TOK BOMOH PEROGOL DI JEL 15 TAHUN 10 SEBATAN

KOTA BHARU – Taktik kotor seorang bomoh yang mengambil kesempatan merogol pesakitnya tahun lalu, menerima balasan apabila dia dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas Norazanni Nordin, 31, dari Sungai Petani, Kedah didapati bersalah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Azman dalam keputusannya berkata, pembelaan tertuduh yang mengaku ada melakukan hubungan persetubuhan atas kerelaan mangsa, bagaimanapun, tidak selari dengan keadaan mangsa yang ketika itu mengalami masalah kemurungan.

“Oleh sebab itu, mahkamah menolak pembelaan dan mendapati tertuduh bersalah seperti mana tuduhan,” katanya.

Berdasarkan tuduhan, Norazanni didakwa merogol mangsa yang berusia 19 tahun di sebuah bilik rumah remaja berkenaan di Pak Roman, Machang, pada jam 9.30 malam, 18 Mac 2011.

Sejurus hukuman diputuskan, Peguam bela, Ahmad Nizam Mohamed memohon penangguhan bagi mengemukakan rayuan terhadap anak guamnya itu.

“Saya mohon mahkamah menimbang komitmen tertuduh kepada keluarga selepas diberhentikan daripada perkhidmatan tentera selepas 12 tahun perkhidmatan.

Tertuduh kini membantu ibunya menyediakan makanan di kenduri-kenduri di kampungnya,” katanya.

Permohonan itu bagaimanapun di bantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof yang menyifatkan tidak ada faktor istimewa bagi membolehkan ia dibenarkan pihak mahkamah.

“Tertuduh mengambil kesempatan dan menyalahgunakan amanah yang diberikan ibu bapa mangsa supaya merawat remaja itu yang dipercayai mengalami penyakit kemurungan ketika itu,” katanya.

Selepas dipertimbangkan kedua-dua pihak, Azman kemudian memutuskan untuk menolak permohonan penangguhan berkenaan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...