Krisis Di Lahad Datu - Tun Mahathir Minta Kerajaan Ambil Tindakan Tegas Dan Keras

KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta kerajaan supaya mengambil tindakan segera keatas kumpulan penceroboh di Lahad Datu dan menghadapkan mereka ke mahkamah sekaligus menamatkan krisis tersebut daripada berlarutan.

Beliau juga khuatir situasi akan menjadi lebih buruk kerana kumpulan penceroboh ini akan tetap meneruskan keganasan mereka secara berpanjangan walaupun akan kalah dalam pertempuran.

"Saya khuatir apabila kita lihat apa yang berlaku di Filipina, bila ada pemberontakan daripada rakyat mereka, ia berpanjangan dan tidak mudah dihentikan.

"Sebab itu saya harap kerajaan akan mengambil tindakan yang keras dan tegas supaya tidak berlarutan," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden itu.

Selain itu, Tun Mahathir menyifatkan perbuatan kumpulan penceroboh itu sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, kumpulan itu bertindak ganas sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa lapan anggota pasukan keselamatan negara dalam dua kejadian berasingan di kedua-dua lokasi serangan itu.

"Kita cuba nak selesaikan perkara ini tanpa pertumpahan darah, tetapi kita dapati orang Sulu ini ganas, mereka bukan sahaja membunuh askar kita tetapi cederakan orang yang sudah mati.

"Kononnya mereka orang Islam tetapi perbuatan mereka tidak mengikut kehendak agama Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Global Muslim Conference on Unity and Economy' anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (MCCM) di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...