang mahir". Katanya dalam sidang media beberapa hari yang lalu.

Maknanya orang yang menegur isu berkenaan ialah Ketua Audit Negara, ini bermakna Ketua Audit Negara ni tidak mahir seterusnya tidak layak untuk menjadi Ketua Audit Negara, kerana jawatan berkenaan mesti disandang oleh orang-orang yang cerdik seperti Husam sahaja.

Setiap isu yang melibatkan PAS semuanya disalahkan kepada orang lain, apapun untuk makluman kerajaan PAS Kelantan, jika ada lagi tanah di Kelantan yang perlu dimajukan, jangan lupa war-warkan kepada seluruh rakyat Kelantan dan tidak sewenangnya memberikan kepada orang-orang tertentu sahaja.

Jika pemberian tanah itu sebagaimana mengikut perjanjian, yang digunakan dengan syarikat yang memajukan Lembah Sireh, dimana syarikat boleh mencagarkan tanah berkenaan untuk dijadikan modal, tak perlu 'Cina' luar, Cina Kelantan pun boleh, bahkan Melayu sendiri pun boleh, apa masalahnya ? Perjanjian sila rujuk DISINI.

Bagi tanah, kemudian cagar dan dapat duit, kita bagilah 'duit air' kat Exco sikit, kat PAS sikit, bukan rasuah tapi hadiah, tapi kalau kita gagal buat sebagaimana mengikut perjanjian dan perancangan, Exco dan PAS mestilah 'cover' kita, kalau tidak tiada guna kita bagi hadiah 'duit air' tu, ko guano ? Anda Mampu Mengubahnya.

Nik Aziz: 'Percaya Pada Laporan Audit Boleh Rosak Akidah'

"Kita PAS buat serupa dengan Al-Quran suruh, kita ikut Islam, tapi kalau rakyat lebih percaya kepada laporan audit itu daripada PAS, itu boleh rosak akidah, kerana audit tidak ikut serupa dengan Islam suruh audit, dia ikut sistem sekular, dia tolak Islam ambil kebangsaan, mana boleh Audit tu lebih betul dari PAS (Islam), ini tidak boleh".  

Sejauhmana tahap kepercayaan penyokong Pakatan Rakyat terhadap laporan audit yang dikeluarkan minggu lalu ? Jika terlau percaya dengan kepincangan audit yang dilaporkan di negeri PR itu mungkin sedikit masa lagi Mursyidul Am PAS akan mengeluarkan fatwa 'rosak akidah' seperti diatas, ini kerana pandangan Nik Aziz ialah PAS itu Islam dan buat kerja-kerja Islam (buat apa yang disuruh tinggal apa yang dilarang), oleh yang demikian mana mungkin kerajaan PAS yang (kononnya) mengikut garis panduan yang diajar oleh Islam itu mengalami kepincangan sebagaimana yang dilaporkan oleh Audit.

Siapa Ketua Audit Negara ? siapa pegawai audit yang buat laporan itu ? Adakah dia lebih alim dari Nik Aziz ataupun dia tersenarai kurang dari tangga ke 42 pemimpin Islam berpengaruh dunia ? Jika tidak lebih baik diam dan tidak perlu nak ajar bagaimana untuk Ularmak besau mentadbir. Nik Aziz tahu apa yang dia buat. Kahkahkahkah, itulah mentaliti pentaksub akan berhujah untuk mempertahankan pemerintahan Tuan Garunya, 

Bagaimanapun, dibawah dilampirkan daripada apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dengan apa yang berlaku di Kelantan, mungkin masih ramai lagi rakyat Kelantan yang gagal memahami fungsi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat terutamanya bila berhadapan dengan kes 'jalan rosak'. Mana-mana saja jalan yang rosak sebahagian besarnya menganggap itu kerja kerajaan pusat, kerajaan pusat 'menganaktirikan' Kelantan dengan tidak menyalurkan bantuan untuk memajukan negeri ini. Namun adakah benar ianya begitu ?
  • Sebanyak 14 daripada 36 rancangan membaru muka jalan tidak dilaksanakan bagi tahun 2011.
  • Kualiti kerja penurapan tidak memuaskan.
  • Kerosakan permukaan dan bahu jalan tidak disenggarakan dengan baik.
  • Penyenggaraan perabot jalan tidak dilaksanakan.
  • Jambatan dan pembetung tidak disenggarakan serta longkang tersumbat.
  • Perbelanjaan tidak mengikut Arahan Amanah.
  • Bagi menambah baik pengurusan penyenggaraan jalan raya negeri, adalah disyorkan supaya Bahagian Jalan JKR Negeri mengambil tindakan terhadap perkara-perkara berikut:
  • Melaksanakan rancangan membaru muka jalan sebagaimana yang dirancang supaya jalan yang dikenal pasti rosak dapat disenggarakan.
  • Jabatan juga hendaklah membuat pengawasan terhadap kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor bagi memastikan kaedah pelaksanaan kerja penyenggaraan dipatuhi.
  • Rekod maklumat penyenggaraan jalan negeri hendaklah disediakan bagi tujuan memudahkan perancangan dan pemantauan.
  • Memperkemaskan sistem pengurusan aset dan inventori perabot jalan dengan penggunaan kod pemasangan pada setiap papan tanda termasuk kedudukan, tarikh pemasangan, tempoh jaminan dan sebagainya.
  • Jabatan hendaklah memastikan peruntukan Kumpulan Wang Amanah
Berdasarkan Malaysian Road Record Information System (MARRIS), panjang rangkaian Jalan Negeri di Negeri Kelantan adalah 17,262.77 kilometer (km) tetapi di bawah penyenggaraan JKR ialah 5,062.15 km seperti Jadual 3.1. Tujuan penyenggaraan jalan adalah untuk memastikan permukaan dan persekitaran jalan sentiasa memberi pemanduan yang selesa, mudah dan selamat, struktur jalan mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menampung beban trafik serta memulihkan laluan dengan kadar segera apabila berlaku kejadian yang tidak dijangka.
Kerja penyenggaraan jalan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu penyenggaraan berkala, penyenggaraan biasa dan penyenggaraan khusus. Kerja penyenggaraan jalan ini dilaksanakan oleh Jabatan dan kontraktor yang dilantik. Penyenggaraan jalan bermaksud penjagaan dan pemulihan jalan, longkang, pembetung dan perabot jalan seperti tanda amaran, arahan dan panduan serta alat keselamatan jalan yang menjadi sebahagian daripada jalan tersebut. 

Pada tahun 2009 hingga 2011, Kerajaan Negeri telah menerima sejumlah RM259.73 juta pemberian tahunan Penyenggaraan Jalan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM107.41 juta telah diperuntukkan kepada JKR di bawah Program Penyenggaraan Jalan-jalan Negeri dan sejumlah RM101.31 juta atau 94.3% telah dibelanjakan dalam tempoh tersebut.

Pemberian ini bertujuan untuk membiayai semua kos berkaitan penyenggaraan Jalan Negeri serta perbelanjaan seperti pembelian jentera, bekalan bahan-bahan, perkakas dan peralatan, pembayaran gaji serta imbuhan lain kepada pekerja yang berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti penyenggaraan jalan oleh JKR.

PENEMUAN AUDIT
Pengauditan yang dijalankan pada bulan September hingga Disember 2011 mendapati secara keseluruhannya, pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan negeri adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti yang dijelaskan dalam perenggan-perenggan berikut. Secara ringkasnya, kelemahan yang ditemui adalah seperti dibawah:
  • Rancangan membaru muka jalan tidak dilaksanakan.
  • Kualiti kerja penurapan kurang memuaskan.
  • Kerosakan permukaan dan bahu jalan tidak disenggarakan dengan baik.
  • Penyenggaraan perabot jalan tidak dilaksanakan.
  • Jambatan dan pembetung tidak disenggarakan serta longkang tersumbat.
  • Perbelanjaan tidak mengikut Arahan Amanah.
Penyenggaraan Berkala

Penyenggaraan berkala memerlukan pemeriksaan dan penilaian secara berkala ke atas keupayaan struktur pavemen jalan sedia ada dalam menampung unjuran beban trafik bagi menentukan kaedah pembaikan yang sesuai. Kerosakan permukaan jalan biasanya dapat dikaitkan dengan kelemahan struktur pavemen jalan. Aktiviti penyenggaraan berkala adalah seperti menguatkan struktur pavemen jalan, membuang permukaan jalan sedia ada dan menggantikan dengan permukaan jalan yang baru (resurfacing) dan dilaksanakan mengikut program setiap 5 hingga 10 tahun sekali berdasarkan purata trafik harian sebagaimana yang digariskan dalam Highway Maintenance Manual. Bagaimanapun semakan Audit mendapati:

Rancangan Membaru Muka Jalan Tidak Dilaksanakan

a. Kerja membaru muka jalan dilaksanakan oleh Bahagian Jalan, JKR Negeri setelah mendapat maklumat dan cadangan daripada JKR Jajahan. Pelaksanaan membaru muka jalan dilakukan oleh Kuari JKR Bukit Buloh dan Syarikat Kijang Kuari Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai kontraktor untuk tujuan tersebut. Pada tahun 2009 dan 2010 JKR telah merancang sebanyak 49 projek membaru muka jalan melibatkan jalan sepanjang 98.45 km. Kesemua kerja membaru muka jalan tersebut telah selesai
dilaksanakan.

b. Pada tahun 2011, sebanyak 36 projek membaru muka Jalan Negeri melibatkan sepanjang 65.87 km dengan anggaran kos sejumlah RM10.05 juta. Daripada jumlah tersebut, Kuari JKR Bukit Buloh akan melaksanakan membaru muka 21 projek sepanjang 28.91 km dengan kos RM4 juta manakala Syarikat Kijang Kuari Sdn. Bhd. diberi kontrak untuk membaru muka 15 projek sepanjang 36.96 km dengan kos RM6.05 juta.

Semakan Audit mendapati sebanyak 14 daripada 36 projek melibatkan jalan sepanjang 27.5 km yang dirancang untuk dibaru muka tidak dapat dilaksanakan. Maklum balas daripada JKR bertarikh 26 Mac 2012 memaklumkan bahawa kuari JKR Bukit Buloh tidak membaru muka 4 jalan sepanjang 6.1 km kerana menggantikannya dengan jalan lain yang memerlukan tindakan segera akibat kerosakan setelah mendapat aduan awam. Syarikat Kijang Kuari Sdn. Bhd. pula gagal membaru muka 10 jalan sepanjang 21.4 km disebabkan tidak ada bekalan bitumen dan minyak diesel serta kekerapan berlaku kerosakan pada premix plant. Butiran jalan yang tidak dibaru muka adalah seperti Jadual 3.2.
c. Lawatan Audit bersama Pegawai JKR pada 17 Januari 2012 ke 7 jalan yang tidak dibaru muka iaitu Jalan Selising/Kok Lanas, Gaal - Kg. Bukit, Pauh Butut/Kedai Menanti, Melor - Gunong, Mahligai - Gunong, Binjai - Kota Jembal dan Pasir Tumboh - Gong Dermin mendapati perkara-perkara berikut:

i. Jalan Gaal ke Kg. Bukit di Jajahan Pasir Puteh telah mula diturap pada awal bulan Januari tahun 2012.

ii. Kerja membaru muka Jalan Pasir Tumbuh ke Gong Dermin di Jajahan Kota Bharu belum dilaksanakan. Jalan ini hanya memerlukan dibuat tampalan kepada beberapa pothole.

iii. Bagi 5 jalan lain iaitu Jalan Selising - Kok Lanas, Pauh Butut - Kedai Menanti, Melor - Gunong, Mahligai - Gunong dan Binjai - Kota Jembal kerja membaru muka juga belum dilaksanakan. Kesemua jalan berkenaan mengalami kerosakan yang boleh menjejaskan kelancaran kenderaan dan keselamatan pengguna. Kelewatan membaru muka jalan berkenaan boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk. Contoh sebahagian daripada 5 jalan berkenaan adalah seperti Gambar 3.1 dan Gambar 3.2.
Lawatan Audit ke beberapa jalan di 3 jajahan iaitu Jalan Pasir Puteh - Gong Kelih, Pasir Puteh, Jalan Pintu Geng, Kota Bharu dan Jalan Guchil - Batu Balai, Kuala Krai mendapati berlaku kecacatan permukaan jalan jenis bleeding dan keretakan jenis gelinciran (Crescent Shaped Crack/Slippage Cracking) walaupun jalan-jalan berkenaan dibaru muka dalam tahun 2009 dan 2010. Berdasarkan manual dan garis panduan JKR, antara sebab berlakunya kecacatan permukaan jenis bleeding adalah kerana campuran asphalt tidak seimbang, kandungan bitumen terlalu tinggi, tack coat terlalu banyak semasa pembinaan daya mampatan semasa peringkat reka bentuk tidak mencukupi dan mampatan susulan oleh trafik yang mengurangkan lompang udara menyebabkan bitumen melimpah keluar.

Keretakan jenis gelinciran (Crescent Shaped Crack/Slippage Cracking) pula disebabkan oleh kurang ikatan antara lapisan permukaan dengan lapisan di bawahnya, terlalu banyak pasir dalam campuran lapisan permukaan, kurang pemadatan lapisan permukaan dan pemampatan semasa asphalt sudah sejuk. Maklum balas daripada JKR bertarikh 26 Mac 2012 memaklumkan bahawa telah berlaku kecacatan pada Batching Plant di kuari semasa proses penyediaan premix.

Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri

Prestasi Kewangan

a. Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (KAPJN) ditubuhkan di bawah Seksyen 9(3) Akta Acara Kewangan 1957 untuk mengakaunkan terimaan dan bayaran berkaitan kerja penyenggaraan Jalan Negeri. Pada tahun 2009 hingga 2011 Kerajaan Negeri telah menerima pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM259.73 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM107.41 juta diperuntukkan kepada JKR, RM3.18 juta kepada Pejabat Tanah Dan Jajahan (PTJ) dan RM0.73 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kedudukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri untuk tempoh 3 tahun adalah seperti Jadual 3.3.
b. Semakan Audit mendapati prestasi perbelanjaan penyenggaraan jalan oleh JKR dalam tempoh 3 tahun adalah antara 91.6% hingga 96.8%. Bagaimanapun, prestasi perbelanjaan Pejabat Tanah Dan Jajahan adalah 36.8% dan Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak 61.6% disebabkan kedua-dua agensi ini hanya menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri pada bulan Ogos tahun 2011. Dalam tempoh 2009 hingga 2011 Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan sejumlah RM111.32 juta atau 42.9% daripada sejumlah RM259.73 juta pemberian Kerajaan Persekutuan untuk penyenggaraan Jalan Negeri kepada JKR, PTJ dan PBT.

c. Mengikut Penyata Kewangan Kerajaan Negeri pada 31 Disember 2011, baki peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (KAPJN) ialah berjumlah RM343.87 juta. Ini menunjukkan secara keseluruhannya peruntukan yang diluluskan bagi tempoh tahun 2009 hingga tahun 2011 berbanding baki peruntukan KAPJN hanya 32.4%. Semakan Audit mendapati pada setiap tahun, anggaran kos penyenggaraan jalan bagi seluruh Jajahan di Negeri Kelantan yang diperlukan ialah RM75 juta. Bagaimanapun, pihak JKR memaklumkan siling peruntukan sebanyak RM40 juta telah ditentukan setiap tahun menyebabkan permohonan peruntukan untuk penyenggaraan Jalan Negeri bagi seluruh Jajahan sebanyak RM35 juta lagi tidak dipohon.

Berdasarkan baki semasa KAPJN, sepatutnya tiada isu mengenai masalah peruntukan yang tidak mencukupi. Jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan untuk menyenggara Jalan Negeri dalam tempoh tahun 2009 hingga tahun 2011 ialah RM225 juta dan jumlah ini boleh ditampung dengan pemberian Kerajaan Persekutuan sebanyak RM259.73 juta dalam tempoh yang sama. Keperluan peruntukan tambahan yang tidak dipohon adalah seperti Jadual 3.4.
Mengikut peraturan, peruntukan KAPJN hanya boleh digunakan untuk tujuan kerja penyenggaraan Jalan Negeri dan kerja yang berkaitannya sahaja.

Semakan Audit mendapati antara tahun 2009 hingga 2011 sejumlah RM0.70 juta peruntukan Kumpulan Wang ini telah digunakan untuk tujuan lain selain yang ditetapkan. Antara kerja yang dilakukan ialah pengubahsuaian pejabat JKR negeri, membaru muka jalan di dalam kawasan sekolah, penurapan dalam Kem Kijang, membekal paving block dan sebagainya seperti Jadual 3.5
Pada pendapat Audit, penggunaan KAPJN hendaklah digunakan untuk tujuan sebagaimana Arahan Amanah. Isu peruntukan terhad untuk menyenggara Jalan Negeri dengan meluas lagi tidak timbul kerana masih terdapat baki berjumlah RM343.87 juta dalam KAPJN.

SYOR AUDIT

Pada keseluruhannya, kerja penyenggaraan Jalan Negeri yang dirancang dan dilaksanakan adalah tidak memuaskan. Beberapa perkara perlu dipertingkatkan dalam pengurusan penyenggaraan jalan raya bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa selesa dan selamat semasa menggunakan jalan raya. Sehubungan dengan itu, pihak JKR Negeri dan Jajahan hendaklah mengambil langkah-langkah penambahbaikan perkara seperti berikut:
  • Program penyenggaraan jalan hendaklah dilaksanakan mengikut perancangan asal supaya jalan yang dikenal pasti rosak dapat disenggarakan.
  • Jabatan juga hendaklah membuat pengawasan terhadap kerja yang dilakukan oleh pihak kontraktor bagi memastikan kaedah perlaksanaan kerja penyenggaraan dipatuhi.
  • Rekod maklumat penyenggaraan Jalan Negeri hendaklah disediakan bagi tujuan memudahkan perancangan dan pemantauan.
  • Memperkemaskan sistem pengurusan aset dan inventori perabot jalan dengan penggunaan kod pemasangan pada setiap papan tanda termasuk kedudukan, tarikh pemasangan, tempoh jaminan dan sebagainya.
  • Jabatan hendaklah memastikan peruntukan Kumpulan Wang Amanah

Eksklusif - Nik Aziz Tak Tahu Laporan Audit Bongkar Misteri 'Tauke Cina' Di Kelantan - Video

PROJEK PEMBANGUNAN DAN PENGINDAHAN TEBING SUNGAI KELANTAN

Pengauditan dijalankan bagi menilai sama ada Projek PTSK telah dirancang dan dipantau pelaksanaannya untuk memastikan objektif projek usaha sama yang ditetapkan tercapai.

Pengauditan ini meliputi aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan terhadap Projek PTSK. Semakan telah dilakukan terhadap dokumen dan fail yang berkaitan di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan Syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd. Di samping itu, temu bual dengan pegawai yang terlibat serta lawatan ke tapak projek di Zon B dan Zon D juga telah dilakukan. Pandangan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri juga diminta berkaitan perjanjian projek.

Pengauditan yang dijalankan antara bulan September hingga Disember 2011 mendapati pengurusan Projek PTSK adalah tidak memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan seperti yang dijelaskan dalam perenggan-perenggan berikut. Secara ringkasnya kelemahan yang ditemui adalah seperti di bawah:
  • Syarikat gagal memberikan sumbangan kepada Kerajaan seperti mana dalam perjanjian.
  • Kemajuan projek tidak mengikut Jadual Pelaksanaan.
  • Pindah milik tanah dibuat kepada Syarikat dan sebahagian tanah dicagarkan kepada bank.
  • Bon jaminan pelaksanaan tidak diserahkan oleh Syarikat.
  • Perancangan yang bergantung sepenuhnya kepada Syarikat serta tiada kajian terperinci dan penilaian projek.
Sumbangan Kepada Kerajaan Negeri
Komponen Sumbangan Kepada Kerajaan Negeri

a. Projek usaha sama dijalankan berdasarkan konsep memberikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak iaitu Syarikat dan Kerajaan Negeri. Mengikut Perjanjian Projek, Kerajaan Negeri akan menyerahkan tanah seluas tidak melebihi 1,000 ekar secara pajakan selama 99 tahun dan Syarikat bersetuju memberikan sumbangan seperti berikut:

i. Sebuah masjid bernilai RM20 juta.

ii. Sebuah jambatan baru (Kg. Cina – Palekbang) bernilai RM150 juta.

iii. Sebuah jambatan berkembar (Jambatan Sultan Yahya Petra) atau gantian wang tunai setara kos semasa yang akan ditentukan oleh JKR.

iv. Sebuah stadium tertutup wanita bernilai RM25 juta.

v. Tabungan untuk Skim Perumahan Kos Rendah bernilai RM15 juta.

vi. Menyediakan tanah seluas 25 ekar di sebelah kiri dan kanan Jambatan Sultan Yahya Petra.

vii. Sumbangan sagu hati dan gerai kepada petani.

viii. Lain-lain sumbangan selain daripada di atas akan diputuskan oleh kedua pihak atas persetujuan bersama dari semasa ke semasa.

b. Semakan Audit mendapati sehingga bulan Disember 2011, Syarikat belum melaksanakan komponen projek fizikal iaitu masjid, stadium tertutup wanita, penyerahan tanah seluas 13 ekar di sebelah kiri Jambatan Sultan Yahya Petra dan Jambatan Baru (Kg. Cina – Palekbang). Komponen bukan fizikal yang masih belum diserahkan ialah wang tunai bersamaan nilaian JKR bagi pembinaan Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra berjumlah RM90 juta (jambatan tersebut telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan) dan Tabung Skim Perumahan Kos Rendah berjumlah RM12 juta.

Pelaksanaan Projek Tidak Mengikut Jadual

a. Kedudukan Semasa Projek

i. Berdasarkan Jadual Pelaksanaan Projek di dalam Perjanjian, tempoh pelaksanaan projek adalah selama 12 tahun bermula tahun 2003 sehingga tahun 2015 seperti Jadual 2.2. Lawatan Audit ke tapak projek di Zon B dan D pada bulan November 2011 mendapati Syarikat telah menyiapkan kemudahan asas dan infrastruktur iaitu retaining wall sepanjang 4.6 km, esplanade sepanjang 1.5 km, terminal bas sementara, jalan keluar masuk, bangunan hypermarket TESCO dan 142 unit rumah kedai 3 tingkat.Berdasarkan Jadual Pelaksanaan Projek, kesemua kerja pembinaan termasuk komponen sumbangan perlu selesai dilaksanakan pada tahun 2007 kecuali kerja-kerja pembinaan lain. 

Bagaimanapun, Syarikat masih belum melaksanakan sebahagian besar projek yang dirancang walaupun tempoh pelaksanaan projek hanya berbaki 3 tahun iaitu sehingga tahun 2015. Sehingga Mac 2012 kerja pembinaan masjid, stadium dan jambatan masih belum dimulakan walaupun mengikut Jadual Pelaksanaan Projek ia sepatutnya siap pada tahun 2005 dan 2007. Pembangunan projek banyak tertumpu di Zon D seperti Rajah 2.3 dan Gambar 2.1 manakala projek di Zon A, B dan C masih belum dimulakan.
iii. Pihak Syarikat memaklumkan antara sebab kelewatan projek ialah:
  • Kos bahan mentah meningkat.
  • Pembangunan projek banyak melibatkan kos infrastruktur yang tidak menghasilkan keuntungan kepada Syarikat.
  • Pengambilan balik tanah di Zon B untuk projek tebatan banjir seluas 9.83 ekar menyebabkan Syarikat tidak dapat menjana hasil kerana tanah di kawasan tersebut strategik dan bernilai tinggi.
b. Kedudukan Semasa Projek Mengikut Zon Pembangunan

i. Pembangunan Zon D

Pembangunan Zon D (TESCO ke Kg. Pintu Geng) seperti di Rajah 2.4 serta Gambar 2.2 hingga Gambar 2.5 meliputi kawasan seluas 283.33 ekar yang terdiri daripada bangunan komersial dan kemudahan awam. Lawatan Audit pada bulan November 2011 mendapati pembangunan projek hanya bertumpu di zon ini yang terdiri daripada komponen projek berserta kemudahan asas seperti berikut:
  • Retaining wall sepanjang 4.5 km;
  • LaluanLaluan pejalan kaki (esplanade) sepanjang 1.5 km;
  • Terminal bas sementara;
  • Jalan keluar masuk utama (JKR 10);
  • Bangunan hypermarket TESCO; dan
  •  Rumah kedai 3 tingkat sebanyak 142 unit.
Bagaimanapun komponen sumbangan yang sepatutnya dibina di Zon D iaitu masjid bernilai RM20 juta belum dimulakan pembinaan walaupun berdasarkan jadual pelaksanaan ia sepatutnya siap pada bulan November 2005. Syarikat juga belum menyediakan 130 buah gerai untuk petani yang dianggarkan bernilai RM5.2 juta. Manakala penyediaan tanah di sebelah kiri Jambatan Sultan Yahya Petra seluas 13 ekar bernilai RM46.11 juta telah siap ditebus guna tetapi masih belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri.
ii. Pembangunan Zon B

Pembangunan Zon B (Istana Kota Lama ke Kg. Cina) meliputi kawasan seluas 56.03 ekar yang terdiri daripada perumahan dan kemudahan awam. Lawatan Audit mendapati pembangunan yang telah dilaksanakan di zon ini hanya meliputi infrastruktur iaitu retaining wall dan tebus guna tanah bagi penyediaan tapak istana seluas 11.76 ekar yang bernilai RM41 juta telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

iii. Pembangunan Zon A Dan C

Pembangunan Zon A (Kg. Tikat ke Pulau Jerami) meliputi kawasan seluas 33.11 ekar yang terdiri daripada perumahan dan kawasan rekreasi. Manakala pembangunan Zon C (Kg. Laut, Tumpat) meliputi kawasan seluas 344.34 ekar yang terdiri daripada bangunan komersial dan rekreasi. Semakan Audit mendapati pembangunan di Zon A dan C belum dijalankan lagi termasuk komponen sumbangan iaitu Jambatan Kg. Cina-Palekbang (Zon A) dan stadium tertutup wanita (Zon C).

Status Komponen Sumbangan Syarikat

a. Semakan Audit mendapati komponen sumbangan berjumlah RM45.68 juta telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Sehingga Disember 2011 status sumbangan adalah seperti berikut:

i. Berdasarkan perjanjian, bayaran bulanan Tabung Skim Perumahan Kos Rendah yang pertama sejumlah RM1 juta perlu dijelaskan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh bermulanya projek pembinaan iaitu pada Januari 2005. Manakala bayaran terakhir perlu dijelaskan pada bulan Mac 2006. Sehingga bulan Disember 2011 Syarikat hanya membayar sejumlah RM3 juta atau 20% daripada keseluruhan sumbangan Tabung Skim Perumahan Kos Rendah yang berjumlah RM15 juta. Bayaran pertama berjumlah RM1 juta telah diserahkan pada bulan Januari 2009 manakala bayaran RM2 juta dijelaskan pada bulan Julai 2009.

ii. Mengikut perjanjian, Syarikat perlu menyerahkan tanah seluas 25 ekar selepas tanah dikosongkan dan selesai ditebus guna di kedua-dua belah Jambatan Sultan Yahya Petra. Syarikat telah menyerahkan dan memindah milik tanah kepada Kerajaan Negeri seluas 11.77 ekar yang bernilai RM41 juta pada 18 Julai 2011, manakala tanah seluas 13.23 ekar yang bernilai RM46 juta di sebelah kiri Jambatan Sultan Yahya Petra belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

iii. Mengikut Perjanjian Projek Jadual 6, Syarikat perlu memberi sumbangan kepada 134 petani selama 3 tahun berjumlah RM1.98 juta. Selain itu, Syarikat akan membina dan menyediakan gerai perniagaan kepada petani. Bagi petani yang tidak mahu berniaga, gerai yang disediakan akan diberi sewa dan hasil sewaan akan diserahkan kepada petani. Semakan Audit mendapati Syarikat telah membuat bayaran kepada 134 orang petani yang telah menerima bayaran antara RM100 hingga RM900 sebulan selama 3 tahun berjumlah RM1.68 juta.

b. Ringkasan kedudukan komponen sumbangan adalah seperti Jadual 2.3. Maklum balas daripada UPEN bertarikh 22 Mei 2012 menyatakan, selain daripada sumbangan yang disebut di dalam Perjanjian, terdapat juga beberapa sumbangan tidak langsung kesan daripada projek ini kepada ekonomi dan rakyat Negeri Kelantan. Antaranya ialah hasil premium dan cukai tanah, cukai bandar, terminal bas sementara, pertambahan peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan, pertambahan peluang pendidikan serta sebagai kawasan tarikan pelancongan.
Penilaian Semula Jumlah Sumbangan Syarikat Kepada Kerajaan Negeri

a. Mengikut Perjanjian Projek, Kerajaan Negeri akan menerima komponen sumbangan berbentuk fizikal dan bukan fizikal berjumlah RM389.09 juta daripada Syarikat sebagai balasan menyerahkan tanah seluas lebih kurang 1,000 ekar. Bagaimanapun keluasan sebenar tanah yang boleh diserahkan kepada Syarikat hanyalah seluas 716.8 ekar. Mesyuarat MMK pada 2 Julai 2009 membuat keputusan supaya UPEN mengambil langkah mengurangkan kawasan projek daripada 1,000 ekar kepada 716.8 ekar. Selain itu, pihak UPEN juga diminta untuk menilai semula sumbangan Syarikat kepada Kerajaan Negeri berkaitan dengan pengurangan kawasan projek tersebut serta membuat rundingan lanjut.

b. Berdasarkan penilaian harga semasa, nilai tanah yang telah diserahkan kepada Syarikat seluas 716.8 ekar adalah RM318.29 juta. Butiran lanjut nilai tanah adalah seperti Jadual 2.4.
Berdasarkan penilaian semasa harga tanah, pihak UPEN telah mengemukakan cadangan alternatif penyelesaian untuk pertimbangan MMK seperti Jadual 2.5. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui MMK pada 7 September 2011 telah membuat keputusan untuk melantik firma audit swasta dengan kos perkhidmatan sejumlah RM37,100 bagi tujuan menilai semula jumlah sumbangan yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri. Laporan firma audit swasta telah diterima oleh Kerajaan Negeri pada bulan April 2012. Pihak Audit telah meminta laporan tersebut secara rasmi pada 15 April 2012 tetapi sehingga kini belum menerima jawapan.
Pada pendapat Audit, pihak Kerajaan Negeri dan Syarikat perlu menyelesaikan segera masalah pengurangan keluasan tanah yang diserahkan kepada Syarikat dan penilaian semula sumbangan kepada Kerajaan kerana melibatkan pindaan perjanjian dan tempoh perjanjian tamat pada tahun 2015.

Kepentingan Kerajaan Negeri Tidak Dilindungi

Pindah Milik Tanah Kepada Syarikat

a. Artikel 5 Perjanjian Projek menyatakan sekiranya pindah milik tanah diperlukan oleh Syarikat bagi pembangunan Projek, Perbadanan Menteri Besar hendaklah membantu Syarikat memperoleh hak milik tanah dan Kerajaan Negeri hendaklah memindah milik tanah tersebut kepada Syarikat. Semakan Audit mendapati tanah seluas 716.8 ekar telah dipindah milik tanpa sekatan kepada Syarikat antara tahun 2003 hingga 2009. Senarai tanah yang telah dipindah milik kepada Syarikat adalah seperti Jadual 2.6. Bagaimanapun, bagi menjamin kepentingan Kerajaan Negeri, pindah milik tanah sepatutnya dibuat selepas Syarikat menyelesaikan projek terutama sumbangan kepada Kerajaan.
Keputusan membenarkan pindah milik tanah kepada Syarikat pemaju ini telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PTSK 1/2002 yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar. Pemilikan tanah tanpa sekatan kepada Syarikat merupakan satu risiko kepada Kerajaan sekiranya projek tersebut tidak disiapkan sebagaimana perjanjian.

c. Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PTSK telah bersetuju tanah yang telah diberi milik boleh dicagarkan kepada mana-mana institusi kewangan setelah mendapat perakuan daripada Jawatankuasa sebelum diangkat kepada MMK bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan. Semakan Audit mendapati Syarikat telah mencagarkan tanah seluas 13.52 ekar untuk mendapat pinjaman RM75 juta daripada institusi kewangan untuk membiayai kos projek pembangunan. Cagaran tanah untuk tujuan pinjaman mendatangkan risiko kepada Kerajaan sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan.

d. Tanah seluas 9.83 ekar dalam Zon A dan Zon B telah terlibat dalam pengambilan balik tanah bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kelantan. Syarikat telah dibayar pampasan RM4.07 juta oleh Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri sekiranya tanah tersebut tidak dipindah milik.

Bon Jaminan Pelaksanaan Tidak Diserahkan

Berdasarkan Klausa 7.18 Perjanjian Projek, Syarikat hendaklah menyerahkan Bon Jaminan Pelaksanaan kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh 3 bulan dari tarikh perjanjian ditandatangani bagi tujuan melindungi kepentingan Kerajaan Negeri ke atas tanah sekiranya projek tersebut tidak dapat disempurnakan oleh Syarikat. Semakan Audit mendapati bon jaminan pelaksanaan sebanyak 5% atau RM15.91 juta daripada nilai tanah RM318.29 juta yang dipindah milik tidak diserahkan oleh Syarikat.

Pihak Audit dimaklumkan perkara ini berlaku kerana pihak UPEN tidak menyedari mengenai klausa tersebut dalam perjanjian. Bagaimanapun sehingga kini surat tuntutan bon jaminan pelaksanaan kepada Syarikat belum dikeluarkan oleh pihak UPEN. Pada pendapat Audit, penukaran hak milik tanah kepada Syarikat dan tanah dicagarkan kepada bank serta bon jaminan pelaksanaan tidak diserahkan sepatutnya tidak berlaku kerana boleh mengundang risiko yang tinggi kepada Kerajaan.

Penilaian Terhadap Cadangan Projek PTSK

Projek PTSK melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan yang melibatkan kos lebih kurang RM2 bilion. Antara komponen projek yang akan dimajukan ialah projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina. Projek ini dicadangkan oleh pihak Syarikat melalui usaha sama dengan Kerajaan Negeri. Untuk melaksanakan projek usaha sama ini Kerajaan Negeri sepatutnya melantik pakar untuk membuat penilaian projek sama ada viable atau tidak dan kepentingan rakyat terjamin kerana Kerajaan akan memberi tanah seluas lebih kurang 1,000 ekar yang bernilai RM657 juta. Pihak Audit mendapati tiada kajian terperinci dibuat oleh pakar untuk menilai kemampuan syarikat dari segi kewangan dan prestasi, kemampuan Syarikat melaksanakan projek serta keluasan sebenar tapak projek yang akan diberi.

Berdasarkan kertas cadangan UPEN yang diangkat untuk kelulusan MMK, didapati Jawatankuasa Teknikal yang dilantik hanya membuat penilaian biasa berdasarkan pandangan Jabatan Teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Penilaian yang dibuat adalah berkaitan dengan tapak projek dan kesan kepada alam sekitar.

Mesyuarat MMK pada 19 Jun 2002 telah meluluskan projek ini berdasarkan pandangan dan mengesyorkan melalui Kertas Cadangan yang dikemukakan oleh UPEN. Kegagalan Kerajaan Negeri membuat penilaian dan tidak mendapat maklumat terperinci berkenaan kemampuan dan kedudukan kewangan sebenar Syarikat menyebabkan pelaksanaan projek ini tidak mengikut jadual dan sebahagian besar komponen sumbangan tidak dapat diserahkan mengikut jadual dalam perjanjian. Pada pendapat Audit, penilaian yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah tidak menyeluruh kerana tidak meliputi kajian terhadap keupayaan Syarikat, keluasan sebenar tapak projek dan keuntungan kepada Kerajaan Negeri.

SYOR AUDIT

Berdasarkan kelemahan yang ditemui, pihak Audit mengesyorkan Kerajaan Negeri/Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan mengambil tindakan seperti berikut:
  • Membuat penilaian terhadap sumbangan Syarikat kepada Kerajaan Negeri.
  • Penilaian hendaklah berdasarkan nilaian tanah semasa dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak Syarikat.
  • Setiap projek usaha sama perlu dikaji dengan teliti oleh pakar dan Agensi Kerajaan Negeri dilantik untuk mengurus dan memantau pelaksanaan projek.
  • Pihak UPEN perlu mengambil tindakan segera untuk memastikan Syarikat menyerahkan bon jaminan pelaksanaan sebagaimana dalam perjanjian.
  • Pihak Kerajaan Negeri perlu meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama dengan terperinci supaya kepentingan Kerajaan dan rakyat terjamin. - Laporan Ketua Audit Negara.
Laporan Audit diatas juga sebahagiannya mengesahkan luahan kesengsaraan hati penduduk di Lembah Sireh pada rakaman video dibawah:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...