MENORA, WAYANG KULIT DAN MAKYONG SUDAH LAMA DILARANG - NIK AZIZ

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi peringatannya kepada umat Islam supaya meninggalkan atau mengubah pendekatan hiburan dan pementasan tradisional yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan sudah lama melarang wayang kulit, makyong dan menora walaupun pementasan tersebut digemari dan menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun jelas beliau, hiburan-hiburan yang berunsur negatif itu boleh dibenarkan sekiranya unsur positif yang boleh menambah ilmu orang ramai diterap ke dalamnya.

“Makyong dan menora ni boleh baiki ke? Kalau boleh kita nak tengok dulu adakah ia benar-benar tidak bercanggah dengan Islam seperti mengehadkan percampuran lelaki dan perempuan.

“Sebagai contoh, wayang kulit kita benarkan selepas ia diubah dengan membawa cerita realiti dan menambah ilmu, tidak lagi membawa kisah-kisah dongeng yang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Kerajaan Pas Kelantan mengambil keputusan mengharamkan beberapa pementasan dan hiburan tradisional yang dilihat bercanggah dengan Islam sejurus mentadbir negeri ini pada 1990.

Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, seni hiburan dan pementasan yang aspek negatifnya sukar dibaiki lebih baik diharamkan kerana ia memberi kesan buruk kepada pemikiran dan akidah umat Islam.

“Jika ada kelemahan dari semua sudut, ada baiknya kita buang sahaja. Kita nak buat apa dengan benda tu?” katanya.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...