Bekas Naib Presiden PAS Gesa Nik Aziz Undur Haron Din Ganti

Kuala Lumpur - Cadangan supaya Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Timbalannya, Datuk Dr Haron Din mendapat sokongan seorang bekas naib presiden parti.

Datuk Nakhaie Ahmad (gambar), berkata saranan oleh Datuk Dr Hasan Ali yang juga bekas Naib Presiden parti memang bertepatan bagi memastikan keutuhan parti berkenaan.

Namun, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas Hasan yang menurutnya tidak layak mempersoalkan kedudukan Nik Aziz dan mencadangkan Haron sebagai pengganti.

Kepemimpinan PAS pun tidak berbunyi, malah selesa dengan kepemimpinan yang ada. Beliau (Hasan) boleh diibaratkan sebagai bekas menantu yang cuba menasihati bekas mentua sedangkan hakikatnya mereka tiada sebarang kaitan lagi, katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hasan, pula berkata Pemuda PAS tidak akan melayan sebarang campur tangan pihak yang tidak ada kaitan dengan PAS berhubung isu dalaman parti.

Hasan diingatkan jangan mencampuri urusan PAS, biarkan ahli dan kepemimpinan yang menentukan perkara itu, katanya ringkas.

Mengulas lanjut, Nakhaie, berkata sejak kebelakangan ini banyak kenyataan Nik Aziz bertentangan dengan prinsip parti yang memperjuangkan negara Islam sebagai teras, malah ada ketikanya terlalu memuji DAP hingga mengakibatkan PAS dilihat berpuak-puak.

Ada ketikanya pimpinan PAS lain terpaksa mempertahankan semua kenyataannya walaupun kadangkala ia memberikan impak negatif terhadap parti, katanya semalam.

Hasan dalam laporan akhbar semalam, meminta Nik Aziz menyerahkan jawatan itu kepada Haron demi menjaga keutuhan parti. Beliau dipetik sebagai berkata, sudah sampai masanya Nik Aziz menyerahkan tanggungjawab besar itu kepada Haron bagi menjamin martabat PAS sebagai penjaga perjuangan Islam.

Nakhaie berkata, Nik Aziz kini dilihat sebagai liabiliti kepada PAS, justeru Haron adalah pengganti terbaik.

Jika ketika ramai pemimpin lain mengkritik kelantangan DAP mempertikaikan pelaksanaan hukum hudud, Nik Aziz menentang arus yang secara terang menyokong DAP dan jelas tidak selari dengan perjuangan parti.

Ini banyak menimbulkan kemarahan ahli, pengikut mahupun pemimpin tetapi mereka tidak menyuarakannya disebabkan rasa hormat kepada beliau, sedangkan hakikatnya mereka tidak dapat menerima kenyataan itu, katanya.

Sementara itu, PAS menubuhkan jawatankuasa khas untuk menemui Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad pada masa terdekat bagi menjelaskan situasi terkini parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad, berkata langkah itu diambil kerana PAS berpendapat ahli seumur hidup PAS terbabit mendapat maklumat salah mengenai parti.

Jawatankuasa yang turut dianggotai wakil Lujnah Seni dan ulama ini akan cuba berjumpa dengan beliau dan beri maklumat betul berhubung parti ini kerana kami menganggap selama ini beliau banyak bergantung kepada berita dan khabar angin saja, katanya ketika dihubungi BH di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, Shahnon yang juga Sasterawan Negara, mengakui perjuangan politik PAS kini tersasar daripada asas perjuangan asal parti dan kehendak Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...