Luahan Marhaen Buat PM @NajibRazak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilabelkan sebagai pemimpin boros yang suka bercuti dan menghabiskan masa diluar negara berbanding menumpukan perhatian kepada pentadbirannya. Tidak kurang juga yang mendakwa DSN malas dan tidak bertanggungjawab kerana kerap ponteng sidang Parlimen malah dalam tempoh 5 tahun menjadi PM, dikatakan hanya 26 hari saja sidang parlimen yang dihadirinya.

Ada juga yang mendakwa DSN menipu rakyat dan meminta supaya DSN menjelaskan perkara yang sebenar, selain itu muncul juga pendapat  mengatakan ramai yang layak untuk ganti DSN sebagai PM!!! Kemudian disusuli isu 1MDB yang membawa kepada seorang pemimpin Umno bahagian membuat laporan polis kerana sangsi dengan pengurusannya.

Bagaimanapun saya cuba untuk melihat apa yang berlaku ini dari sudut fikir bebas sebagai seorang marhaen, sebagai marhaen, kami kurang percaya kalau isu-isu yang dituduh itu datangnya dari pembangkang kerana kami juga faham sikap semulajadi pembangkang, tapi bilamana pemimpin, tokoh, negarawan, bekas pegawai tinggi kerajaan yang memperkatakan hal yang sama, kami akur untuk 99.99 peratus mempercayainya.

Kami cuba juga untuk mempercayai DSN seorang PM yang bertanggungjawab dan menutup tuduhan itu dengan andaian DSN sibuk, kerap keluar negara untuk tarik pelabur, tapi andaian itu kami fikir kurang tepat jika diukur dari apa yang berlaku seperti kenaikkan tarif elektrik, mengurangkan serta memansuhkan subsidi yang menyebabkan kenaikkan harga barang dll.

Kami berpendapat, kalau kerap keluar negara tarik pelabur, mesti ada pelabur, bila ada pelabur pasti pendapatan negara bertambah, jika pendapatan negara bertambah mengapa kerajaan tak mampu tanggung subsidi yang kesannya membebankan rakyat dengan peningkatan kos sara hidup.

Mengapa kerajaan perlu memperkenalkan cukai GST untuk menambahkan pendapatan negara ? Tak cukup lagikah keuntungan dari pelabur asing ? Ohh rupanya ia disebabkan kejatuhan harga minyak dunia dimana pendapatan kerajaan menerusi Petronas  dijangka menyusut sehingga RM25 bilion.

Bila begitu kerajaan perlu mencari alternatif untuk menampung penyusutan tersebut, mungkin bertepatan dengan slogannya 'Rakyat didahulukan' maka GST pun diperkenalkan untuk rakyat kena dulu.

Kami marhaen biarpun daif, tidak kisah dan bersedia membantu kerajaan untuk menanggung beban tersebut, walau kami sedar kesannya akan meningkatkan kos sara hidup, namun apakan daya, alternatifnya kami akan berjimat cermat dan lebih berdisiplin dalam menguruskan perbelanjaan seharian.

Tapi bagaimana pula dengan persediaan pemimpin dan kerajaan ? apakah kerajaan juga sanggup berkorban sama macam kami ?

Kami ingin mencadangkan kepada DSN satu alternatif (MrClean) yang dari sudut persepsinya berkesan kerana pernah dibuktikan oleh Pak Lah sebelum gagal disebabkan Pak Lah hanya menggigau ketika tidur.

Mengikut fakta kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre bersabit amalan rasuah,  didapati 49 peratus daripada rakyat Malaysia merasakan amalan rasuah dalam negara ini bertambah tahun lalu.

Tinjauan juga mendapati tanggapan terhadap rasuah dalam negara ini kekal pada kadar sama dengan 77 peratus merasakan masalah itu kini serius. Purata itu kekal tidak berubah sejak 2005.

Kesimpulan dari apa yang berlaku, kami berharap (MrClean) yang Pak Lah pernah mengigau itu direalitikan oleh DSN, hanya itu saja satu-satunya cara yang mampu memulihkan imej DSN selaku PM.

Kerana berdasarkan beberapa situasi sebelum ini, kami yakin sebagai PM, kalau DSN kata mansuh ISA! maka mansuhlah ISA, kalau DSN kata, akta hasutan akan dikekalkan maka kekal lah akta tersebut. Kalau DSN kata akan bagi BR1M, maka dapatlah rakyat BR1M. Kerana perkara ini semua berlaku dengan adanya kuasa.

Jadi kami duk tunggu DSN kata ketirisan sifar! Kami membayangkan, DSN dengan tegas memanggil pegawainya seraya berkata "Mulai tarikh ini, saya tidak lagi mahu mendengar waima satu sen pun berlakunya ketirisan khasnya dalam laporan audit nanti, saya nak you pastikan ketirisan tidak lagi berlaku, dan ambil tindakkan keatas sesiapa saja yang menjadi penjenayah wang rakyat!"

Selari dengan hasrat itu, kami juga mengharapkan DSN menyemak semula Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan membuat penambahbaikkan keatas akta tersebut mengikut kesesuaian yang munasabah diatas prinsip perasuah tidak dapat lagi berselindung dengan akta tersebut.

Boleh ke ? Sudah 5 tahun DSN jadi PM, kami tak fikir DSN tak mampu buat kalau DSN mahu, melainkan ketidakmampuan itu hanya disebabkan DSN sendiri, memetik kata-kata seorang Menteri beberapa hari lalu yaitu "Ikan busuk bermula dari kepala"....

Ada benarnya juga perumpamaan itu, kami memahami sebagai manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan, sedikit sebanyak mungkin pernah ada ambil atau terima rasuah dsbnya, tapi jika kerana hal itu yang membelenggu dan menjadi penghalang ia sangat tidak wajar dan sampai kiamat pun ketirisan akan berlaku.

Sebaliknya yang telah berlalu itu biarkan ia berlalu, diakhirat jua akan bertemu, hari ni buka buku baru, tindakan dan hukuman hanya kepada ketirisan yang akan datang, dengan itu ia adil dari kepala sampai ke ekor.

Cuba DSN bayangkan apa perasaan kami marhaen bila kami didahulukan dengan GST dikutip + takrif elektrik dinaikkan + subsidi dimansuhkan + gaji atau pendapatan sama = kos sara hidup meningkat, rakyat menanggung beban sedangkan kerajaan terus boros + tiris + membazir = bankrupkan negara.

Yang paling tak tahannya bila kena (tiris) pada kerajaan, Menteri kata, ketirisan yang berlaku sebanyak RM 1.5 bilion (kecil) hanyalah meliputi 0.6 peratus daripada keseluruhan Bajet 2012 yang berjumlah RM 251 bilion. Bila kena tang rakyat yaitu subsidi minyak Menteri kata, subsidi 2 ribu juta (besar) adalah perbelanjaan hangus, lebih baik 2 ribu juta digunakan untuk bina balairaya, universiti, jalanraya dsbnya.

Kami marhaen sedih bila mendengar laporan ketirisan tatkala kami terbeban, kami tertanya-tanya payah sangatkah nak buat supaya tak bagi tiris ? Saban tahun ada saja laporan seperti set alat pemutar skru dibeli pada harga RM224 seunit, satu jek kereta pada harga sama mahal dengan sebuah kereta second, harga maintenance kereta sama mahal dengan harga beli kereta, harga kipas dibeli sama mahal dengan harga aircond dsbnya.

Akhirnya, kami berharap isu rasuah dan penyelewengan akan dibuktikan kesungguhan dalam membanterasnya, ia adalah isu pokok yang menjadi punca kepada segala masalah dalam negara, tapi kalau DSN dengar nasihat punahsihat maka isu tiris dan rasuah tidak mendapat tempat, paling kuatpun kempen 'larian rasuah' sajerlah..... Anda Mampu Mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...