Nik Aziz: Amanat Hj Hadi "Tidak Ada Keperluan Untuk Tarik Balik"

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataan yang dibuat di media sosial Facebook beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya mempertahankan  amanat mengkafirkan Umno yang pernah dikeluarkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1981.

Menurut Nik Aziz, tidak ada keperluan untuk Presiden Pas itu menarik balik amanat mengkafirkan Umno, sebaliknya meminta pihak yang berkaitan yang menganggap amanat itu tidak benar supaya memanggil Hj Hadi dan meminta penjelasan itu sendiri daripada beliau (Hj Hadi).

"Saya masih ditanya oleh wartawan tentang Amanat Haji Hadi. Saya ingin ulangi permintaan saya agar Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi tidak menarik balik apa yang disebut sebagai amanatnya itu. Tidak ada keperluan untuk tarik balik. Jika tidak benar isi kandungan ucapan itu, panggil beliau dan minta untuk berikan penjelasan".

Pada masa sama Nik Aziz turut menyalahkan media masa pro Umno dengan mendakwa media pro Umno tidak berminat untuk menyelesaikan polemik yang berlaku itu melalui sidang perbincangan.

"Malangnya saya melihat media massa pro Umno/BN ini tidak berminat ke arah menyelesaikan polemik dengan berbincang". 

Nik Aziz juga mendesak supaya perbincangan secara terbuka diadakan selain menyindir Mufti dengan beranggapan bahawa media pro Umno sebagai penakut untuk berhujah secara berdepan dan hanya pandai bertumbuk seorang diri saja didalam gelanggang.

"Saya mendesak agar diadakan satu perbincangan terbuka. Jangan hanya pandai bertumbuk seorang diri di dalam gelanggang. Saya anggap media seperti ini ialah media penakut".

Sebelum ini dua orang mufti termasuk Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

"Selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan amalan, bagaimana boleh dikatakan kafir.

"Itu hanya pendapat melulu dan tidak berasas," kata Mufti Perak itu.

Katanya, perkara ini sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.

"Dari segi syarak, saya bangkit mengatakan kebenaran. Beliau (Hadi) wajib menarik balik amanat tersebut," katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno sebaliknya ke atas Hadi.

"Saya bersetuju untuk beliau (Hadi) menarik balik amanat tersebut. Beliau juga perlu kembali kepada Ahli Sunnah Waljamaah," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak hanya bercakap perkara yang benar sahaja.

"Ada ayat al-Quran menyebut jauhkan diri daripada prasangka tidak baik.

"Adalah lebih baik kita mengikut nas al-Quran, sama ada daripada tulisan atau ceramah," katanya.

Hadi Awang pernah mengeluarkan amanat demikian pada tahun 1981 dan menjadi pegangan ribuan ahli parti itu sehingga ke hari ini.

1 comment:

  1. ibrahim libya mati katak sbb hj hadi kata negara islam tak dak dlm al quran.... pas berdiri teguh bersama PR dlm negara kebajikan.

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...