Rintihan Datin - "Orang Ingat Kita Ada Pangkat Datuk, Kita Ni Kaya"

Anugerah pingat yang membawa gelaran 'Datuk' adalah anugerah yang dihormati dan sering dibayangkan oleh masyarakat penerima anugerah tersebut adalah seorang yang kaya raya. Namun hal itu berbeza apabila kesempitan hidup yang terpaksa dilalui oleh pelakon veteran Datuk Yahya Sulung, 84, yang telah diberi notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkannya dan isteri, Datin Alisah Ali supaya mengosongkan rumah mereka, di flat Bandar Baru Sentul disini.

Ia berikutan kegagalan pasangan itu untuk menjelaskan tunggakan sewa rumah sejak lapan bulan lalu yang berjumlah RM800.

Menurut Alisah, sebelum ini pun beliau berasa malu apabila perlu membawa gelaran yang dikurniakan kepada suaminya disebabkan kehidupan mereka yang dihimpit kesusahan.

Alisah berkata, terdapat individu menghantar surat dan berkunjung ke rumahnya di sebuah flat di Sentul dekat sini untuk meminta derma kerana menyangka mereka mempunyai banyak wang gara-gara suaminya menggunakan gelaran Datuk.

“Ada orang datang ke rumah saya minta derma. Saya nak korek duit dari mana? Kami ni susah. Orang ingat bila kita ada pangkat Datuk, kita ni kaya?

Saya pernah melarang dia, agar tidak menerima gelaran yang diberikan Kerajaan Negeri Perlis kerana suasana kehidupan kami, namun dia tetap menerimanya kerana menganggap gelaran itu adalah untuk mengenang jasanya sebagai anggota keselamatan yang berkhidmat mempertahankan negara di tahun 1948 dan bukan kerana bergelar artis.

Pada tahun 2009, tiba-tiba saja orang panggil dia Datuk. Saya tak tahu pun. Dia ambil gelaran itu senyap-senyap. Saya bukan apa, orang ingat sesiapa yang ada Datuk kaya tapi kami bukannya macam itu.”

Kini untuk menyara kehidupan, Alisah memberitahu mereka mengharapkan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan dan juga wang pencen salah seorang arwah isteri Yahya sebelum ini iaitu dalam jumlah yang sama. Wang sebanyak RM800 itu digunakan untuk membeli makan minum serta keperluan ubat-ubatan Yahya yang semakin uzur.

“Kos untuk beli ubat suami saya pun bukannya sedikit. Dia mengidap macam-macam penyakit tetapi syukur jugalah ada pihak-pihak tertentu dan juga persatuan artis yang bermurah hati untuk memberikan sumbangan.”

Walaupun dihimpit kesusahan dia tidak pernah meminta sumbangan daripada sesiapa pun kerana tidak mahu dituduh terlalu bergantung dengan orang lain. Sebaliknya, sumbangan yang diterimanya selama ini adalah atas rasa belas individu yang melihat kesempitan hidup mereka.

Yahya atau nama sebenarnya Yahaya Loong pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang dekat sini pada 20 Februari lalu akibat terjatuh daripada bilik air selain menghidapi beberapa komplikasi penyakit lain termasuk asma. Yahya yang pernah berkahwin sebanyak empat kali mempunyai 11 orang anak.

Seorang miskin jika mendapat pingat yang membawa gelaran 'Datuk' sudah pastilah ianya seorang yang benar-benar berjasa, melainkan mereka yang kaya ataupun 'liar' boleh mendapatkan anugerah tersebut dengan menggunakan pelbagai cara walaupun ia tidak berjasa.
Oleh kerana jasanya telah disahkan dengan mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Perlis, wajarkah beliau dibiarkan menderita seperti itu sedangkan beliau merupakan salah seorang mereka yang telah berjasa, dimana tanggungjawab kerajaan, Ahli Parlimen serta pihak-pihak berkenaan yang lain.

Bagaimanapun tidak ada gunanya untuk banyak dibangkit soalkan mengenai apa yang berlaku ini, cadangan yang boleh diberikan adalah mana-mana pihak yang berkaitan perlu memastikan sewa bulanan rumah yang diduduki beliau itu dipercumakan dengan serta merta tanpa memberi apa-apa lagi alasan. Anda Mampu Mengubahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...