Kenyataan Nasha "'Pas Utamakan Kuasa Dari Islam" Melampau - Mahfuz

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.

"Dari dahulu kita hendakkan kuasa, dan sekarang kita hendak kuasa yang lebih meluas untuk menggantikan Umno, bagi menegakkan Islam, Umno telah gagal dalam peranannya," kata Mahfuz lagi.

Mahfuz mengulas kenyataan Nasharudin petang semalam, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Beliau yang juga ahli Majlis Syura Pas berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau tidak tahu mengapa sekarang Nasharudin bercakap begitu sekarang.

Apabila ditanya sama ada Pas akan membincangkan isu berkenaan memandangkan ada yang melihat Nasharudin telah mempertikaikan dasar parti, Mahfuz berkata: "Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini."

Bagaimanapun tegas beliau, "Pas tidak pernah mengambil pendirian meminggirkan Nasharudin."

Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.

Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharudin itu. -Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...