Showing posts with label debat. Show all posts
Showing posts with label debat. Show all posts

Debat Isu 'KO BN Dan Umno Murtad' - Minda Pondok Jangan Jadi Minda Karut

KOTA BHARU - Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai beberapa pondok di Kelantan, Minda Pondok, menolak berdebat dengan pihak lain kecuali Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengenai isu doa menghapuskan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta mendakwa Umno sebuah parti murtad.

Ketua Biro Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata ini kerana isu itu ditimbulkan sendiri oleh Nik Abdul Aziz terutama dalam isu murtad dan Menteri Besar Kelantan itu perlu bertanggungjawab atas tuduhan berat itu.

"Ini soal membabitkan akidah yang ditimbulkan sendiri Nik Abdul Aziz dan kita menolak orang lain untuk menggantikan beliau.

"Orang yang layak berada sepentas dengan Nik Abdul Aziz (untuk berdebat) itu adalah penasihat Minda Pondok yang juga seorang tokoh agama, Tuan Guru Haji Abdullah Saamah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Kenyataan Nik Abdul Aziz itu melibatkan soal akidah yang jika tidak dibincangkan, ia boleh memesongkan akidah umat Islam. Ini kerana Nik Abdul Aziz seorang tokoh dan juga menteri besar dalam kerajaan yang kenyataannya diikuti oleh ahli Pas dan rakyat Kelantan terutamanya," katanya.

"Sama ada Nik Abdul Aziz sahut atau pun tidak cabaran berdebat, Minda Pondok tetap terus memberi penerangan dan penjelasan kepada ahli Pas bahawa perjuangan Pas masa ini telah banyak tersasar dari landasan Islam sebenarnya.

Seharusnya Minda Pondok tidak menjadi 'Minda Karut', kalau Tok Guru tak boleh lawan sama Tok Guru, apa salahnya kalau sesama anak murid ? Tajuknya pun tetap sama takder lari, sama-sama buat keluar hujah, dan hujah-hujah itu sudah pasti datangnya daripada guru masing-masing.

Sampai kiamat pun Nik Aziz takkan berdebat, setakat nak cari publisiti tu bolehlah cabar dia, kalau nak kata Nik Aziz takut atau kenyataan Nik Aziz itu salah, semua orang sudah tahu apa jawapan Nik Aziz dan Pas, mereka akan mengatakan kalau salah dan boleh rosak akidah, kenapa majlis agama tidak tangkap?
 
Perlu diingat yang menyahut cabaran debat dari Minda Pondok tu bukannya NGO ataupun orang lain suku sakat, ia adalah Setiausaha Akhbar Nik Aziz, maksudnya ada kaitan dengan Nik Aziz, dan apabila cabaran itu berani disahut tetapi tidak disambut, ramai yang akan berpandangan kenyataan Nik Aziz itu ada hujahnya yang tersendiri, sebab itu SUA Nik Aziz berani menyahutnya.
 
Bukankah sangkaan itu semakin akan mengelirukan umat Islam, kalau benar-benar ikhlas dan tidak hanya ingin mencari publisiti murahan, berbincanglah atau berdebatlah dengan sesiapa sahaja yang punyai hak (ilmu pengetahuan) dalam meghuraikan hal itu.

Minda Pondok tak perlu banyak alasan macam puak Pas juga, nanti orang kata 2x5, bila begitu nak gadai pun tak laku, demi kebenaran 'gerok subuh kena bangun subuh', jika tidak lebih baik diam, dan isu doa 'KO BN' serta Umno murtad itu memang jauh bercanggah dengan ajaran Islam, semoga ada pihak yang benar-benar ikhlas bangkit untuk memperbahaskan isu berkenaan. Anda Mampu Mengubahnya.

"Ambo sero nak cabar Yusof Qardawi debat pulok ehh"

Isu KO BN Dan Umno Murtad - Setiausaha Akhbar Nik Aziz Sahut Cabaran Debat Minda Pondok

KUALA LUMPUR - Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran debat Minda Pondok bagi mempertahankan tuduhan yang dilemparkan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cabaran itu, katanya khusus bagi mempertahankan dakwaan Nik Aziz  khususnya dalam isu doa dan  memurtadkan Umno.

"Saya menawarkan diri untuk tampil menyahut cabaran Minda Pondok yang saya kira perlu untuk dilaksanakan.

"Dalam hal ini saya kira samada Minda Pondok boleh merangka program ini ataupun diserahkan kepada mana-mana pihak ketiga untuk menjadi urusetia," katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap Minda Pondok boleh menerima cadangan ini sekiranya benar-benar mereka ikhlas untuk menjernihkan suasana.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, dalam isu debat perlulah sekurang-kurangnya panelis yang terlibat dilihat sama kedudukan sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

"Selaku Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, adalah tidak munasabah untuk meletakkan Minda Pondok sepentas dengan Nik Aziz dalam apa jua tajuk sekalipun," katanya.

Beliau memberi respons demikian ekoran cabaran debat oleh satu pertubuhan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka sebagai Minda Pondok seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Minda Pondok dilaporkan mencabar Nik Aziz berdebat dalam isu doa dan dakwaan bahawa UMNO murtad.

Dengan sahutan SUA Nik Aziz terhadap Minda Pondok itu kita mengharapkan mana-mana pihak tidak akan memberi apa-apa alasan lagi selepas ini, dan debat ini perlu disegerakan bagi kita melihat dan menilai kedudukannya yang sebenar serta hujah-hujah yang diutarakan oleh kedua-dua pihak.

Disebabkan isu ini juga tidak melibatkan dasar parti yang perlu diputuskan oleh individu yang punyai kuasa, kita melihat kedua-dua belah pihak adalah lawan yang sepadan dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka. Jadi apa ditunggu lagi!!! Anda Mampu Mengubahnya.

"Debat Boleh Membawa Kepada Riak, Hasad, Takbur Dan Ujub" - Imam Al-Ghazali

Konflik yang dihadapi perlu ditangani secara berhemah demi kepentingan maruah Islam

PERBEZAAN pandangan serta pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baru yang membabitkan ilmuwan Islam. Bagaimanapun sikap berkeras untuk tidak menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan konflik berterusan. Ia amat mengecewakan kerana turut mengheret penyokong masing-masing, yang berakhir dengan kata-mengata, rendah-merendah dan jatuh-menjatuhkan sesama Islam.

Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda, "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadis At-Tirmizi)

Tambah malang lagi apabila isu membabitkan pertelingkahan sesama Islam dibesar-besarkan tanpa ikhtiar untuk meredakannya. Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam. Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan"

Bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar. Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat :11)

Agama amat memberi perhatian dalam aspek pertuturan hinggakan perkataan yang keluar daripada lidah diperhalusi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada orang yang mendengarnya. Apatah lagi perkataan yang terkeluar itu berupa sangkaan dan tohmahan yang gagal dibuktikan akan kebenarannya.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.' (Surah al-Hujurat: 12)

Sementara itu Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ayyuhal Walad, menasihatkan mereka yang sering berdebat dan bertelingkah supaya "seboleh-bolehnya tinggalkan perdebatan kerana ia boleh membawa kepada riak, hasad, takbur, ujub dan sebagainya. Namun jika kamu terjerumus ke kancah perdebatan, maka hendaklah ikhlas niat di hati bagi menzahirkan kebenaran. Niat yang ikhlas ini boleh dikesan melalui dua tanda iaitu pertamanya, kamu tidak membezakan sama ada kebenaran itu nanti akan tersingkap melalui lidah kamu atau lidah lawan debatmu. Keduanya, kamu lebih menyukai jika debat itu diadakan dalam tempat yang tertutup tanpa dilihat oleh orang yang begitu ramai.

Dalam isu berdebat dan bertelingkah ini, didapati bahawa mereka yang suka berdebat bukan bertujuan menyampaikan kebenaran tetapi untuk membantah hujah pihak lawan seperti firman Allah yang bermaksud, "Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah saja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar." (Surah Az-Zukhruf: 58)

Menjadi seorang Muslim yang baik bukan saja terletak pada keupayaan membaiki diri sendiri bahkan berupaya mengukuhkan ummah melalui anjuran perdamaian seandainya berlaku sebarang pertelingkahan. Apatah lagi kalau ia membabitkan tokoh ulama dan ilmuan agama. Barangkali ramai di kalangan kita yang membiarkan pertelingkahan yang berlaku sesama kita atas dasar seronok untuk melihat pertarungan hujah tetapi tidak berupaya melepasi garisan bahaya perpecahan yang sedia menunggu.

Justeru, menangani konflik yang berlaku di kalangan umat Islam juga perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap agama. Namun begitu kita banyak diajar dan dididik oleh agama akan cara-cara menangani konflik kalau ia berlaku. Islam menggariskan kaedah yang tepat dalam menangani sebarang konflik peribadi atau kumpulan. Jawapannya dengan cara mendamaikan mereka secara adil demi maruah dan kepentingan agama mendahului pertembungan peribadi.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islami (Damai)

Video - Debat Isu Talam Anjuran MCA Berlaku Kekecohan Khalid Tak Datang

Debat antara  Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertukar kecoh apabila Khalid tidak hadir sebaliknya menghantar 4 orang wakil yaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.

Lain yang diundang lain pula yang datang, hantar wakil 4 orang nak berdebat dengan Tee Yong seorang, setelah hampir 30 minit menantikan kehadiran Khalid, mereka bertindak keluar dewan.

Debat berhubung isu penstrukturan semula hutang Talam Corp anjuran MCA Bandar Tun Razak, yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa,  Bandar Tun Razak di sini.

Tee Yong enggan berdebat dengan wakil yang dihantar oleh Khalid, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Pihak Tee Yong menegaskan mereka ingin berdebat dengan Menteri Besar Selangor sendiri.

Sebaik sahaja Tee Yong selesai memberikan penerangan kepada tetamu yang hadir, beliau dikerumuni pemberita dan ditanya berkenaan dengan wakil PR meninggalkan dewan.

"Saya tak tahu kenapa, mungkin mereka telah bertukar fikiran," ujar Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis.

Apabila ditanya tentang kekecohan yang berlaku ketika wakil PR keluar dewan, katanya: "Saya merasakan keadaan yang tidak terkawal itu telah dijangka berlaku kerana bila pengerusi majlis menyentuh tentang isu kain rentang dibuang, disimbah cat merah dan dikoyakkan, mereka mula membuat bising, namun angkara siapa, saya tidak tahu."

Terdahulu Pua, Dzulkefly dan Leong telah mencabar Tee Yong untuk berdebat dengan mereka pada Ahad ini di Labis, Johor untuk mengeluarkan hujah yang sama berkenaan dengan Talam.

Menjawab cabaran itu, Tee Yong berkata: "Debat di Labis, saya akan melihat siapa yang hadir... sekiranya MB (Khalid Ibrahim) datang, semestinya saya akan berada di sana."

Isu kontroversi ini mendapat perhatian ramai susulan daripada PKR mendakwa MCA memutar belit fakta dengan menuduh Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu Talam bagi menutup penyelewengan dan rasuah dilakukan bersama Umno sehingga ribuan ekar tanah dan berjuta-juta ringgit milik rakyat telah hangus.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...