'PRU2008, Saya Dipinggirkan Sehingga Membawa Kekalahan Teruk BN' - Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoirnya, Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menceritakan bagaimana beliau dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum 2008 sehingga membawa kepada kekalahan teruk Barisan Nasional (BN).

Dr Mahathir, sejak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, telah mengetuai BN menghadapi Pilihan Raya Umum 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999. Beliau bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memanggil pilihan raya umum pertamanya pada 2004 dan disusuli dengan 2008.

“Saya tidak memainkan sebarang peranan dalam Pilihan Raya Umum 2008 kerana tiada siapa yang meminta bantuan saya. Jadi, saya hanya berkempen di kawasan (anak saya Datuk) Mukhriz.

“Di situ, saya bertemu seorang lelaki yang secara berseloroh berkata bahawa tidak wujud lagi demokrasi di dalam Umno. Saya memikirkan hujah beliau dan saya bersetuju,” tulis beliau dalam bukunya yang terbit tahun lalu.

Menurut Dr Mahathir, hakikatnya tidak ada perkara yang lebih buruk sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan kritikan pedas terhadap kepimpinan Abdullah melainkan kekalahan teruk BN pada PRU 2008.

“Apabila penerbangan saya ke Riyadh telah dipinda, saya dengan serta merta memanggil sidang media di rumah bagi menyatakan secara terbuka bahawa Tun Abdullah mesti memikul tanggungjawab di atas keputusan itu dan meletak jawatan.

“Itulah cara yang terbaik selepas mengalami kekalahan teruk,” tulis Dr Mahathir.

Pada PRU 2008, lima negeri jatuh ke tangan pembangkang termasuk Kelantan yang sudah sekian lama ditadbir Pas. BN juga dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Saya memang menjangkakan Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan jatuh ke tangan pembangkang, tetapi tidak menduga sama sekali Selangor dan Perak juga akan tumbang,” tulis beliau.

Dr Mahathir turut menyatakan kebimbangannya apabila Umno, sebuah parti yang dikatakan bersifat demokratik tidak berlaku ketika era pemerintahan Abdullah.

“Di bawah kepimpinan Tun Abdullah, Presiden Umno itu menjadikan diri beliau sebagai sebuah institusi. Cabaran terhadap beliau tidak dibenarkan dan dasar serta tindakan beliau tidak boleh dipertikaikan.

“Nampaknya, tugas setiap ahli dan perwakilan ke Perhimpunan Agung adalah untuk menyokong Presiden dan memuji apa sahaja yang beliau katakana,” tulis Dr Mahathir.

Setelah beberapa tahun negara di bawah pentadbiran Tun Abdullah, beliau kemudian memutuskan untuk bersuara apabila penggantinya itu secara mengejut membatalkan projek jambatan pada April 2006 yang menyebabkan kerajaan membazirkan wang negara sebanyak kira-kira RM800 juta atau lebih separuh daripada kos sebenar pembinaannya.

“... saya fikir, kerajaan sepatutnya meneruskan projek tanpa mempedulikan Singapura.

“Saya ada satu pilihan sahaja, iaitu berdiam diri dan mengekalkan imej negarawan yang dihormati atau bersuara semula. Saya memilih bercakap kerana saya tidak dapat menanggung beban melihat negara kita menyerah kalah kepada Singapura,” ujar beliau.

Dr Mahathir juga menceritakan bagaimana Pilihan Raya Umum 1999 yang merupakan pilihan raya terakhir beliau memimpin BN - adalah pilihan raya paling sukar buat dirinya.

Pilihan raya itu diadakan beberapa bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Ketika itu, BN tewas di Kelantan dan Terengganu manakala pembangkang mendapat lebih banyak kerusi berbanding 1995.

“Saya boleh melengahkan pilihan raya itu, tetapi saya tidak pasti sama asa keadaan akan berubah dan menyebelahi kita,” tulisnya.

Peristiwa penyingkiran Anwar bertambah tragis dengan kisah mata lebamnya sehingga menimbulkan kemarahan yang memuncak di kalangan orang Melayu.

Ironinya, dalam keadaan getir itu, Dr Mahathir memutuskan untuk membubarkan Parlimen dan pilihan raya diadakan selepas negara baru pulih dari krisis mata wang.

Ketika itulah undi Cina memainkan peranan besar dalam memenangkan BN apabila undi Melayu jatuh merudum.

“Pilihan raya Umum 1999 amat sukar. Sentimen negatif di kalangan orang Melayu amat ketara, khususnya apabila Pas cuba memburuk-burukkan saya dengan pelbagai gelaran,” tulis mantan Perdana Menteri itu.

Selepas PRU 1999, Dr Mahathir berkata, beliau sekali lagi menimbang untuk bersara namun akhirnya memutuskan untuk memulihkan kekuatan dalam parti, kestabilan politik dan sosial negara, menjana pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan kewangan kerajaan.

“Saya tidak mahu pengganti saya mewarisi masalah-masalah yang tercetus dalam perkhidmatan saya,” tulisnya.

Selama 22 tahun bergelar Perdana Menteri Malaysia keempat merupakan satu tempoh yang benar-benar berbaloi buat dirinya dalam membawa nama Malaysia ke seantero dunia.

Namun setelah meninggalkan tampuk pemerintahan, Dr Mahathir mula mempelajari suatu perkara baru dalam arena politik negara yang amat menyedihkan beliau.

“Saya mempelajari bahawa tidak ramai ahli politik boleh mengekalkan taat setia mereka kepada seseorang untuk selamanya.

“Sebaik sahaja kita hilang jawatan dan kuasa, mereka akan mengetepikan kita dan mengalih kesetiaan serta sokongan kepada sesiapa sahaja yang mengambil alih tempat kita. Malah mereka akan mengutuk kita kalau mereka fikir itu akan menyenangkan ketua baru mereka.

“Seperti kata sebuah lagu Inggeris, 'tiada siapa pun kenal anda bila anda tersungkur dan tersingkir'," tulis Dr Mahathir lagi. -Sinar Harian

1 comment:

  1. Adakah pemimpin UMNO di Cawangan dan Bahagian telah benar-benar berubah dan memastikan BN menang 2/3 pada PRU13 nanti ?

    Dengar cerita masih ada pemimpin Cawangan yg tidak mesra dgn ahli-ahli terutama yg muda dan miskin. Bantuan tak sampai kepada mereka tapi asik sampai kepada yg selalu pakai kain sutera.

    Kalau masih yg lama maka PM akan ikut jejak Tun Lah.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...