Showing posts with label azmin. Show all posts
Showing posts with label azmin. Show all posts

Azmin Sifatkan Khalid Sebagai MB Pak Turut

PETALING JAYA - Menteri Besar Selangor yang baru tidak perlu 'pak turut' yang menyebabkan dirinya dipimpin oleh orang lain, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Gelaran 'pak turut' itu nampaknya dikaitkan secara tidak langsung dengan Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah diberi sokongan oleh DAP dan PAS untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar.

Sebelum ini, Azmin dilaporkan kecewa selepas dipinggirkan daripada jawatan Menteri Besar.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PKR selepas mesyuarat bersama pimpinan PKR Selangor Azmin berkata Selangor perlu diketuai oleh seorang yang berfikiran tegas dan mempunyai visi yang jelas.

Beliau berkata cirri tersebut perlu ada selepas Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum dengan majority yang lebih besar daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding Barisan Nasional yang mendapat 12 kerusi sahaja.

Azmin, yang dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dalam pengundian yang diadakan pada Ahad, berkata beliau akan mendedahkan mengenai isu dalaman parti itu dalam sidang media yang akan diadakan pada Jumaat.

Beliau akan menerangkan isu nepotisme dalam PKR dan apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun PKR hanya menang 14 kerusi Dun berbanding Pas dan DAP (masing-masing 15 kerusi), Pas membuat keputusan Khalid harus terus menjadi Menteri Besar Selangor.

"Saya dah berbincang dengan Pas Selangor supaya Menteri Besar dari PKR dikekalkan di Selangor.

"Kita mahu tunjukkan bahawa pakatan rakyat boleh memerintah negeri secara kolektif," katanya ketika berucap dalam ceramah perdana di Rusila semalam.

Abdul Hadi berkata beliau telah menulis serta menandatangani surat persetujuan berhubung perkara itu untuk diserah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengenai pelantikan wakil rakyat Pas dalam barisan exco negeri Selangor, Abdul Hadi berkata beliau menyerahkan kepada Pas Selangor untuk berbincang dengan parti sekutunya.

Huru-Hara Didalam Pakatan Rakyat Bermula, Azmin Ali Dilihat Sebagai Punca

KUALA LUMPUR - Parti-parti didalam Pakatan Rakyat dilihat begitu kelam kabut dan tidak mempunyai perancangan yang teratur didalam menguruskan pentadbiran sesama mereka selepas pengumuman pembubaran parlimen dibuat semalam.
 
Keadaan huru-hara antara pemimpin didalam Pakatan Rakyat sudah tidak mampu disorok lagi, terdahulu  PAS Wilayah Persekutuan (WP) melahirkan kekecewaan mereka dengan tindakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang mengumumkan peletakan calon di parlimen Setiawangsa dan Labuan tanpa persetujuan PAS dan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS WP Mohamad Noor Mohamad berkata, Azmin tidak berbincang dengan Majlis Pakatan Rakyat WP mengenai kerusi Setiawangsa dan Labuan terlebih dahulu.

Malah sehingga kini beliau berkata kerusi Parlimen Setiawangsa masih dalam perbincangan dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat belum membuat keputusan muktamad mengenainya. .

"PAS WP berasa kesal dengan pengumuman dibuat Azmin dalam media pada Rabu bahawa PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu di Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan.

"PAS WP merasakan kenyataan Azmin tidak mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat khususnya peringkat Wilayah Persekutuan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa di sini, Jumaat.

Mohamad berkata PAS WP turut menegaskan bahawa pengumuman sebarang kerusi di WP perlu melalui perbincangan dengan Majlis Pakatan Rakyat WP.

"Azmin tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan mana-mana kerusi yang akan ditandingi oleh PKR tanpa persetujuan daripada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata PAS perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam PR namun ia perlu diurus dengan baik.

"Sepatutnya perkara ini akan dapat diselesaikan melalui perbincangan.

"Kalau boleh dibincang di peringkat dalaman sebelum umum kepada media," katanya.

Pada Rabu, Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR mengumumkan parti itu akan bertanding di tiga kerusi Parlimen, iaitu di Labuan, Bera dan Setiawangsa.

Beliau dilaporkan berkata ketiga-tiga kerusi berkenaan sebagai ganti kepada kerusi yang diumum Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang iaitu Temerloh dan Kangar.

Sementara itu Azmin turut mengesahkan dimana Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Walaupun Presiden PKR itu mempunyai peluang yang cerah jika bertanding, namun kepimpinan tertinggi parti menghormati keputusan beliau untuk menarik diri pada saat akhir.

"Benarlah apa yang dikatakan Datuk Seri Anwar ketika ditemu bual media antarabangsa semalam.

"...keputusan itu disampaikan Anwar sendiri dan kita menghormatinya," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini
 
Kenyataan yang dibuat Anwar semalam bahawa Wan Azizah tidak bertanding bagaimanapun disangkal oleh anaknya yang juga Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar.

"Itu hanya cakap-cakap politik," katanya malam Khamis, walaupun menyedari berita itu berpunca daripada KeadilanDaily.com yang memetik bapanya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada stesen televisyen Al-Jazeera Rabu lepas.

"Itu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) Keadilan (merujuk kepada KeadilanDaily.com) saja. Setakat ini tidak ada perancangan sebegitu dan ia akan dimuktamadkan semasa hari penamaan (calon) nanti.

"Saya rasa pengumuman rasmi akan dibuat pada Rabu (depan) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau akan tahu pastinya mengenai persiapan calon," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Chabang Tiga di sini.

Nurul Izzah juga tidak percaya Anwar akan beralih angin bertanding di Perak seperti yang dibayangkan bapanya.

"Saya fikir beliau tidak menyatakan yang beliau bersedia bertanding di Perak. Ini spekulasi media dan saya sendiri telah mendapat memorandum daripada warga Permatang Pauh yang meminta beliau (Anwar) kekal di sana.

"Ada satu dimensi sentimental yang amat unik di Permatang Pauh. Ibu saya Wan Azizah telah tiga penggal menjaga kerusi dan berkhidmat di sana dan ternyata permintaan mereka untuk (Anwar) kekal di sana harus diambil kira," katanya.

Zuraida Sifatkan Faekah Celupar Dan Tidak Tahu Mengenang Jasa - Video

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Selangor kecewa sambil menegaskan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar sepatutnya mengelak daripada membuat komen-komen yang tidak wajar berhubung kenyataan kontroversi kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusinya, Zuraida Kamaruddin berkata, Faekah seharusnya mengambil pendekatan positif dengan menghubungi Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sendiri berhubung isu berkenaan. Beliau turut mengecam sikap Faekah yang dianggapnya sebagai bermulut ‘celupar’ dan tidak tahu mengenang jasa.

Menurutnya, jika Faekah mengambil nafas kali kedua dan baca habis laporan (media), beliau pastinya akan faham keseluruhan kenyataan Azmin, dan Faekah tidak harus terus menerus memperlekehkan Azmin Ali, sebaliknya beliau mencadangkan agar menumpukan kepada tugasnya sebagai SETPOL MB.

“Jangan memperlekehkan pemimpin parti, kerana parti penting untuk membawa kejayaan kepada sesuatu kerajaan, bukan daripada kedudukannya sebagai Setiausaha Politik, dengan adanya usaha dari peringkat partilah, maka beliau dapat dilantik sebagai Setiausaha Politik MB, ” katanya.

Terdahulu, Faekah menyifatkan kenyataan Azmin, yang disiarkan oleh Sinar Harian Rabu lalu, sebagai langkah yang tidak bijak secara politik. Sekaligus ia dilihat mempersoalkan kewibawaan Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya dalam membantu kemenangan PKR.

Ketika ditanya apakah yang sedang dilakukan oleh parti untuk menyelesaikan isu itu, Faekah berkata: "Saya tidak tahu, dia (Azmin) perlu buktikan yang dia boleh bantu PKR menang pilihan raya akan datang,” katanya. 

MB Selangor - Sinar Harian Tak Putar Kalau Azmin Tak Auta

SHAH ALAM – Akhbar Sinar Harian tidak akan memutar belitkan fakta, sebaliknya menyiarkan setiap laporan berdasarkan kebenaran, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan seiring dengan motonya, Telus dan Tulus.

Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali berkata, setiap berita, rencana dan gambar yang disiarkan berdasarkan sumber sahih yang diperoleh menerusi temubual secara langsung, panggilan telefon atau peristiwa di tempat kejadian.

“Sejak awal penerbitan akhbar ini kira-kira lima tahun lalu, adalah menjadi prinsip kami untuk melaporkan apa sahaja berdasarkan kebenaran, bukan putar belit fakta untuk melariskan jualan,” tegas beliau, semalam.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya akhbar harian komuniti yang diedarkan seluruh Semenanjung itu memesongkan fakta dalam pemberitaan dengan tujuan melariskan jualan.

Sementara itu dalam kes melibatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dipetik sebuah portal berita bahawa Sinar Harian salah lapor, Abdul Jalil menjelaskan, temu bual itu dibuat di Parlimen dan disaksikan beberapa wartawan lain.

“Apa yang kami siarkan adalah temu ramah berekod oleh wartawan dan jurugambar, tidak ada sebarang putar belit atau salah lapor. Wartawan kami boleh menunjukkan bukti apa yang dikatakan oleh YB berkenaan,” katanya.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan pada muka depannya berita bertajuk, ‘MB Baru Selepas PRU13’ dengan Azmin membayangkan kemungkinan Selangor akan kehilangan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya.

Dalam laporan itu, Azmin dilaporkan sebagai berkata, kemungkinan itu berdasarkan kepada faktor keupayaan Abdul Khalid memimpin Selangor sehingga menyumbang 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, keesokan harinya dalam sebuah laman portal Pengerusi PKR Selangor itu menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut dan mendakwa kenyataannya itu disalah laporkan oleh Sinar Harian.

Abdul Jalil turut menegur sikap sesetengah pihak yang sering menuduh media memutarbelitkan fakta sekiranya kenyataan asal yang dibuat menimbulkan kesan negatif setelah disiarkan dalam media.

“Ini biasa terjadi, tetapi kami tidak berputus asa sebaliknya akan terus menegakkan profesionalisme kewartawanan dengan melaporkan kebenaran tanpa mengira laporan itu daripada pihak mana,” katanya. Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...