Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu Didalangi Individu Tertentu Bermotifkan Politik

KUALA BERANG - Sekumpulan lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu mungkin mendapat sokongan individu tertentu di negara ini dengan bermotifkan politik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata insiden itu mungkin menjadi helah untuk menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengalami krisis isu keselamatan.

"Saya fikir kumpulan tersebut tidak bertindak sendirian dan terdapat individu tertentu bermotifkan politik di belakang mereka.

"Jangan percaya dengan apa yang ditulis di laman sosial media dan blog pro pembangkang.

"Lelaki-lelaki itu bukan pengganas," kata Ahmad Zahid pada sidang media.

"Kumpulan tersebut dari selatan Filipina dan berketurunan Sulu. Mereka percaya masih mempunyai tuntutan ke atas Sabah.

"Kita berharap agar dapat memujuk mereka untuk meninggalkan negara ini secara aman tanpa mencetuskan pertumpahan darah.

"Kita berharap mereka tidak terpedaya dengan individu yang menggunakan mereka untuk kepentingan politik," tambahnya.

Ahmad Zahid berkata, polis sedang berunding dengan kumpulan tersebut dan berharap rundingan itu akan menemui jalan penyelesaian.

"Negara kita berada dalam keadaan aman damai dan sistem keselamatan kita kukuh. Namun ada pihak yang ingin menggambarkan sebaliknya berlaku," katanya.

Kira-kira 100 lelaki bersenjata mendarat di Lahad Datu baru-baru ini dan mendakwa mereka sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam langkah menahan Senator Australia Nick Xenophon di lapangan terbang di Sepang semalam atas alasan membawa risiko keselamatan.

"Dakwaan ini sama sekali tidak berasas," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, beliau mahu mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak wajar menganggap pelawat sebagai musuh negara hanya disebabkan bersikap kritikal ke atas pentadbiran pimpinan Umno.

"Malaysia bukan milik Umno. Ia milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik," katanya lagi.

Anwar juga berkata, meskipun Xenophon ada membangkitkan keprihatinannya berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tetapi beliau tidak pernah melanggar mana-mana undang-undang bertulis ataupun terlibat dalam aktiviti yang dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan.

"Lebih-lebih lagi, beliau akan disertai oleh beberapa ahli Parlimen Australia lain untuk perbincangan dengan kami dan juga dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan tegas menahan Xenophon daripada memasuki Malaysia serta menghantar beliau pulang ke negaranya.

Kata beliau, pihaknya menganggap Xenophon adalah seorang pengacau yang cuba masuk campur dalam urusan dalaman negara khususnya berkaitan proses PRU13.

"Kami yakin Senator Xenophon tidak bertindak atas kapasiti peribadi tetapi didalangi serta didokong oleh pihak pembangkang terutamanya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Bersih. 

"KWMM amat kesal sekali dan mengecam tindakan pembangkang yang berselindung di sebalik perjuangan menegakkan keadilan dan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini walhal motif sebenarnya adalah untuk menimbulkan huru hara serta melibatkan campur tangan kuasa asing dalam pentadbiran negara," katanya lagi.

2 comments:

  1. negara ini akan aman jika dalang yg nak mencetuskan huru hara ditangkap...

    ReplyDelete
  2. Ye ke dia tu dalang?Atau takut menghadapi KEBENARAN dan KENYATAAN!

    ReplyDelete

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...