Fatmi Gesa Kerajaan Kelantan Henti Jual Tanah Bina Kondo, Perumahan Rakyat Perlu Diutamakan

KOTA BAHRU - Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh mendakwa kerajaan Kelantan pimpinan PAS banyak melupuskan tanah untuk pembinaan kondominium berbanding membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata sejak memerintah negeri ini selama 22 tahun yang lalu, tiada rumah kos rendah dibina untuk rakyat berpendapatan sederhana.

"Sebagai contoh, tanah di Kampung Limau Manis yang dihuni antara 80 hingga 100 keluarga juga telah dijual kerajaan negeri untuk pembinaan kondominium mewah.

"Harga bagi sebuah kondo kalau ikut pasaran semasa sekitar tak kurang daripada RM250,000. Saya rasa tak ada orang yang berpendapatan sederhana atau rendah mampu beli kondominium tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Sewa Rumah Penduduk Miskin Bandar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 122 penduduk miskin bandar menerima wang tunai berjumlah RM1,448 sebagai bantuan sewa rumah selama setahun yang disalurkan kerajaan pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Mohd Fatmi berkata berbeza dengan kerajaan pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), banyak perumahan kos rendah telah dibina.

Beliau berkata di Melaka rumah kos rendah yang dibina kerajaan dijual kepada penduduk setempat dengan harga kira-kira RM35,000 seunit walaupun kos pembinaan sebenar bernilai lebih RM100,000.

"Selain itu, janji (BN) untuk membina 1,000 buah rumah mampu milik kepada penduduk Gua Musang ketika Pilihan Raya Kecil Galas pada 2010 juga kini telah hampir siap dan akan dijual dengan harga RM35,000," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan negeri menghentikan penjualan tanah bagi pembinaan kondominium mewah dan menukarnya kepada pembinaan rumah mampu milik bagi membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

"Walaupun kerajaan pusat beri bantuan sewa rumah kepada penduduk memerlukan, namun penyelesaian jangka panjang adalah dengan membina rumah yang mampu dibeli oleh mereka," katanya.- Bernama

1 comment:

  1. Salam tuan, mohon pautkan blog ronyanuar.com di bloglist saudara..t.kasih n salam perjuangan

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...