Hasan Ali Dan Pimpinan JATI Memutuskan 'Wajib Setiap Umat Islam Mengundi BN'

JATI amat menyedari bahawa PRU ke 13 adalah ibu segala pilihanraya. PRU 13 akan menjadi penentu kepada nasib dan jatuh bangunnya agama Islam, bangsa Melayu, Institusi Raja dan secara keseluruhannya keharmonian hidup bermasyarakat dalam Negara kita. Kesilapan rakyat membuat pilihan akan mengakibatkan bencana dan malapetaka yang sukar diperbaiki lagi.

Perlu disebutkan di sini JATI sering dihujani dengan persoalan berkaitan dengan sikap dan tindakan yang mesti di ambil oleh ahli-ahli JATI dan anggota masyarakat luas yang keliru yang sehingga ini tidak mendapat panduan yang sepatutnya untuk membuat pilihan yang tepat dalam pilihanraya kali ini.

Menjelang hari mengundi 5hb Mei 2013, JATI atas sifatnya sebagai sebuah NGO yang cuba memandu umat menjalani kehidupan yang sentiasa mendapat keredhaan Allah telah mengambil beberapa langkah untuk menimba pendapat dan pandangan beberapa individu yang ahli dan pakar dalam bidang agama khususnya dalam ilmu Usul Fiqh. Sebelum itu beberapa siri perbincangan dan munaqashah telah diadakan bukan sahaja di kalangan Majlis Syura JATI tetapi juga melibatkan beberapa orang pakar rujuk termasuk para mufti, para alim ulama yang diundang secara individu atau secara kolektif untuk berbincang dengan pihak JATI. Maudhu perbincangan ditumpukan kepada parti manakah yang semestinya dipilih oleh para pengundi Melayu Islam terutamanya dalam PRU ke 13 ini.

Seperti yang disebutkan selain daripada pandangan dan pendapat yang diambil daripada ilmuan dan agamawan, JATI sentiasa melihat kepentingan Islam, Melayu dan Institusi Raja mengatasi segala-galanya. Dalam konteks keberlangsungan Negara, ketiga-tiga landasan perjuangan JATI merupakan unsur-unsur kenegaraan yang mesti dikehadapankan demi melihat generasi Melayu Muslim akan datang hidup sebagai insan bermaruah bersendikan Islam sebagai satu cara hidup yang komprehensif.

JATI mengambil makluman dan ingatan bahawa keputusan yang dibuat mesti berlandaskan antaranya kepada kaedah Usul Fiqh yang telah diguna pakai zaman berzaman.

Di antara kaedah tersebut ialah :

1. الغَايَةُ لاَ تُبَرِّرُ الوَسِيْلَةُ
Sesuatu matlamat tidak menghalalkan sesuatu cara
(Untuk mencapai mana-mana matlamat, Islam tidak mengizinkan sebarang cara kerana cara juga mesti sesuatu yang dalam lingkungan Syara'. Justeru, usaha pembangkang untuk memperolehi kejayaan walaupun dengan mengkufur nama Allah, membawa pada perpecahan umat, mengabdikan diri pada pendirian pihak yang menentang kewujudan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud, serta merestui ideologi pluralisme, liberalisme, sekularisme dan LGBT jelas menunjukkan bahawa pembangkang sanggup mengorbankan prinsip dan nilai Islam demi mencapai matlamat politik mereka.)

2. دَرْءُ المَفَاسِدَ أَوِلى مِنْ جَلِبِ المَصَالِحِ
Menolak sesuatu keburukan lebih baik dari mengambil sesuatu kebaikan
(Jika dengan menerima sesuatu itu membawa kebaikan yang dijanji dan juga keburukan yang diketahui boleh berlaku, maka mesti ditolak perkara itu. Pembangkang membuat pelbagai janji tetapi pakatan mereka yang rapuh dan yang juga menyetujui pendirian2 yang bercanggah dengan Islam menuntut kita supaya menolak pembangkang kerana wujudnya risiko yang nyata bahawa menerima mereka juga bermaksud menerima berlakunya perkara2 yang tidak diingini segi Islam.)

3. يَرْتَكِبُ أَخَفَّ الضَرَرَيْنَ لِدَفْعِ أَعْظَمَهُمَا
Memilih/melaksanakan keburukan yang lebih kecil dari 2 keburukan bagi tujuan menolak keburukan yang lebih besar dari keduanya
(Dalam berhadapan dengan dua pilihan di mana kelemahan wujud dalam kedua2nya, maka kita mesti pilih pilihan yang kurang mudaratnya. Walaupun dalam BN masih wujud ruang untuk memperkasakan pelaksanaan Syariah dan akhlak yang lebih mulia, tetapi ancaman pada bab akidah Islam tidak ada. Ini berbeza dengan pembangkang yang menyokong pluralisme, liberalisme, sekularisme, LGBT dan aliran pemikiran yang terkeluar dari landasan Islam yang tepat, di mana ini semua mengancam kekuatan akidah umat Islam.)

4. مَا لاَ يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبُ
Perkara yang tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib
(Untuk menyelamatkan Islam, umatnya serta martabat Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka perlu dijayakan pihak BN yang jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam. Ini berbanding dengan ketiadaan pemimpin berwibawa dalam parti pembangkang bersamaan dengan pendirian mereka yang jelas tidak meletakkan Islam sebagai berstatus Agama Negara.)

Setelah dibuat rujukan, penelitian dan beberapa sumbangsaran seperti di atas, JATI mengambil pendirian bahawa selari dengan gagasan perjuangan JATI iaitu mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja, maka dengan melihat kepada realiti semasa dan keperluan membuat pilihan yang tepat dalam PRU ke 13 ini maka JATI memutuskan bahawa menjadi kewajipan kepada para pengundi Melayu Muslim untuk memilih dan mengundi Barisan Nasional di dalam PRU ke 13 ini.

Dengan penuh keinsafan dan rendah diri JATI sukacita merakamkan bahawa pertubuhan ini tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan pun kepada Pakatan Rakyat dan ketiga-tiga parti komponennya untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja. Hal ini jelas terbukti dalam isu-isu berkaitan dengan Kalimah Allah yang hendak disyirikkan, Negara Islam dan Hudud yang telah digugurkan, negara sekular yang akan dibentuk, fahaman liberalisme barat yang akan dijadikan asas bernegara, fahaman pluralisme yang akan dijadikan asas beragama, menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan sebagainya.

Dalam kesempatan ini JATI memohon kepada para pengundi khasnya memberi perhatian kepada beberapa persoalan :

a. Adakah kita boleh meletakkan tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk negara sekular?

b. Adakah kita dapat mengharapkan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun yang lalu oleh PAS akan terus disambung oleh pimpinan yang ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?

c. Adakah kita yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan negara ini dinakhodakan oleh pemimpin komponen parti Pakatan Rakyat yang sedang bergelut dengan permasalahan moral yang berterusan dan serius?

Inilah di antara persoalan yang sentiasa bermain di kepala dan di benak pemimpin-pemimpin JATI yang perlu dirungkaikan. Diharap dalam PRU ke 13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam khasnya dapat membantu merungkaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak Pakatan Rakyat.

Dengan meletakkan masa depan umat sebagai penunjuk arah kepada perjuangan JATI dan melihat parahnya keruntuhan ilmu dan amalan Islami di kalangan anggota masyarakat serta bahayanya gagasan dan agenda yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat, maka JATI sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sememangnya bertapak dan berjuang menegakkan Islam telah membuat keputusan bahawa seluruh pengundi Melayu Islam atas sebab-sebab yang telah diberikan WAJIB memberi undi mereka kepada UMNO/Barisan Nasional.

JATI sedar keputusan yang diambil ini mungkin akan dicabar oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi atas nama prinsip dan atas nama satu perjuangan dan juga atas nama Jihad, JATI bersedia menghadapi tentangan dan halangan yang mungkin akan ditujukan kepada JATI. JATI juga bersedia untuk berdialog atau berwacana dengan sesiapa sahaja demi memperjelaskan sesuatu yang Haq.

InsyaAllah dengan barisan pimpinan JATI yang ada disokong oleh ahli-ahli dan mereka yang bersimpati dengan perjuangannya, JATI akan melancarkan siri jelajah ke seluruh negara bagi menyuntik keyakinan di kalangan pengundi-pengundi Melayu Islam khasnya bahawa pilihan yang dirumuskan oleh JATI adalah pilihan yang paling tepat untuk Islam, Melayu dan Institusi Raja.

Akhirnya pimpinan JATI mengharapkan setelah semua pihak mengambil tanggungjawab masing-masing dan berusaha sedaya upaya melaksanakannya, marilah kita sama-sama mengadap Allah SWT sujud bermunajat memohon agar negara ini terus terselamat dari angkara pihak-pihak yang cuba menghancurkannya dengan mewajibkan diri memberi undi kepada UMNO/Barisan Nasional dan menolak secara total Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 ini.

PERTUBUHAN JATI MALAYSIA

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden

DATO AIDIT GHAZALI
Timbalan Presiden

PROF DATO DR SIDEK BABA
Naib Presiden

11 APRIL 2013

2 comments:

  1. Lebih sesuai sbg syor dan nasihat dr disebut fatwa. Fatwa seharusnya dimuzakarahkan dan diputuskan oleh Majlis Fatwa sahaja krn mrklah yg berauthority, dan bukan badan badan lain, jika pun nak difatwakan.
    Namun begitu, setiap perbuatan kita termasuk undi akan dipertanggungjawabkan di Akhirat nanti.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...