MACHANG - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM6 juta setahun bagi membantu seramai 2,388 rakyat miskin di daerah ini, namun ia masih tidak mencukupi berikutan banyak permohonan baru diterima.
Pengerusi Majlis Ke-bajikan dan Pembangunan Kawasan (Mayang) Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub berkata, permohonan baru diuruskan segera, tetapi perlu menunggu kelulusan kewangan daripada kerajaan memandangkan jumlahnya terhad.
Katanya, Mayang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi membantu rakyat memerlukan dan berharap pemohon bersabar dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Kami memahami kesusahan mereka memerlukan dan berusaha membantu mereka. Saya ingin mengingatkan penerima menggunakan ban-tuan sebaik mungkin, utamakan kegunaan keluarga dan anak-anak yang masih belajar.
“Hanya ilmu dapat mengubah taraf hidup mereka. Pastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna,’’ katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan bulanan persekutuan Jabatan Ke-bajikan Masyarakat (JKM) di sini, kelmarin.
Majlis melibatkan seramai 587 penerima dari Dun Kemuning. Hadir sama, Pengerusi Program Nada Nadi Komuniti (Nadi) Dun Kemuning, Eriandi Datuk Ismail dan Pentadbir Mukim Kemuning, Mohd Zain Che Haron.
Sementara itu Pegawai JKM Machang, Tuan Noor Rosniza Tuan Puteh Ahmad berkata, warga emas paling ramai menerima bantuan iaitu seramai 871 orang dan kanak-kanak, 775 orang.
Katanya, pemberian bulanan bersifat sementara bagi tujuan pemulihan sebelum penerima hidup berdikari dan diluluskan untuk tempoh setahun sebelum dikaji semula untuk tahun berikutnya.
Menurutnya, kedudukan kewangan dan maklumat terbaru yang diperolehi akan diambil kira bagi menentukan sama ada kes layak diteruskan atau ditamatkan bantuan.
“JKM juga mengalu-alukan kerjasama Mayang dengan menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti berkaitan kebajikan dan pembangunan masyarakat serta menangani pelbagai isu di peringkat akar umbi.
“Ia diharap mampu mengeratkan hubungan antara penerima, JKM, Mayang dan Nadi" katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.