Rebut Anak - Polis Tidak Berganjak @KBAB51 Tetap Konsisten, Tidak Akur Dengan Peringatan @Khairykj

Polis tetap dengan pendiriannya tidak akan menguatkuasakan perintah mahkamah syariah dan sivil berhubung dua kes perebutan anak di Perak dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata faktanya masih jelas bahawa wujud perbezaan dalam perintah mahkamah ini.

"Tapi saya rasa orang ramai masih lagi tidak faham apa yang dimaksudkan konflik ini dan ada pula portal berita online ini yang melaporkan sebelah pihak sahaja menyebabkan timbul kekeliruan. Kedua-dua kes di Perak dan Negeri Sembilan mempunyai fakta yang sama. Kita mula dapat perintah mahkamah syariah yang mengarahkan polis memberi perlindungan kepada anak-anak ini yang diletakkan di bawah jagaan bapa.

"Kemudian kita dapat pula perintah mahkamah sivil untuk kita mengemukakan anak-anak ini dan menyerahkannya kepada ibunya. Jadi, nampak atau tidak konflik yang berlaku dalam kedua-dua perintah mahkamah ini yang menyebabkan polis dalam dilema, yang mana satu kita hendak kuat kuasakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi PDRM 2014 di sini, hari ini.

Katanya dalam perlembagaan, kedua-dua mahkamah ini bertaraf sama dan artikel 121(a) jelas menunjukkan bahawa mahkamah syariah tarafnya sama dengan mahkamah sivil.

Khalid berkata, oleh kerana perbezaan dalam kedua-dua perintah mahkamah ini maka polis berpendirian untuk berada di tengah-tengah.

"Jadi, kita tidak akan menguatkuasakan mana-mana perintah mahkamah. Itu jelas pendirian kita. Apa yang berlaku di Perak yang dijelaskan oleh Ketua Polis negeri itu bahawa pihaknya memantau kedudukan anak itu dan juga bapanya kerana perkara di sini adalah anak-anak ini. Jadi, kedua-dua perintah mahkamah ini jelas memberi kepentingan kepada anak-anak.

"Jadi, walaupun pendirian polis untuk tidak menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini tetapi kita akan memantau kedudukan anak ini dan bapanya.

Kita juga ingin memastikan bahawa anak-anak ini dalam keadaan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata pihak peguam negara sedang meneliti kedua-dua kes ini untuk mencari satu jalan penyelesaian.

"Sehingga jalan penyelesaian ini dicapai, sekali lagi saya nyatakan bahawa pendirian polis ialah kita tidak akan menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah ini. Jadi, saya minta portal berita online ini melaporkan dengan jelas kedudukan kedua-dua perintah mahkamah ini dan bagaimana kedudukan polis tersepit.

"Macam mana kita hendak melaksanakan perintah mahkamah syariah yang hendakkan macam ini, manakala perintah mahkamah sivil yang hendakkan begini?

Macam mana kita (polis) nak laksanakan?," katanya.

Ditanya sama ada tindakan polis dalam perkara boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah, beliau berkata itu terpulang kepada mahkamah tetapi mahkamah juga perlu melihat kedudukan polis dalam keadaan kedua-dua arahan yang berbeza ini.

Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S. Deepa yang beragama Hindu.

Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K. Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan. 

Syabas buat Ketua Polis Negara yang terus bersikap konsisten dan tidak sekali-kali mudah ditundukkan atau dipengaruhi oleh mana-mana individu mahupun Menteri segala kementerian.
Berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara itu, maka kekeliruan terhadap laporan portal Malaysiakini sebelum ini yang mendakwa Ketua Polis Negara mengarahkan polis menjejak dan menahan mualaf terbabit adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya pihak polis  hanya akan memantau kedudukan anak ini dan bapanya bagi memastikan bahawa anak-anak ini dalam keadaan selamat.

Dalam konflik ini masyarakat perlu memahami kedudukan pihak polis dan tidak mudah menyalahkan pihak polis kerana dikatakan tidak menguatkuasakan kedua-dua perintah mahkamah berkaitan. Selain masyarakat awam, pemimpin Melayu berstatus Menteri segala kementerian juga perlu lebih memahami situasi ini dan usahlah meraih publisiti dengan mengajar pihak berkuasa dalam  menjunjung kedaulatan undang-undang negara.

Tidak timbul soal menghina keputusan mahkamah, malah mahkamah sivil yang sebenarnya menghina keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah. Institusi mahkamah sendiri yang dilihat bermasalah dan gagal untuk mengadili kes-kes seumpama sehingga menimbulkan banyak kecelaruan dan salah faham dikalangan masyarakat.

Sepatutnya mahkamah perlu lebih telus dan adil dalam keputusan yang dibuat, mana boleh satu kes dibicarakan di dua mahkamah dengan dua keputusan yang berbeza, mahkamah syariah membuat keputusan berdasarkan kepada apa ? Mahkamah civil pula buat keputusan berdasarkan kepada apa ?

Kalau keputusan dibuat disandarkan kepada keadilan bagi kedua-dua pihak sudah pasti keputusan  dari dua mahkamah berkenaan akan tetap sama.

Ekoran perbezaan keputusan mahkamah, akhirnya pihak polis pula yang tersepit menanggung beban cemuhan, sudahlah begitu, bertambah kusut apabila pihak polis juga turut diberi peringatan oleh Menteri yang langsung tidak faham lagi berkaitan.

Memberikan hak penjagaan kesemua anak kepada bekas suami atau isteri adalah tidak adil, sebaliknya kedua-dua mereka perlu mendapat hak mereka kerana kedua-duanya adalah berhak. Anda Mampu Mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...