HUDUD-PAS KELANTAN BENTUK JAWATANKUASA

Hudud: Pas Kelantan setuju bentuk jawatankuasa teknikal

KOTA BHARU 24 Okt. - Kerajaan Pas Kelantan bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal pelaksana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika memaklumkan perkara itu berkata, jawatankuasa itu dianggotai 19 ahli dari kalangan profesional termasuk beliau sendiri selaku Timbalan Pengerusi 1 dan sekiranya perlu keahlian mungkin ditambah.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa yang lain antaranya Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman

Menurut Mohd. Amar, peranan jawatankuasa itu antara lain mengkaji kemungkinan kepada pelaksanaan enakmen itu berikutan wujud pandangan mengatakan ia boleh dilaksanakan tanpa perlu meminda perlembagaan dan undang-undang sedia ada.
"Jadi, antara tugas (jawatankuasa) ialah mengkaji kemungkinan yang ada dan ruang-ruang dan kalau ada mereka akan memberi cadangan-cadangan kepada kerajaan.
"Kerajaan tidak beri jangka masa kepada jawatankuasa bila ia bersidang (buat) kali pertama, mungkin ia akan selesaikan 'terms of reference' dan sebagainya," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Pada 7 Oktober lalu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan satu jawatankuasa pelaksana hukum hudud akan ditubuhkan selepas didesak pelbagai pihak.
Menurut beliau, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menentukan bagaimana Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 bakal digazetkan untuk pelaksanaan serta penentuan semua perkara berkaitan seperti pelantikan hakim.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan kerana kerajaan sudah memberi mereka ruang untuk mengemukakan pandangan dan tumpuan kini diberikan kepada golongan profesional yang berkaitan.

"Hari ini, Exco buat keputusan dan kita akan buat surat (pelantikan) serta terserah pada masing-masing untuk terima atau tidak. Yang penting, apa yang kita nak buat adalah dalam kerangka undang-undang.
"Polis dan penjara terlibat kerana (melibatkan) soal penguatkuasaan. Kalau enakmen boleh dilaksana dari segi undang-undang, tentu ada penguatkuasaan dan di situ peranan polis dan penjara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...