Showing posts with label penyelaras dun. Show all posts
Showing posts with label penyelaras dun. Show all posts

Posmotem Khas PRU13 Parlimen Kota Bharu Penyelaras DUN Mengalahkan Menteri

Biarpun PRU13 sudah dua bulan berlalu, kami selaku pengundi di Parlimen Kota Bharu belum lagi berkesempatan untuk menyuarakan pandangan berhubung punca kekalahan BN di parlimen berkenaan disamping tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai masa depan dan hala tuju Umno bahagian Kota Bharu selepas keputusan PRU 13 diumumkan.

Pada PRU13 lalu BN sekali lagi tewas di Parlimen Kota Bharu termasuk kesemua DUN didalamnya,  kekalahan dengan majoriti yang terlalu besar dan tidak patut itu menimbulkan 1001 persoalan, mujurlah calon di parlimen berkenaan seorang yang beriman, jika tidak mungkin keputusan untuk membunuh diri sudah diambil oleh beliau akibat kecewa dengan kekalahan yang sungguh memalukan itu.

Dimana ada gula disitulah adanya semut
Sedangkan gerak kerja yang dilakukan tidak mewajarkan ia tewas dengan majoriti sedemikian rupa, tambahan pula Ketua Bahagian yang juga calon BN pada PRU13 yang lalu merupakan Setpol kepada YAB Perdana Menteri, namun kelebihan itu gagal dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, malah beliau dilihat hanyut dilambung terlalu tinggi oleh 'semut-semut' yang mengelilinginya. Masalah semut-semut ni memang tak boleh dielakkan, dimana ada gula disitulah adanya semut. Yang menjadi masalah pada pandangan kami sebagai pengundi bukan sebagai penganalis politik adalah mengenai sikap mereka yang diberi tanggungjawab tapi kurang bertanggungjawab, antaranya seperti Penyelaras DUN. Kami tidak bermaksud untuk mengaibkan sesiapa, namun jika tidak diperkatakan, kami juga tidak sanggup lagi melihat BN menjadi sebuah parti belasahan Pas di parlimen ini. Apapun kami amat menghormati keperibadian Datuk Fatmi Che Salleh selaku Ketua Umno Bahagian KB, beliau sendiri tidak punyai apa-apa masalah, sikapnya yang baik 'mudoh baso sene kiro' itu adakalanya buatkan kami segan, namun ianya sampai bila harus kami diamkan ? mahu tidak mahu, jika Datuk Fatmi masih tidak berputus asa serta berhasrat untuk meneruskan perjuangannya, beliau perlu ada keberanian pada diri sendiri dan tidak bergantung harap kepada mana-mana pihak yang sering kita lihat dimana beliau lebih banyak dipimpin daripada memimpin.

Penyelaras DUN mengalahkan Menteri
Pergerakkan beliau terlalu eksklusif dengan dikerumuni oleh gerombolan sehingga rakyat melihat beliau seorang yang sukar untuk didekati, situasi itu agak kurang sesuai dengan sebahagian rakyat disini, tambahan pula Penyelaras DUN yang dilantik juga 'eksekutif'nya terlebih dan mengalahkan Menteri, bayangkanlah untuk dapatkan satu-satu respon pun kita terpaksa SMS berkali-kali, sudahlah begitu, respon yang diberikan pula tidak mendekatkan rakyat kepada BN, bukan juga setakat menjauhi malah lebih kepada membenci. Hal ini sama sekali tidak boleh dibiarkan, Datuk Fatmi sebagai seorang pemimpin perlu beri perhatian serius dan tegas dalam membuat keputusan agar masalah ini tidak terus menjadi liabiliti kepada kemenangan beliau dan BN, jangan kerana tindakkannya melantik kroni itu membuatkan hilangnya penghormatan rakyat kepada beliau.

Perlukah Penyelaras DUN yang berfungsi untuk anak beranak ?
Penyelaras DUN adalah jawatan yang dilantik bagi menjalankan kerja-kerja mirip seorang wakil rakyat bagi DUN yang BN tewas, sejauhmanakah Penyelaras DUN yang dilantik itu berfungsi dalam menjalankan tanggungjawabnya ? Berbaloikah dengan elaun yang dibayar dan projek yang diberikan kepada Penyelaras DUN ini dengan sumbangannya untuk kemenangan parti ? Atau wujudnya penyelaras DUN ini hanyalah semata-mata untuk mencari kepentingan peribadi seterusnya menambahkan benci rakyat kepada parti ? Penyelaras DUN perlu sedar dan tidak usahlah bersifat angkuh serta pentingkan diri sendiri, setakat undi anak beranak mustahil boleh memenangkan BN, takkan hanya nak berkhidmat kepada anak beranak sahaja ? Ini tidak betul, tapi demi untuk menjaga 'mood' bahawa BN akan menang pada PRU13 yang lalu, hal ini tidak dibangkitkan dahulu, natijahnya BN tewas dengan majoriti yang besar, dan dengan itu juga terbukti biarpun tidak dikritik BN tetap tewas, kerana pada hakikat yang nyata rakyat  lebih merasainya.
Datuk Fatmi Che Salleh
Sedarkah Ketua Bahagian akan  Penyelaras DUN Yang dilantik tidak berwibawa ?
Oleh yang demikian, jika Penyelaras DUN ini wujud dikalangan mereka yang pentingkan diri sendiri serta kroni, sampai kiamat pun BN tak mampu untuk menang, apabila tak mampu untuk menang wajarkah khidmat Penyelaras DUN seperti ini terus dibiayai rakyat dan dilantik oleh Ketua Bahagian?, atau mungkinkah Ketua Bahagian pun dua kali lima sahaja jika pengalaman tewas pada PRU 12 dan PRU 13 langsung tidak dijadikan sebagai iktibar seterusnya menghadapi PRU14 dengan situasi yang sama ? Mohon Ketua Bahagian tidak was-waskan prasangka kami terhadap beliau. Apa yang rakyat inginkan daripada seorang pemimpin adalah khidmat, jasa serta baktinya, jika tidak boleh ditumpang pada hartanya, boleh ditumpang pada ilmunya, jika keduanya tidak boleh ditumpang, apa yang boleh rakyat harapkan daripada seorang pemimpin untuk rakyat menyokongnya ? Apa jasa seorang Penyelaras DUN kepada parti dan juga kepada rakyat ? Apakah menyampaikan wang BR1M itu mahu dianggap jasa Penyelaras DUN kepada rakyat ?

Untuk makluman Penyelaras DUN, terlantiknya anda sebagai Penyelaras DUN yang tidak bertanggungjawab, pemalas dan hanya berkhidmat untuk suku sakat, adalah sama sekali tidak layak dan perlu malu dengan elaun anda yang dibayar dengan wang rakyat, Ketua Bahagian jika masih melantik seorang Penyelaras DUN yang sedemikian juga kewibawaannya diragui dan wajar dipertikai untuk sepanjang masa. Sepatutnya, dalam masa yang cukup getir bagi sebuah parti yang menghadapi cabaran pembangkang yang kritikal, Penyelaras DUN tidak harus menyibukkan diri dengan urusan peribadi, sebaliknya berfikir dan berusaha untuk memperlihatkan kepada rakyat dimana parti UMNO sebagai parti yang benar-benar berjasa kepada rakyat, tidak cukup dengan BR1M, alternatif untuk membantu rakyat hasil daya fikir Penyelaras DUN yang dibayar elaun sebanyak RM3800 sebulan itu juga perlu dtampilkan. Kalau benar hendak menangkan BN, otak Penyelaras DUN perlu berfungsi kearah rakyat bukan kearah poket sendiri, sebagai contoh jka meletakkan perjuangan memenangkan parti nombor satu peribadi nombor dua, kesungguhan itu hendaklah menampakkan satu hasil yag boleh dikenangkan oleh rakyat.

Penubuhan Syarikat ABC - Asal Bukan Contractor Enterprise
Secara ringkas, diatas kapasiti kuasa yang ada, demi kemenangan parti, Penyelaras DUN yang ikhlas  boleh mewujudkan satu perniagaan rakyat dan keuntungannya 100 peratus diberikan kepada  rakyat, misalnya mewujudkan sebuah syarikat perniagaan ABC - Asal Bukan Contractor Enterprise yang menjalankan perniagaan kerja-kerja kimpalan besi contohnya.

Kerja kimpalan besi bagi projek-projek kerajaan, parti dan awam, dengan mengsasarkan untung bersih sebanyak RM100,000 sebulan, operasi syarikat berjalan seperti biasa dengan menggajikan penduduk tempatan sebagai pengurus, kerani, tukang dan pekerja am , Penyelaras DUN hanya perlu menjadi pemantau sahaja, oleh kerana keuntungan ini 100 peratus akan disumbangkan kepada rakyat yang memerlukan, disamping projek kerajaan, tidak sukar untuk ia dapatkan projek dari orang awam.

Dengan mengsasarkan dan mengehadkan keuntungan bersih sebanyak RM100,000 sebulan, ia juga tidaklah menjejaskan mana-mana perniagaan kimpalan besi yang lain yang berada dalam DUN berkenaan. Faedahnya, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, hasil keuntungan RM100,000 sebulan itu juga boleh digunakan untuk aktiviti rakyat dan membantu rakyat.

Keuntungan RM100,000 sebulan itu selain membantu rakyat miskin ia juga boleh digunakan untuk mendekatkan hati rakyat yang tidak miskin, sebagai contoh, memberi sumbangan, hadiah seperti basikal atau bawa melancong bagi pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun, akhir tahun, UPSR, PMR dan SPM dengan mendapat 5A, 8A dan 10A, ibu bapa mana yang tidak suka jika semangat kecemerlangan anak mereka itu dbakar serta dihargai.

Bahkan sumbangan itu lebih dihargai kerana mereka tahu ia datangnya daripada pengorbanan ikhlas seorang pemimpin bukannya wang kerajaan atau wang cukai yang dikutip dari rakyat. itu. Jika dengan usaha sebegitu besar untuk parti dan rakyat telah dilakukan, namun rakyat tetap juga tidak menyokong, barulah puas hati, dan gugurnya pemimpin itu sebagai seorang pejuang dan pemimpin yang bermaruah, bagaimanapun kita tidak fikir rakyat tidak akan menyokong dengan usaha murni sebegitu.
Calon BN bagi DUN Tanjung Mas, Kota Lama dan Bunut Payung, sapu bersih, licin 'mone'....
Transformasikan Penyelaras DUN, buktikan Transformasi itu bukan sekadar retorik
Apakah sukar untuk seorang Penyelaras DUN yang mengatakan ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara melakukan pengorbanan sebegitu ? Atau apakah Penyelaras DUN merasakan aktiviti bermain bowling bersama anak beranak itu yang boleh memenangkan BN ? Maka sudah sampai masanya untuk pemimpin Umno bahagian KB ini melakukan transformasi dengan mengenalpasti setiap kelemahan untuk diambil tindakan dalam sama-sama kita memastikan kemenangan BN di parlimen KB pada PRU14 nanti adalah satu kemenangan yang bersifat realiti bukannya kemenangan yang  yang hanya dicanang oleh 'semut' ataupun 'langau' semata-mata. Justeru, kami ingin meminta tolong dan mengharapkan agar Ketua Bahagian supaya lebih ikhlas dalam perjuangannya, kerana kami yakin dan percaya beliau mampu lakukan, sungguh besar harapan kami agar selepas ini Ketua Bahagian melakukan transformasi dengan melantik Penyelaras DUN yang berwibawa dan pentingkan perjuangan parti bukanya perjuangan peribadi, dari situ jugalah penanda aras bagi kami akan kesungguhan Ketua Bahagian untuk menangkan BN di Parlimen Kota Bharu ini. Jika sebaliknya, usahlah beretorik lagi, kerana ternyata perjuangan yang dibawa tidak ikhlas dan tidak berniat untuk menang. Kerana semua orang tahu Datuk Zaid Ibrahim yang pernah menang di parlimen KB itu bukannya malaikat, ia manusia seperti Datuk Fatmi Che Salleh, bezanya mungkin cara dan pendekatan sahaja, malah dari segi moral Datuk Fatmi dilihat lebih bersih tanpa pernah terpalit dengan apa jua skandal, tapi jentera yang lemah dan Penyelaras DUN yang terang-terang pentingkan diri sendiri itulah antara punca kekalahan dua penggal berturut-turut dengan majoriti yang sangat besar. Anda Mampu Mengubahnya. - Bersambung

Biarpun janji untuk membina rumah rakyat, tapi rakyat tetap tidak terpesona, kerana apa ? Kerana rakyat beranggapan kalaupun dibina rumah rakyat mereka belum tentu boleh mendapatkannya, kroni dan anak beranak Penyelaras DUN nak campak kemana?, biarpun tak sokong BN, tapi asal saja anak beranak mereka tetap didahulukan, daripada sakit hati, lebih baik menggigit jari. Buktinya bantuan JPP.

Ketua UMNO Bahagian Yang Gagal (PRU13) Di Kelantan Di Desak Berundur Secara Terhormat !

Apa pendapat anda tentang kenyataan yang terdampar pada kain rentang diatas ? Adakah anda bersetuju dengan pendapat berkenaan ? Anda sememangnya punyai hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju bergantung kepada apa yang berlaku disekeliling anda.

Namun mungkin pendapat berkenaan sangat sesuai untuk sesetengah bahagian tapi mungkin juga kurang sesuai kepada bahagian-bahagian yang lain, ini kerana, bahagian-bahagian yang gagal untuk menyumbangkan meskipun hanya satu kerusi pada PRU13 yang lalu tidak boleh diletakkan 100peratus kesalahan tersebut kepada ketua bahagian semata-mata, malah, ahli dan jentera juga turut bertanggungjawab dengan kegagalan itu.

Kita tidak nampak sebahagian pelapis yang ada hari ini lebih baik dari yang sediaada, jika pelapis yang ingin menggantikan itu ada yang lebih baik, teruskan, dan kiranya tidak mahu undur secara hormat, buat kiralah lagu-lagumanapun untuk mengundurkan secara tidak hormat.

Bagi kawasan saya, yang sediaada sudah baik, kita tidak tergamak untuk menentang orang yang baik dan sudah melakukan yang terbaik, cuma penambahbaikkan saja yang kita fikir perlu dilakukan, penambahbaikkan itu ianya hendaklah ada sifat 'berani', dengan sifat itu sahajalah yang boleh menjaminkan kemenangan dalam PRU14 nanti.

Maksud kepada berani itu adalah berani membuat keputusan, mengenalpasti masalah yang menjadi punca kepada kegagalan dan membuat keputusan dengan menghakiminya secara jantan,  tidak kiralah ia melibatkan anak beranak ataupun orang luar, kalau tetap penakut, maka bolehlah untuk berundur secara terhormat, kerana sifat kepimpinan itu tidak ada, dengan tidak adanya sifat kepimpinan itu ia membawa kemudaratan kepada yang ramai ataupun parti, oleh demikian WAJIB untuk ia berundur.

Hakikat yang sebenarnya perlu berundur secara terhormat adalah Penyelaras DUN yang bersikap 'koya' lebih pada Menteri, yang tidak 'koya' tu janganlah terasa, kerana kita bagitahu ni yang 'koya' sahaja. Kerana Penyelaras DUN ni sepatutnya menjadi orang penting untuk menarik minat rakyat menyokong BN bukannya menambahkan kebencian rakyat kepada BN.

Untuk menarik minat rakyat, adakah cara 'koya' 'tukat' langit seperti pemilik syarikat Berhad relevan untuk digunakan ? Pemilik syarikat dia nak angkuh pun tak apa, sebab itu syarikat dia yang buat, bukan dia dibayar gaji dengan duit rakyat,  pemimpin-pemimpun perlu sedar dan bezakan perkara ini, jangan sampai timbul dihati rakyat dengan kebencian sehingga sanggup untuk melakukan revolusi menggulingkan kerajaan semata-mata ingin melihat pemimpin angkuh itu disiasat, dihukum dan disumbat kedalam penjara.

Apabila dilantik sebagai Penyelaras DUN, ia mesti berkhidmat sebagai wakil rakyat, jika tak mahu berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan alasan wakil rakyat sebenar yang dipilih oleh rakyat sedap duk makan gaji buta, maka Penyelaras DUN itu perlu meletakkan jawatannya supaya ia juga tidak makan gaji buta, soal wakil rakyat Pas nak makan gaji buta itu dia punya pasal, sebab walau dia makan gaji buta tapi dia boleh menang, kalau kita makan gaji buta kita pun boleh menang, ok takder masalah.

Yang menjadi masalahnya kalah, sedang kerajaan duk umum peruntukkan berjuta-juta bagi pada Kelantan, tapi BN tetap juga gagal menawan Kelantan, sehingga persepsi orang luar menganggap orang Kelantan tidak tahu berterima kasih, diberikan bermacam-macam bantuan tapi tetap juga memilih Pas sebagai kerajaan. Persolannya adakah bantuan itu telus sampai kepada rakyat ? Jangan-jangan duit PPRT pun tiris puluhan juta ditengah jalan.

Penyelaras DUN perlu mendekati rakyat dan berkhidmat dengan jujur lagi amanah, sebagaimana kata YAB Perdana Menteri, BN perlu pemimpin yang ada idea, isi dan keintelektualan yang boleh menterjemahkan agenda nasional menjadi kenyataan. Tapi jika dilihat kepada Penyelaras DUN yang ada sekarang ni, agenda nasional jauh untuk menjadi kenyataan melainkan agenda peribadi mengumpulkan kekayaan.

Dengan elaun, peruntukkan serta kuasa yang diberikan kepada Penyelaras DUN, apakah ianya dimanfaatkan sepenuhnya ataupun mempunyai KPI tertentu sepanjang perkhidmatan yang diberikannya ? Anda Mampu Mengubahnya. - Bersambung

Tiada Bantuan Dikawasan BN Kalah Di Kelantan, Jawatan Penyelaras DUN Turut Dimansuhkan

Bilamana Barisan Nasional gagal menawan Kelantan pada PRU13 yang lalu, sebahagian pemimpin-pemimpin Umno Kelantan seperti biasa mula menyalahkan rakyat, kononnya pengundi luarlah yang telah memusnahkan harapan rakyat yang tinggal dinegeri itu, pengundi luar dituduh sebagai pembunuh, pemusnah dsbnya. Pemimpin berfikiran seperti inikah yang nak memenangi hati rakyat ? Fikiran seperti itu jauh sama sekali tidak layak untuk jadi pemimpin.

Ada juga sebahagian pemimpin mencadangkan supaya rakyat yang memerlukan bantuan memintanya dengan wakil rakyat yang mereka pilih, kononnya sebahagian pemimpin Umno sebelum ni pemurah sangat menghulurkan bantuan, seolah-olah bantuan yang diberi sedikit sebanyak itu datangnya dari kocek peribadi pemimpin. Ini betul-betul pemimpin minda longkang yang tak sedar diri.

Sepatutnya kalau pemimpin yang reti bahasa, bila sudah kalah dan gagal memikat hati rakyat, jangan banyak cakap dan nak salahkan rakyat, muhasabah diri, letak jawatan, jangan duk menyemak nak mengtekedarah duit dan projek, dia ingat kita rakyat ni bodoh dan buta, pemimpin-pemimpin projek longkang, sign-board dan turap jalan inilah sebenarnya menjadi liabiliti kepada Ketua-ketua Bahagian untuk menang di kerusi-kerusi parlimen.

Kerana bencikan sekerat dua pemimpin ini, rakyat Kelantan menolak secara total calon BN, kita cukup-cukup kesian melihat sesetengah pemimpin yang tewas bertanding di parlimen, sedangkan mereka terlalu layak dan jauh lebih layak daripada calon Pas yang menang itu, bertahun-tahun dia ikhlas kerja untuk rakyat, pemimpin bersih yang langsung tidak terpalit dengan apa-apa skandal, tapi apakan daya, mungkin beliau perlu sedikit bermuhasabah dan elak dari terpengaruh dengan dilihat meng-eksklusifkan diri bila berdepan dengan rakyat membuatkan rakyat merasa sedikit kekok, sedangkan beliau bukanlah orang sebegitu, sesiapa saja akan merasa bersalah jika gagal membantu untuk memenangkan beliau. 

Namun tidak ada manfaatnya untuk kita merintih, berbalik kepada pemimpin minda longkang tadi, mungkin pengundi merasa meluat sebagaimana yang saya rasa sebelum PRU13 dan sehingga sekarang ini, memang patutlah pun....Kita sangat bersetuju dengan cadangan pemimpin supaya mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan hendaklah memohon dengan wakil rakyat yang menang yaitu wakil rakyat dari Pas.

Bagaimanapun kita juga sangat-sangat tidak bersetuju jika kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menutup kelemahan diri sendiri selain menyalahkan rakyat, dan rata-rata rakyat itu pula adalah Melayu, tapi sebelum tu tanyalah diri kebaikkan apa yang telah dibuat kepada rakyat, sebesar mana kebaikkan tu ? Apakah kebaikkan yang dibuat itu sudah terlalu layak untuk berkata demikian. kalau ada Penyelaras DUN yang cakap seperti ini, dia kena cermin diri dulu, gaji dia tu siapa yang bayar, darimana datangnya duit gaji yang dibayar kepada mereka ini ? Berkhidmat diatas platform rakyat nak berlagak dengan rakyat.

Melainkan kita sangat-sangat untuk bersetuju sekiranya tiada bantuan kepada rakyat serta tidak ada juga jawatan sebagai Penyelaras DUN, namun tiada pula saranan seperti itu dari pemimpin-pemimpin ini, jika rakyat hanya perlu memohon bantuan daripada wakil rakyat Pas, apa gunanya ada Penyelaras DUN?, lebih baik duit rakyat dan projek diatas kapasiti Penyelaras DUN itu diberikan kepada rakyat dan pemimpin BN dikawasan yang BN menang. Itu baru adil, jangan nampak hanya tahu nak hukum rakyat jer, sebaliknya diri sendiri selalu jer nak untung.

Sudah sampai masanya kerajaan Pusat mengkaji serta memansuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), tidak perlu ada Penyelaras DUN, rasanya rakyat Kelantan tak sampai kebulur walaupun tidak ada JPP dan Penyelaras DUN ini, cuma nanti kita tengoklah siapa yang akan kebulur, kalu jjijok angin molep, rasanyo ore Kelate ni tak dok gapo, lawe sokmo bakalih.

Kita tidak bermusuh dengan mana-mana Penyelaras DUN, tapi sikap angkuh bodoh sombong segelintir Penyelaras DUN ini buatkan kita benar-benar merasa mual, kita tahu bukanlah semua Penyelaras DUN ni sebagaimana dakwaan diatas, tapi biarpun begitu, kita sebagai rakyat perlu meluahkan isi hati kita supaya hal ini tidak terus berlaku didalam parti yang memperjuangkan nasib kita orang Melayu.

Seterusnya pihak yang berkaitan perlu menyiasat hal tersebut bagi mengelakkan akan lebih banyak berlakunya penentangan diatas sikap segelintir pemimpin berminda longkang ini, dalam pada kita dilanda Tsunami cina dan sedang duk fikir akan penyatuan orang Melayu, kita rasa terkilan jika masih terdapat pemimpin angkuh yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada parti. Atas sebab itu juga pemimpin didalam Umno seperti ini perlu berubah dan diubah, tidak perlulah sehingga untuk diberitahu kepada seluruh dunia akan identitinya.

Cukup sekadar dengan berubah dan utamakan perjuangan bangsa bukannya kepentingan peribadi, tidak salah pemimpin berprojek, namun yang menjadi salahnya apabila projek diutamakan rakyat langsung tidak dipedulikan. Mana mungkin seorang kaki projek tegar untuk menjadi seorang pejuang bangsa, agama dan negara. Anda Mampu Mengubahnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...