“Selagi Pembunuh Kejam Tidak Ditangkap, Kematian Isteri Saya Belum Terbela”

Kuala Lumpur - "Kenapa mak kena tembak ayah, apa salah mak,” antara soalan yang diajukan anak pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak oleh pengawal keselamatan di USJ Sentral, Subang Jaya, 23 Oktober lalu.

Suami mangsa, Irwan Kamaruddin, 37, yang sering kali diajukan soalan oleh dua anaknya, Nurnisa Nabila, 12, dan Muhd Hazimi, 8, hanya mampu menitiskan air mata mengenangkan nasib anaknya yang belum faham apa berlaku.

Malah katanya, sejak kejadian hitam menimpa isterinya itu, dua anaknya belum pergi ke sekolah kerana bimbang fikiran mereka masih terganggu, terutama ketika ditanya pelbagai soalan oleh rakan mereka di sekolah.

“Hampir setiap malam dua beradik itu hanya termenung dan mendiamkan diri berbanding sebelumnya. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menenangkan dan memberikan kata semangat supaya mereka lebih kuat.
“Saya sebagai ayah perlu kuat di depan mereka dan tidak boleh menunjukkan kesedihan, walaupun Allah yang tahu bagaimana perasaan saya sejak kematian isteri,” katanya dalam nada sedih ketika dihubungi BH, semalam.

Irwan berkata, kehidupan mereka sekeluarga belum tenang kerana suspek utama menyebabkan kematian isterinya belum ditangkap.

“Saya sering mengikuti perkembangan arwah melalui televisyen dan surat khabar, namun hampa kerana pengawal keselamatan itu masih bebas.

“Saya berharap lelaki itu terima hukuman setimpal dengan apa yang dia lakukan terhadap isteri saya.

“Selagi dia tidak ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan, kematian isteri saya belum terbela,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...