Kalau Husam Benar Kenapa Takut ? Kickdefella Sedia Menanti !

KOTA BHARU - Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz menggesa Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berhenti main politik ‘kura-kura’ berhubung isu Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT).

Dakwanya, Husam dilihat cuba ‘menyembunyikan diri’ daripada berhadapan masalah itu kerana tidak berjaya menjawab 10 soalan yang dimuatkan menerusi blognya mengenai skandal mata wang dinar dan dirham KGT.

Syed Azidi yang juga dikenali sebagai Kickdefella berkata, sebagai pengundi di negeri ini, dia mengharapkan Husam perlu lebih bersikap tanggungjawab terhadap sebarang persoalan yang ditimbulkan rakyat.

“Beliau (Husam) seharusnya berhenti bermain politik ‘kura-kura’ ini dan perlu berhadapan dengan masalah dengan menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan oleh rakyat,” katanya kepada pemberita, semalam.

Turut hadir pada sidang media itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar), Kamaruddin Mohd Kassim.

Malah, Syed Azidi berkata, soalan-soalan yang dibangkitkan tentang skandal mata wang syariah tersebut adalah sah berdasarkan maklumat dan bukti dimiliki pihaknya.

Syed Azidi yang juga bekas pegawai kanan Husam itu meluahkan rasa kebimbangan terhadap modus operandi Husam yang berkemungkinan menyalahgunakan KGT untuk memperoleh wang bagi membiayai aktiviti lain.

“Saya tahu modus operandi Husam sebab saya pernah berkhidmat dengan beliau. Di sini saya risau bahawa KGT dengan aktiviti dinar emas ini salah satu modus operandi beliau mendapatkan duit membiayai aktiviti-aktiviti lain,” dakwanya.

Syed Azidi turut menggesa Husam yang juga Ahli Lembaga Pengarah KGT membatalkan hasrat menyaman sebuah akhbar tempatan termasuk bekas Pengarah Eksekutif syarikat terbabit, Nik Mahani Mohamad.

Katanya, tindakan menyaman itu disifatkan sebagai menyekat hak rakyat bersuara untuk mendapatkan kebenaran berhubung status penyelewengan yang dalam KGT.

“Adakah ini polisi kerajaan Pas Kelantan dan Pakatan Rakyat (PR) yang menyekat rakyat daripada bersuara dan menyekat peranan media melaporkan perkara yang betul?” katanya.

Sehubungan itu, Syed Azidi mempertikaikan sumber yang membiayai kes saman Husam.

“Siapa yang membiayainya? Tidak mudah dan murah untuk menyaman orang sebab banyak prosedur termasuk memerlukan kewangan yang banyak dan dari mana Husam dapat duit sebenarnya?” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...