Trend Pengundian Sayap Umno Memungkinkan Penyandang Naib Presiden Kekal

Trend pengundian bagi pemilihan sayap Umno yang baru selesai Sabtu lalu menunjukkan bahawa perwakilan akar umbi parti itu masih inginkan kepimpinan sediaada dan belum sampai masanya untuk mereka melakukan perubahan diperingkat atasan.

Keadaan ini menunjukkan terdapat kemungkinan besar bahawa status quo akan dikekalkan bagi pemilihan Naib Presiden Umno pada peringkat Majlis Tertinggi Sabtu ini.

Pemerhati politik percaya bahawa penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempunyai kelebihan pada 19 Oktober ini.

Pada pemilihan sayap Umno Sabtu lalu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil membuktikan mereka berjaya mengekalkan jawatan masing-masing walaupun berhadapan cabaran sengit terutama dari pihak yang mempertikaikan kepimpinan mereka.

Keputusan menunjukkan bahawa Khairy dan Shahrizat tidak hanya menang besar menerusi kaedah 'electoral College' pada pemilihan kali ini, tetapi juga menerima undi popular dari hampir semua 191 bahagian.
Pencabar bagi jawatan Naib Presiden, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Shaharuddin Badaruddin berkata, beliau menjangkakan trend yang sama akan berlaku apabila perwakilan membuat pilihan mereka memilih Naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Beliau berkata dua kategori calon akan mempunyai kelebihan Sabtu ini iaitu penyandang terutama dalam pertandingan untuk Naib Presiden serta dan pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan seperti menteri, timbalan menteri dan Menteri Besar.

Ketiga-tiga penyandang Naib Presiden, akan dicabar oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Isa pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan kini memegang jawatan Pengerusi Felda manakala perkhidmatan selama 14 tahun sebagai Ketua Menteri Melaka juga telah membuatkan mereka dikenali perwakilan akar umbi.

Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah juga menjadikannya antara calon berprofil tinggi.

"Mereka bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi dan yang memegang jawatan-jawatan kerajaan mendapat publisiti yang lebih hingga menjadikan mereka lebih terkenal berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai jawatan," kata Shaharuddin.

Daripada 62 pemimpin yang bertanding untuk 25 kerusi Majlis Tertinggi, 17 daripada mereka memegang jawatan kanan sama ada sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri, menteri atau timbalan menteri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komentar anda untuk dikongsi.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...