MB Selangor - Sinar Harian Tak Putar Kalau Azmin Tak Auta

SHAH ALAM – Akhbar Sinar Harian tidak akan memutar belitkan fakta, sebaliknya menyiarkan setiap laporan berdasarkan kebenaran, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan seiring dengan motonya, Telus dan Tulus.

Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali berkata, setiap berita, rencana dan gambar yang disiarkan berdasarkan sumber sahih yang diperoleh menerusi temubual secara langsung, panggilan telefon atau peristiwa di tempat kejadian.

“Sejak awal penerbitan akhbar ini kira-kira lima tahun lalu, adalah menjadi prinsip kami untuk melaporkan apa sahaja berdasarkan kebenaran, bukan putar belit fakta untuk melariskan jualan,” tegas beliau, semalam.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya akhbar harian komuniti yang diedarkan seluruh Semenanjung itu memesongkan fakta dalam pemberitaan dengan tujuan melariskan jualan.

Sementara itu dalam kes melibatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang dipetik sebuah portal berita bahawa Sinar Harian salah lapor, Abdul Jalil menjelaskan, temu bual itu dibuat di Parlimen dan disaksikan beberapa wartawan lain.

“Apa yang kami siarkan adalah temu ramah berekod oleh wartawan dan jurugambar, tidak ada sebarang putar belit atau salah lapor. Wartawan kami boleh menunjukkan bukti apa yang dikatakan oleh YB berkenaan,” katanya.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan pada muka depannya berita bertajuk, ‘MB Baru Selepas PRU13’ dengan Azmin membayangkan kemungkinan Selangor akan kehilangan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya.

Dalam laporan itu, Azmin dilaporkan sebagai berkata, kemungkinan itu berdasarkan kepada faktor keupayaan Abdul Khalid memimpin Selangor sehingga menyumbang 23 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, keesokan harinya dalam sebuah laman portal Pengerusi PKR Selangor itu menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut dan mendakwa kenyataannya itu disalah laporkan oleh Sinar Harian.

Abdul Jalil turut menegur sikap sesetengah pihak yang sering menuduh media memutarbelitkan fakta sekiranya kenyataan asal yang dibuat menimbulkan kesan negatif setelah disiarkan dalam media.

“Ini biasa terjadi, tetapi kami tidak berputus asa sebaliknya akan terus menegakkan profesionalisme kewartawanan dengan melaporkan kebenaran tanpa mengira laporan itu daripada pihak mana,” katanya. Sinar Harian

1 comment:

  1. Good to know that Selangor still PR. Acknowledge the next MB will be still under PR representative..

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...