Tubuh Syarikat: Perlu Kaji Akta, Ku Li Nasihat PR

GOMBAK - Undang-undang tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu mewujudkan syarikat petroleum dan gas di negeri-negeri pengeluar minyak, namun perlu mengkaji peruntukan akta sedia ada, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pemimpin veteran yang mengasaskan Petronas ini berkata, syarikat tersebut tidak boleh mengambil hasil minyak negara kepunyaan Petronas, mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan negara-negeri lain.

"Ia boleh dilakukan dan akan mendapat sambutan daripada orang ramai tetapi mungkin syarikat yang dicadang ini tidak boleh disamakan dengan Petronas.

"Di mana Petronas memiliki minyak yang diperoleh daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana milikan itu sudah berpindah kepada Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum sebelum ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Koperasi Bank Bumiputra Malaysia Berhad dan Hari Keluarga Ex-BBMB 2012, di Nur Laman Bestari Eco-Resort, Hulu Yam, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR berhasrat untuk menubuhkan syarikat minyak dan gas sekiranya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Anwar melahirkan hasrat itu setelah isu bayaran royalti di empat negeri tidak ditunaikan kerajaan Persekutuan biarpun perjanjian telah dibuat sebelum ini.

“Jika kita ambil alih Putrajaya, kerajaan-kerajaan negeri menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri supaya mereka turut terlibat dan kerajaan akan menjadi sebahagian daripada projek itu dijalankan oleh syarikat kerajaan negeri berkenaan,” katanya ketika berucap.

Apabila ditanya mengenai pendirian Pakatan Rakyat (PR) menolak penubuhan panel khas royalti, beliau yang mesra dengan panggilan Ku Li menyifatkan itu hanyalah pandangan PR.

Namun, setakat hari ini dengan cara penubuhan jawatankuasa itu perlulah dijalankan dengan baik supaya dapat memberi faedah kepada negeri-negeri berkenaan, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Malah, kata bekas Menteri Kewangan ini, selebihnya perlu digunakan oleh Kerajaan Pusat untuk memajukan negara termasuk negeri-negeri yang tidak mempunyai minyak.

Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang mengusahakan perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...