Penjenayah Yang Berbalas Tembakan Sebelum Ini Sekali Lagi Mengganas Di Kota Bharu

KOTA BHARU - Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes cubaan samun seorang peniaga kedai runcit di Kampung Batu 6, Jalan Lapang Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek terbabit.

"Semua suspek sudah dikenal pasti dan polis sedang berusaha mengesan kedudukan mereka. Mereka tak boleh lari ke mana, sama ada cepat atau lambat sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis tamat latihan dan pentauliahan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan empat penyamun bersenjatakan pistol berputih mata apabila gagal melarikan seutas gelang emas kepunyaan pemilik sebuah kedai runcit dalam kejadian samun di Kampung Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.

Kejadian pukul 8 malam itu berlaku apabila dua daripada empat suspek yang memakai topi itu masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura membeli minuman.

Mereka kemudian tiba-tiba merentap gelang tangan mangsa, Fatimah Hussin, 50, yang ketika itu berada di kaunter kedai tersebut.

Cerita Fatimah, dia terkejut dengan tindakan lelaki itu manakala seorang lagi lelaki mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkannya supaya mendiamkan diri.

"Saya tidak endahkan amaran mereka lalu menjerit dan menyebabkan anak lelaki saya, Che Mohd. Fakaruddin Che Abdul Aziz, 19, yang berada di dalam kedai meluru keluar ke arah kami.

"Menyedari keadaan itu, kesemua lelaki tersebut bergegas keluar dan sempat melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi," katanya di sini semalam.

Sementara itu siasatan awal polis mendapati, kesemua suspek dipercayai kumpulan sama yang menembak seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan minggu lalu, selanjutnya sila klik di Sini 

Pada masa sama Jalaluddin memaklumkan, seramai 850 anggota SSP akan dilantik bagi memenuhi kekosongan jawatan menjelang penghujung tahun ini bagi membantu tugas polis dalam membanteras jenayah.

"Tiga siri temuduga telah dilakukan dan senarai pendek calon juga telah dibuat. Jawatan ini mendapat sambutan kakitangan kerajaan dan swasta termasuk peniaga.

"Khidmat mereka akan digunakan untuk tugas-tugas seperti kawalan keselamatan, rondaan motosikal, operasi tertutup dan sekatan jalan raya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...