Showing posts with label william. Show all posts
Showing posts with label william. Show all posts

Lagi Skandal Gambar Bakal Permaisuri Britain, Kate Middleton

Hanya dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan penyebaran gambar separuh bogel isteri Putera William, Kate Middleton oleh majalah Perancis.

Semalam, majalah gosip Denmark, Se og Hør menyiarkan lebih banyak gambar yang memalukan bakal Permaisuri Britain berkenaan yang dirakam oleh paparazi ketika pasangan terbabit bercuti di Provence, Perancis.

Tetapi kali ini, ia lebih teruk, gambar yang disiarkan termasuk menunjukkan Kate tanpa seluar dalam.

Gambar itu disiarkan majalah terbabit selepas ia mengiklankan janji untuk menunjukkan isteri William berbogel sepenuhnya minggu lalu.

Pengarang Se og Hør, Kim Henningsen memberitahu Belfast Telegraph sebelum ini: “Ia gambar unik seorang selebriti Kelas-A. Kami adalah majalah gossip paling unggul di Denmark dan sudah menjadi tugas saya untuk menyiarkannya.

“Jika keluarga diraja Britain ingin menyaman, kami terima dan kami akan menanganinya.”

Majalah Perancis, Closer yang mula menyiarkan gambar separuh bogel Kate sudah menerima arahan mahkamah supaya tidak menyiarkannya lagi.

Malah, tiga hakim Perancis mengarahkan majalah itu menyerahkan setiap salinan digital gambar itu serta diarah membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, ramai yang menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan tidak bermakna untuk William dan Kate kerana ketika itu, lebih 500,000 naskhah majalah itu sudahpun terjual.

Tambahan pula, keputusan itu hanya membabitkan Closer.

Dalam pada itu, majalah gosip Amerika Syarikat, Gawker, semalam turut menyiarkan gambar seperti yang terkandung dalam Se og Hør. -Mynewshub.

Gambar Separuh Bogel Kate Middleton Tersebar!

Ketika rakyat Malaysia begitu teruja dan sibuk dengan kehadiran Duke and Duchess of Cambridge, Putera William dan Kate Middleton ke Malaysia, lain pula ceritanya di Eropah.

Keadaan di sana kecoh dengan berita tersebarnya gambar separuh bogel isteri Putera William ketika pasangan diraja itu bercuti di selatan Perancis awal bulan ini.

Sebuah majalah bertajuk Closer di Perancis didakwa telah menceroboh ruang privasi Putera William dan Kate ketika mereka sedang berehat di sebuah rumah di negara itu.

Seorang jurufoto majalah itu telah secara rahsia menangkap gambar Kate yang ketika itu hanya memakai ‘bra’ dan seluar dalam sahaja.

Turut didedahkan adalah sekeping gambar ketika Putera William sedang menyapu losyen di belakang badan isterinya itu.

Walaupun berada di Malaysia pada waktu ini, Putera William ternyata berang dengan tindakan paparazi di Perancis yang begitu berani memalukan dia dan isterinya.

Menurut jurucakap pegawai Istana St James, mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat majalah itu termasuk jurufoto berkenaan.

“Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi.

“Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup,” kata jurucakap Istana St James yang dipetik dari laman Gawker.com, semalam. (Mynewshub.my)

Hari ini, menurut laporan TMZ, keluarga diraja tersebut termasuk Putera William dan Kate telah bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah Closer dan juga editornya.

Pihak syarikat Closer bakal disaman oleh pasangan diraja itu.

“Tindakan prosiding mahkamah untuk menyaman telah pun dibuat di Perancis hari ini,” kata jurucakap Istana St. James.

Bagaimanapun, editor majalah Closer tetap dengan pendirian itu mengatakan pendedahan gambar itu hanyalah untuk hiburan dan bukan menjatuhkan maruah atau nama Kate.

Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas mendiang Diana mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar beberapa paparazi.

Sebelum ini, satu lagi kontroversi melibatkan keluarga diraja itu apabila gambar adik kepada Putera William, Putera Harry yang sedang berbogel dengan seorang perempuan didedahkan oleh akhbar The Sun di Britain kepada umum.

Putera Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat. – Mynewshub




Imej Bertudung Kate Ke Malaysia Imbas Memori Diana

Umum mengetahui yang ketika ini, Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan Kate Middleton sedang berada di Kuala Lumpur.

Mereka hadir ke Malaysia adalah merupakan sebahagian program jelajah pasangan diraja berkenaan sempena sambutan Jubli Intan, menandakan 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth.

Hari ini, Putera William dan Kate mencatat sejarah apabila mereka berdua melawat ke Masjid Assyakirin, Kuala Lumpur yang boleh memuatkan jemaah Islam seramai 12,000 orang.

Apa yang menarik perhatian orang ramai adalah penampilan Kate dalam lawatan mesra itu seperti mengimbas kembali memori mendiang ibu mertuanya, Puteri Diana sewaktu 20 tahun yang lalu.

Kate tampil memakai gaun berwarna kelabu cair dengan memakai selendang sewaktu masuk ke dalam masjid di bandaraya Kuala Lumpur itu.

Penampilan Kate itu ternyata sama dengan penampilan mendiang Puteri Diana sewaktu ibu mertuanya itu mengadakan lawatan ke sebuah Masjid di Egypt pada tahun 1992.


 Kate juga jelas menunjukkan rasa hormat dan sensitiviti umat Islam sama seperti yang ditunjukkan oleh mendiang Puteri Diana.
Jadi, tidak hairanlah media-media Britain seperti Dailymail.co.uk mengatakan, Kate mempunyai ciri-ciri seperti mendiang Puteri Diana terutama sewaktu mengenakan tudung di Masjid Assyakirin itu. - Mynewshub
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...