Showing posts with label farazila. Show all posts
Showing posts with label farazila. Show all posts

Mahkamah Putuskan Sham Kamikaze Sah Bercerai Sudah Setahun Tanpa Sedar

Hasrat isteri kepada komposer dan pendakwah bebas Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar yang ingin menuntut cerai daripada suaminya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis menjadi sebaliknya apabila pasangan tersebut sebenarnya disahkan bukan lagi suami isteri sejak 1 September tahun lalu.

Ia disebabkan tindakan rujuk yang dilakukan oleh pasangan tersebut secara perbuatan selepas 15 hari lafaz cerai dibuat adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie.

Mereka juga telah melakukan perbuatan “muasyarah” iaitu yakin hidup sebagai suami isteri tanpa menyedari pernikahan mereka sudah terbatal.

Malah pasangan berkenaan juga tidak melaporkan lafaz cerai berkenaan kepada pihak mahkamah.

Hakim Syarie, Atras Mohammad Zin memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pasangan tersebut dalam sebutan kes mereka di sini pada Khamis.

Atras berkata, perbuatan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, (defendan) yang tidak melaporkan lafaz cerai dan kembali rujuk itu menyalahi undang-undang syariah negeri itu selain bercanggah dengan hukum syarak yang telah ditetapkan.

"Walaupun rujuk secara perbuatan itu tidak salah dari segi hukum tetapi defendan harus melihat ia mengikut konteks undang-undang dan mazhab yang diguna pakai di negara ini.

"Defendan sepatutnya merujuk perkara berkenaan kepada mahkamah syariah untuk memutuskan perkara itu sebagai sah atau pun tidak," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua pasangan tersebut sebenarnya tidak lagi menjadi suami isteri selepas lafaz cerai itu dibuat walaupun Sham menganggap dia sudah rujuk semula dengan Farazila, 31, (plaintif).
 
"Dengan ini mahkamah mengesahkan pihak defendan dan plaintif sah bercerai kali pertama pada tarikh tersebut dan rujuk perbuatan yang dibuat adalah tidak sah," katanya.

Sham dalam keterangannya memberitahu mahkamah dia telah melafazkan cerai terhadap Farazila di rumah mereka di Kondominium Sri Bayu USJ, Subang Jaya di sini kira-kira pukul 7 malam, 1 September 2011 (hari raya ketiga) dan kembali rujuk dengan perbuatan pada 16 September 2011.

Dia bagaimanapun mengakui tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak mahkamah.

Dalam pada itu, Farazila dalam keterangannya memberitahu selepas kembali rujuk mereka telah tinggal bersama sehingga 30 Ogos lalu iaitu pada hari dia memfailkan permohonan cerai terhadap Sham.

Berikutan pengesahan itu hakim memerintahkan plaintif menjalani edah muasyarah selama tiga bulan atau tiga kali suci bermula daripada tarikh dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan defendan.

Mahkamah turut memerintah Farazila untuk membatalkan permohonan cerai yang dibuatnya sebelum itu.

Terdahulu pasangan tersebut hadir ke mahkamah untuk mendengar sebutan tiga permohonan yang dibuat oleh Farazila iaitu pengesahan cerai, rujuk dan permohonan cerai.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara kecil-kecilan di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor.

Farazila hadir dengan berpakaian jubah hitam berserta tudung ungu ditemani oleh dua orang ahli keluarga manakala Sham yang berbaju putih dan berkopiah hadir seorang diri.

Kedua-dua pasangan itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu di luar mahkamah Farazila berkata, sebelum ini dia pernah menggesa Sham untuk melaporkan perkara itu ke mahkamah bagi mendapat kepastian tentang status perkahwinan mereka tetapi ditolak oleh bekas suaminya itu.

Menurut Farazila, Sham mengatakan perbuatan rujuk melalui perbuatan itu adalah sah selepas dia mendapat pandangan daripada ustaz selain berpandukan buku-buku agama walaupun tidak melaporkannya kepada mahkamah.

"Secara dasarnya ada hikmah saya memfailkan permohonan cerai pada 30 Ogos lalu kerana ia telah menyelesaikan kes lafaz cerai dan rujuk yang dibuat oleh dia (Sham) sebelum ini.

"Saya lega kerana segala-galanya telah selesai hari ini (Khamis) dan berharap akan lebih tenang selepas ini," katanya. Manakala Sham pula memberitahu, dia reda dengan ketentuan Allah terhadap keputusan mahkamah dan enggan mengulas mengenai punca keretakan rumah tangga mereka berdua. - Mstar

'Saya Tak Mampu Bertahan Lagi' - Isteri Sham Kamikaze Tuntut Cerai

Farazila menunjukkan surat permohonan cerai yang difailkannya di Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam pada 30 Ogos lalu.
PETALING JAYA: Isteri kepada pemuzik dan pendakwah Sham (Kamikaze) iaitu Farazila Abdul Jabar memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 30 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dekat sini kerana konflik dalaman yang berlanjutan sejak tiga tahun lalu.

Farazila, 31, berkata, keputusan itu diambil selepas pelbagai usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, menemui jalan buntu.

"Saya ambil keputusan untuk memohon cerai daripada Sham kerana sudah tidak boleh hidup bersamanya lagi. Kami hanya bahagia pada tahun pertama perkahwinan sahaja.

"Beberapa konflik dalaman yang berlaku antara kami terlalu peribadi untuk saya dedahkan. Ia menjadi sebab utama perceraian ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 17 Ogos 2008 secara rahsia di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor.

Ditanya adakah keputusan bercerai itu turut dipengaruhi kontroversi kononnya Sham sudah bernikah lagi pada Januari lalu, Farazila berkata, ia bukan faktor utama sehingga dia mengambil tindakan itu.
Farazila dan Sham bernikah pada 17 Ogos 2008 secara rahsia.
"Ia (bercerai) bukan kerana cerita itu. Jika benar Sham bernikah lagi, saya sebagai isteri pertamanya reda bermadu tetapi sikap tidak bertanggungjawabnya dalam urusan rumah tangga membuatkan saya kecewa dan tawar hati.

"Mengenai cerita dia bernikah lagi, tiga kali saya bertanya kepada dia untuk kepastian tetapi dia tidak mengaku dan berdolak-dalik. Malah, dia mula menjauhkan diri, tidur berasingan dan bersikap kasar terhadap saya," katanya.

Farazila berkata, dia terpaksa berdiam diri selama ini walaupun maruahnya dan keluarga diperlekehkan umum sejak kontroversi Sham beristeri dua tersebar kerana disuruh mengunci mulut.

"Sudah lama saya berdiam diri sejak cerita itu tersebar walaupun maruah saya dan keluarga diperlekehkan.

"Kalau diperhatikan, saya langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kerana Sham tidak membenarkannya.
"Saya tidak mampu bertahan lagi kerana banyak konflik dalaman antara kami yang menafikan hak saya sebagai isteri. Sebab itu, saya ambil keputusan untuk memfailkan perceraian ini," katanya.

Kontroversi yang mendakwa Sham bernikah lagi pada 16 Januari lalu bukan punca utama Farazila memfailkan perceraian.

Menerusi laporan mStar Online pada 20 Januari lalu, Sham menafikan desas-desus mendakwa dia sudah bernikah lagi secara rahsia pada 16 Januari di Pulau Pinang.

Sham menganggap gosip itu sebagai fitnah yang mencalar reputasinya sebagai pendakwah baru dan menggores hati isterinya Farazila.

Pada artikel mStar Online bertarikh 13 April lalu, keluarga yang dipercayai isteri kedua Sham iaitu Nurul Halimin Md Salleh, 32, terkilan apabila gitaris itu masih enggan mengakui dia sudah bernikah kali kedua.

Sumber terdekat keluarga tersebut berkata Sham yang kini bergelar pendakwah bebas bersikap tidak jujur kerana sehingga kini masih menafikan pernikahan itu. M-Star
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...